"Selamat membaca... Abang Munir."
Munir membaca pangkal atas kertas tersebut.
"Kenapa tajuknya 'Kisah Akhir'..."
"Ianya adalah simbolik. Manusia sering terlupa, pengakhiran kepada sesuatu sentiasa bermaksud permulaan kepada sesuatu yang baru. Jadi tanpa disedari, pengakhiran itu sebenarnya adalah permulaan. Bukan penamat. Maka definisi perkataan 'akhir' itu sendiri, dalam bentuknya yang paling hakiki adalah... 'pra-kelahiran sesuatu yang baru'. Atau dalam ertikata lain. Sesuatu yang bakal berlaku di masa depan. Bacalah. Abang Munir akan faham maksud aku..."
Kisah Akhir
Perempuan Terpilih
"Senyap je.... Anom tak suka"
Anom diam. Matanya menumpu pada sebuah buku tebal di tangannya. Bersama buku itu juga, terselit sebatang pen hitam berdakwat basah. Buku itu setiap helaiannya kosong. Manakala kulitnya berwarna putih, dengan tulisan merah jambu yang tertera 'AZHAN CINTA ANOM'.
Jemari Anom membelai tulisan itu. Indah. Tulisan tangan Azhan memang cantik. Waktu sekolah dulu, dalam banyak-banyak pelajar, buku nota Azhanlah yang paling kemas. Dengan tulisannya yang begitu rapi dan tersusun sempurna. Siap menggunakan pen bermacam warna untuk mengasingkan kategori yang berbeza apabila menyalin sesebuah nota.
Mengalahkan perempuan!
Sakat Anom selalu. Azhan hanya setiap kali tersipu. Anom katalah apa pun. Dia tak akan terasa hati. Sebab dia tahu Anom tak bermaksudkan apa. Hanya usikan manja. Usikan manja yang setiap hari membuatkan pagi-pagi Azhan begitu ceria dan langkahnya begitu ringan untuk ke sekolah dahulu.
"Jadi... Anom suka tak hadiah Han ni"
Anom senyum sambil mengangguk laju. Matanya sedikit bertakung. Terharu.
"Kenapa ni.... Kenapa Anom sedih"
"Bukan sedih la.... Touching je. Anom seronok sangat ni.... Tak pernah orang bagi hadiah dekat Anom. Ni kali pertama. Dah la buku. Cantik pulak tu! Siap ada pen sekali."
"Heheh... baguslah kalau Anom suka. Anom tau tak kenapa Han bagi hadiah ni"
Anom menggeleng.
"Untuk buat diari ek" tekanya.
"Bukan diari la.... Anom kan suka tulis cerpen. Jadi Han buatlah buku ni khas untuk Anom, supaya Anom boleh tulis cerita-cerita Anom dalam ni. Tak adalah bersepah-sepah je macam sekarang ni. Satu kat sana satu kat sini. Sekarang Anom boleh masukkan semua cerpen-cerpen Anom dalam buku ni."
"Wah... bestnya! Terima kasih Han... Tapi kan, mana Han beli buku ni eh Sebab dia tebal macam novel. Saiz dia pun macam novel jugak. Selalu buku nota saiz A5, lepas tu nipis je..."
"Han buat sendiri la. Mula-mula Han buat kulit dia guna kertas tebal. Han ukur kertas tebal tu ikut saiz novel. Kemudian Han lipat kertas tu jadi macam bentuk kulit buku. Han lipat tiga supaya ada bahagian depan, tengah dan belakang kulit. Lepas tu Han gam satu-satu helaian kertas dekat bahagian tengah kulit dia tu. Jadilah macam novel."
"Han gam satu-satu Rajinnya...."
"Eheh... tak susah pun. Lagipun untuk Anom kan.... Han sanggup," luah Azhan tersipu.
Anom tersenyum memerhatikan Azhan yang tersimpul-simpul malu di hadapannya.
"Comel la Han ni..."
"Apa comel pulak.... Tak ada benda lain ke nak panggil Han"
"Nak panggil apa"
"Apa-apa la.... Tak nak la comel. Panggil la yang best sikit. Hensem ke, gagah ke, macho ke...."
"Yalah... Hanlah lelaki paling handsome, gagah dan macho dalam kampung ni..."
"Macam tu la. Ada pulak comel. Yang comel tu Anom!" usik Azhan sambil menguis pipi Anom.
"Ehem! Ehemmm!!!" Tiba-tiba ibu Anom, Mariah muncul di depan pintu sambil mencekak pinggang.
"Eh... Assalamualaikum Mak Yah. Apa khabar" sapa Azhan.
"Waalaikumsalam. Khabar baik. Seronok main cuit-cuit nampak..." leret Mariah berbaur perli yang tajam.
"Eheh... gurau-gurau je Mak Yah..." kata Azhan sambil menggaru kepala.
"Mak Yah dengar kau dapat semua A ya SPM"
Azhan mengangguk. Walaupun cuba ditahan tapi bibirnya tetap memancar senyum bangga.
"Tahniah. Nak masuk mana lepas ni"
"Azhan dah hantar borang UPU. Tengoklah dapat mana. Azhan tak kisah..."
"Kalau keputusan baik mesti akan dapat tempat yang kau mintak. In shaa-Allah.... Mak Yah doakan yang terbaik untuk kau..."
"Terima kasih Mak Yah...."
Mariah mengangguk sambil senyum sebelum masuk semula ke dalam. Tapi sempat juga dia menjegilkan mata pada Azhan sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya sebagai isyarat larangan. Biar Azhan takut sikit. Suka-suka saja nak main cuit-cuit anak dara orang.
"Anom pulak macam mana Maksud Han, Anom mintak universiti mana" tanya Azhan.
"Anom tak mintak pun...."
"Ha... kenapa"
"Yalah... result Anom tak best macam Han. Anom kan tak pandai... bukan macam Han."
"Siapa cakap Sebenarnya Anom lagi pandai dari Han. Tapi tulah... sebab Anom ada masalah lain yang buatkan Anom tak dapat tumpukan perhatian. Macam mana dengan masalah Anom tu Masih lagi ke..."
bersambung
Bab akan datang:
Masalah apakah yang dihadapi oleh Anom