SUATU HARI NANTI MANUSIA AKAN MELUPAKAN TUHAN - 33
Celaka!

Dia rebah terjelepuk ketika cuba menyelamatkan diri kerana terlanggar mayat Julius dan Judas yang diracun melalui secawan kopi panas yang manis. Kopi panas yang manis itu sengaja dibancuh pekat; supaya racun-racun itu akan bertindak hebat. Cincip masih lagi teringatkan wajah mereka berdua yang berbuih mulutnya serta kekejangan serta merta. Ternyata lelaki, dalam apa zaman sekalipun, hanya mampu dikalahkan oleh kecantikan wanita.

Atau kecantikan neo-wanita bernama Cincip!

Celaka!

Dia rebah sekali lagi; dia tidak pernah mengalamai kejadian sebegini. Ketika tragedi Gempa Mega dan Tsunami Raya pada tahun 2060 Masihi lalu, Cincip masih lagi belum menjadi seperti Cincip hari ini. Dia tidak kisah. Dia hanya mahu mendapatkan air-glider sebelum meluncur keluar meninggalkan dataran yang tiba-tiba bergoncang ini.

Ah!

Struktur kediaman Cincip dibina dengan seliratan keluli berkualiti tinggi yang takkan termusnahkan. Tetapi kali ini keluli itu kejam.

Baru sahaja Cincip mendapatkan air-glider dan meluncur lalu, serpihan keluli yang patah akibat gegaran itu menikam tembus batang tengkuk Cincip, tergantung dia dicangkuk sebegitu rupa!

Tetapi kali ini, keluli itu kejam!

***

Buhaira!

Pujangga menjerit.

Buhaiara tahu kenapa Srikandi itu menjerit; mereka berada di satu ruang deja vu sekali lagi. Ketika itu Nora Napisah masih belum berkenalan dengan Syed Borhan. Onion bagel Nora terjatuh ke lantai, sedang Syed Borhan masih lagi tertancap melihat tragedi maha ngeri itu di CNN. Nora yang terkesima, menjerit kecil lalu menangis, dengan tiba-tiba memeluk pemuda Melayu yang berada di sebelahnya. Rangkulan itu hangat dan erat. Rangkulan Syen Borhan kepada Nora Napisah.

Kini Syed Borhan telah menjadi Buhaira, sedang Nora Napisah telah menghabiskan sisa umurnya menjadi Srikandi Tinta Pujangga.

Buhaira! Pujangga menjerit kecil sebelum

Buhaira mendapatkan Srikandi itu.

Ayuh kalian, kesini!

Mereka mendapatkan Srikandi yang berada di hujung atap pencakar langit.

Air telah mula menari. Debu-debu yang berhamburan telah diganti dengan lautan yang telah mengalir dengan begitu liar dan angkuh.

Buhaira!

Mereka berpandangan. Cincin Munsyi milik

Razief kini telah bertangkup dengan papan muka Cakera Prometheus. Ada satu cahaya yang bersinar terang. Terang benderang. Seolah satu pesta, cahaya itu berkelip-kelip tak termatikan.

Cincin Munsyi dan Cakera Prometheus itu telah mula teraktif.

Sejarah tidak pernah berada dalam isolasi. Dongengan dari Timur Tengah tidak pernah wujud dalam isolasi. Semua perkara yang terjalin hidup di dalam semesta ini akan dikitar kembali, dan tidak ada satu pun yang akan terlepas dari kitaran ini. Suatu masa nanti, apa yang telah terjadi akan terjadi sekali lagi.

Sekali lagi, malah kali!

ZOOMMM ZOOMMM - ZOOMMM

Cakera yang bersinar itu tiba-tiba mengeluarkan bunyi; semakin kuat disambut dengan arus omak yang semakin menjadi-jadi. Paras air mulai naik, sehingga ke tingkat bawah bangunan pencakar langit Inter-Global Corporation. Air yang dari tadinya menari-nari kini sudah kejam menghempas tanpa henti. Gulungan pertama telah merobohkan kawasan perumahan neo-Human, sedang manusia itu berteriak meminta pertolongan dari Tuan Pemerintah yang tentunya tidak akan datang.

Cakera itu bersinar-sinar dan mengeluarkan bunyi.

Pujangga! Apa yang harus kita lakukan! Razief cemas.

Tunggu dahulu. Lima minit, tunggu dahulu!

