TRAGEDI TSUNAMI DAN GEMPA BUMI - 33
Tiap-tiap jiwa akan merasai kematian. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahala bagimu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan.

Proses kematian adalah proses menegakkan keadilan kerana selepas mati akan dihidupkan sekali lagi buat selama-lamanya untuk diselesaikan segala hutang kesalahan kita dengan Allah SWT dan sesama makhluk. Keadilan juga akan dilaksanakan dengan ganjaran kebaikan yang disempurnakan kepada orang yang melakukan kebaikan.

Itu hakikat kematian, suatu sempadan singkat yang memisahkan alam dunia dan akhirat, tidak ada orang yang berada di dunia ini melainkan terpaksa melintasi sempadan tersebut bagi menuju negeri Akhirat. Di sanalah segala-galanya akan tersingkap di mana setiap kejahatan akan dibalas dengan kejahatan dan setiap kebaikan dibalas dengan kebaikan yang berlipat ganda.

Setiap mahkluk yang bernyawa pasti akan mati dan tidak ada sesuatu pun yang dapat mengelak diri daripadanya. Kematian itu akan tetap datang menemui seseorang bila tiba masa dan tempoh ajalnya yang telah ditetapkan oleh Allah SWT tanpa mengira usia.

Kematian akan menjemput kita dalam keadaan tiba-tiba dan tidak diketahui bila masanya walaupun kebiasaanya orang tua yang terlebih dahulu akan mati. Namun Allah SWT berkuasa mematikan seseorang dalam usia muda seperti kanak-kanak kecil, remaja, belia dan pemuda. Itulah kekuasaan Allah SWT yang tidak mampu ditandingi oleh sesiapa.

Sesungguhnya saat kematian (sakarul maut) ialah saat yang paling dahsyat tidak tertanding kedahsyatan segala bahaya dan bencana di dunia ini kerana itulah apabila terkenangkan sakaratulmaut ada dikalangan sahabat Rasululllah SAW yang menangis dan jatuh pengsan.

Setiap muslim yang sentiasa mendalami wahyu Allah SWT pasti mempunyai keyakinan bahawa manusia akan menghadapi saat-saat kematian, mereka tidak ragu bahawa setiap insan akan dihidupkan dan dibangkitkan semula untuk hidup kekal di dalam kekal abadi di akhirat sana.

Peristiwa di Alam Barzah bagi orang-orang yang beriman dan berbekalkan amal soleh serta ketaqwaan yang unggul akan merasai suatu kerehatan yang damai sementara menunggu hari kebangkitan. Tetapi bagi manusia yang sarat dengan beban dosa maka alam barzah itu merupakan episod ngeri yang dipenuhi azab sengsara.

Mengingati mati bukanlan bertujuan untuk melemahkan semangat dan berputus asa bahkan boleh menambahkan kekuatan dan semangat untuk kita berusaha dan beramal membuat persiapan terbaik sebelum menghadapinya agar kita memperolehi kebahagian yang hakiki.