Demi Ajai - 34
bab 34

DEBARAN kian memuncak. Kesemua calon seluruh Malaysia berdebar-debar duduk selagi kaki belum diinjakkan ke dewan peperiksaan. Hari ini bermulanya peperiksaan PMR dengan kertas Bahasa Malaysia menjadi pemula.

Di SMK Lembah Pantai, suasana pepe-

riksaan sama seperti di sekolah-sekolah lain. Ada kumpulan di meja bulat masih tekun menyua ilmu ke dada, ada yang bersendirian mengulang kaji sambil menutup telinga dan ada juga asyik riang ketawa untuk meleraikan tekanan yang berselirat membeliti seluruh tubuh.

Ajai keluar dari perut kereta melalui pintu hadapan sebelah pemandu. Dituruti Kameena di belakangnya. Kedua-duanya kelihatan tenang.

Ajai memandang sekeliling. Dilihatnya calon-calon lain sedang bertungkus-lumus melakukan persediaan terakhir. Lalu dia teringat akan Gana. Semalam, Gana ada berpesan supaya menemuinya dahulu sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Kata remaja India itu, dia ada kejutan.

Buat yang terbaik. Jangan lupa baca doa banyak-banyak. Selesai menjawab, tawakal pula, Lazim memberi kata-kata perangsang kepada Ajai dan Kameena.

Pak cik, saya takut. Kameena tidak tenteram.

Ajai senyum simpul. Konon saja takut. Dekat dalam dewan nanti, laju saja menjawabnya. Biasalah. Pelajar cemerlang katakan.

Lazim tersengih dari dalam kereta. Suka benar dia melihat keletah mereka berdua.

Ajai, tak baik sindir Kameena macam tu. Kamu berdua pelajar cemerlang. Jangan digaduhkan lagi. Yakinlah dengan diri sendiri. Lazim cuba menjadi orang tengah. Dia tidak mahu moral kedua-duanya jatuh sebelum menyentuh kertas peperiksaan pertama. Lebihlebih lagi anak angkatnya, Ajai. Dia percaya Ajai mampu membuktikan kemampuannya.

Maaf, ayah. Saya cuma bergurau, Ajai tertunduk serba salah.

Minta maaf dekat Kameena. Nanti tak dapat jawab periksa dalam dewan nanti susah, ugut Lazim.

Maafkan aku ya, Kameena anak Datuk Murad.

Ya. Eh, cepatlah! Lagi setengah jam

nak mula, balas Kameena bersahaja sambil menunjukkan jam di tangan kirinya.

Baik. Ayah, kami pergi dulu. Hati-hati bawa kereta.

Ajai menghulurkan tangannya kepada Lazim. Diciumnya tangan lelaki itu dengan penuh rasa kasih. Kameena melihat dari tepi seraya tersenyum panjang.

Kemudian mereka berdua meninggalkan Lazim yang masih tersenyum. Ajai melajukan langkahan. Dia sudah nampak Gana di kantin sedang melambai-lambainya.

Ajai! Kad pengenalan kamu tertinggal, seru Lazim dari arah belakang.

Ajai dan Kameena menoleh. Spontan Ajai menepuk dahinya. Lantas dia berlari-lari anak menuju ke pintu pemandu.

Terima kasih, ayah.

Sama-sama. Semoga berjaya, suara Lazim bergetar menampung sebu.

Tautan kasih antara mereka tertambat. Ajai memandang wajah Lazim agak lama. Dari dahinya hingga ke dagu. Ditenungnya wajah suci itu lalu dirasakan seperti sedang berada di kayangan, menikmati sebuah kebahagiaan berkeluarga. Meskipun Lazim bukanlah bapa kandungnya, sekurang-kurangnya bapa angkatnya itu pernah mengenalinya sejak dia masih di dalam rahim ibunya.

Puas menatap wajah Lazim, lensa pandangan Ajai menyambar kad pengenalannya pula. Saat itu, air matanya menitis. Menitik menghempap gambarnya yang sedang melemparkan senyuman paling bahagia.