Mereka melarikan diri.

Mereka berkubu di kawasan atap paling hujung Inter-Global Corporation. Bah telah mula memenuhi aras 10 pencakar langit dengan sekelip mata. Barangkali ketulan salji yang terdidih kesemuanya dipentaskan di sini untuk menjadi sebuah cereka fantasi tak berpenghujung.

ZOOMMM ZOOMMM - ZOOMMM

Bunyi itu semakin kuat dan dekat. Mereka cuba memfokuskan cahaya yang terang benderang di kaki langit. Semakin lama, cahaya itu semakin terang dan bunyi itu semakin kuat. Mereka menutup telinga masing-masing, namun sikap ingin tahu tidak mahu berkompromi dengan ancaman terbaharu yang bakal mereka hadapi.

Tak sudah-sudah!

Pujangga, ...apa kamu pasti ini penyelamatnya Buhaira bertanya setelah melihat cahaya terang benderang di dada langit. Cahaya itu semakin terang setelah air bah yang makin naik memantulkan refleksinya.

Aku pasti Buhaira, bukan Isa. Tapi Nuh, tapi Nuh adalah penyelamatnya!

Buhaira diam.

Mereka semakin terpinga-pinga setelah melihat cahaya terang dengan bunyi yang kuat seperti genderang mahu perang. Mereka cuba untuk melihat dengan lebih jelas namun hujan mulai membasahi dataran neo-Kuala Lumpur, suasana semakin tegang saat halilintar memanah di sini sana.

Penyelamat! Penyelamat kita!

Roman Pujangga tiba-tiba menjadi aktif.

Kedatangan cahaya yang terang dan berbunyi bising di dada langit itu menceriakan Pujangga, sedang yang lain masih terpinga-pinga. Srikandi Tinta Pujangga tahu, mereka telah terselamat.

Kamu datang jua akhirnya, Juwita! Pujangga benar-benar berasa puas!

Objek yang terang benderang dan berbunyi bising itu akhirnya mula menampakkan bentuknya; saat Cakera Prometheus yang ditangkup bersama dengan Cincin Munsyi sehingga bernyala, angkatan mereka tidak tahu apa yang akan terjadi. Ini harapan terakhir mereka sebelum air bah dan tsunami akan melupuskan jejak-jejak kehidupan mereka buat selama-lamanya.

Objek berwarna perak itu semakin jelas kelihatan dari dada langit; entah dari mana datangnya tiada siapa mengetahui. Saiznya yang begitu lebar, menyerupai sebuah keranda maha besar yang mampu terapung terbang di udara.

Demi Alif Lam Lam Ha, Pujangga! Demi dia!

Buhaira, bukankah dahulu kamu pernah bertemu dengan Juwita

Bahkan pernah memelihara puteranya. Bahkan pernah menghadiahkannya Kalam Tuhan.

Lalu, inilah Kalam Tuhan kami, Buhaira!

Proto-Human yang lain masih tercengang, sedang Buhaira dan Pujangga saling menjelaskan.

Ka...Kalam tu..Tuhan

Iya Buhaira. Bukankanh kamu yang

menghadiahkan Juwita naskah kulit kambing itu

Naskah...naskah itu... dibaca... dibaca oleh Juwita rupanya!

Maka apa kamu lupa siasah yang terkandung di dalamnya

Dan sirah juga, Pujangga, dan sirah juga!

Lalu apakah kamu masih tidak mampu memahami

Plop!

Percikan air mengenai sepatu yang dipakai

Buhaira. Dan semua sepatu yang dipakai mereka. Air itu keruh bercampur dengan dosa manusia, hanyir digilis bersama daging-danging yang tersiat luka. Darah beku bergumpalan di permukaan, sedang bau hanyir ajal manusia bergentayangan di rongga hidung mereka.

Lalu apakah kamu masih tidak mampu memahami

Air bah itu mula bergenang ke permukaan teratas bangunan pencakar langit. Dalam suasana penghujung zaman sebegini, suasana semakin tenang - ironi. Masih belum berbunyi tiupan mega yang memusnahkan, sudah tiada lagi teriakan dari manusia-manusia di jalanan.

Plop!

Air yang menitik-nitik kelihatan begitu tenang. Dunia akhir zaman begitu tenang. Tiada ribut taufan yang berbunyi bising; Gempa Mega bersama kawan-kawannya pula sudah berundur kembali. Hanya air bah yang semakin meninggi, separas pinggang mereka kini.

Suasana akhir zaman sungguh sunyi.

Semua bangunan sudah roboh, semua manusia sudah terhapus, kini tinggal mereka penuh damai menunggu kedatangan Isa al-Masih atau perlu menyelamatkan diri. Barangkali inilah Husnul Khatimah, berada dalam pengakhiran yang baik. Atau barangkali ini bukan lagi dunia akhir zaman, kerana perjalanan seorang insan barangkali masih lagi jauh.

Plop!

Air hujan yang menitik-nitik itu semakin reda. Alam memberikan Buhaira satu masa senggang untuk membuat satu pilihan. Apakah dengan membiarkan diri terhanyutkan oleh bah ini akan dikira sebagai syahid Lalu akan ada ratusan bidadari menunggu mereka di satu istana dengan aliran sungai susu dan madu Atau apakah Tuhan mahu mereka terus hidup dan berjuang walau apa pun cabaran yang mendantang

Buhaira! Demi pencipta kamu, selamatkan diri! Pujangga telah berada di ruang masuk Bahtera 2.0.

Dia seorang yang penyabar. Buhaira, dia seorang yang penyabar. Ketika Mariam meninggal dunia melahirkan Isa, Buhaira tidak pernah bermusuhan dengan Alif Lam Lam Ha. Setiap benda yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Dan hikmah itu juga membawanya mengembara sehingga ke penghujung masa zaman ini. Hikmah itu yang memanjangkan usianya untuk bertemu kembali dengan Tinta Pujangga yang telah mati. Tapi, tapi air bah juga punya hikmah. Dan dia, dia sudah terperangkap di dataran ini, barangkali itu takdir dan hikmahnya. Barangkali dia akan dikira syahid. Barangkali suasana damai akhir zaman ini merupakan Husnul khatimah buatnya. Iya, barangkali begitulah.

Buhaira! Demi pencipta kamu, selamatkan diri! Pujangga telah berada di ruang masuk Bahtera 2.0.

Fikir Buhaira, manusia di zaman kuno ternyata salah. Pada hujung waktu nanti, keadaan akan menjadi lebih tenang. Semua manusia akan mati, keadaan akan jadi lebih tenang. Asap-asap dan percikan api akan dipadamkan oleh air bah dalam diam, seolah sungai mengalir dalam. Sunyi, sungguh sunyi. Keadaan pada akhir zaman sungguh sunyi. Tiada lagi azan dan zikir. Tiada lagi Kalam Tuhan dan surah-surah azali. Yang ada hanyalah air bah yang dalam, mengalir kejam dalam diam. Tiada lagi unggas dan mergastua yang memimik benci pada manusia. Angkatan mereka memejamkan mata beramai-ramai. Aduh, apa benar sungguh tenang begini, wahai Alif Lam Lam Ha

Buhaira! Demi pencipta kamu, selamatkan diri! Pujangga telah berada di ruang masuk Bahtera 2.0.

Beliau seorang yang rajin; kitab-kitab zaman kuno tekun ditelaah sewaktu mengepalai umat proto-Human di Dataran Pembebasan dahulu. Tetapi tidak ada satu patah perkataan pun yang memperihalkan tentang ketenangan sebegini.

PLOP!

PLOP!

Seolah-olah lopak air itu manja menitis, menjamah pinggang mereka semua. Sejuk. Air bah akhir zaman ini sejuk. Sungguh sejuk. Barangkali bercampur dengan ketulan ais yang mencair pagi tadi. Sejuk sangat. Sejuk tetapi tenang.

Mereka semua memejamkan mata.

Barangkali sesejuk sungai susu dan madu.

Barangkali sewangi peluh bidadari dengan kecantikan tercandu. Indahnya. Indahnya pengakhiran sebegini. Begitu tenang dan khusyuk saat bumi ini sudah tidak lagi berfungsi. Dan alam, alam sudah tidak lagi hidup sebati. Dan manusia, manusia sudah tidak lagi bernyawa, -semua mati. Suasana sunyi, tanpa bunyi. Diam, dan kelam.

Buhaira! Demi pencipta kamu, selamatkan diri! Pujangga telah berada di ruang masuk Bahtera 2.0.

Pujangga!

Buhaira menyambut tangan Pujangga yang terhulur, melangkah masuk! Semua mengikut!

TAMAT