Anom mengangguk lemah. Wajah cerianya beransur suram.
Masalah yang dimaksudkan Azhan itu sudah wujud sejak Azhan dapat ingat. Dari mereka kecil-kecil lagi, Azhan sudah tahu tentangnya. Dan hanya Azhan seorang saja yang tahu, selain dari ibu Anom sendiri. Memang Anom tak pernah beri tahu pada sesiapa yang lain. Sebab ianya terlalu aneh. Anom memberitahu Mariah ketika dia berumur tujuh tahun. Manakala Azhan pula tahu semasa dia dan Anom di dalam darjah tiga.
Sejak Anom kecil, dia mempunyai satu... kebolehan. Kebolehan yang orang lain juga ada, tetapi tidak ramai di dalam dunia ni. Kebolehan yang telah diinterpretasikan dalam pelbagai cara oleh banyak pengkaji.
Ada yang menganggap ianya sesuatu yang semulajadi. Dan ada yang menganggapnya satu jenis penyakit. Tidak kurang juga yang mempercayai dan yang tidak mempercayai akan kewujudannya. Kebolehan ini juga dikenalpasti dengan banyak nama. Psikik, pawang, mata tak berhijab, psychosis, skizophrenia dan bermacam lagi. Bergantung kepada bidang ataupun prinsip yang dipegang oleh pengkaji. Dari sudut perubatan moden mungkin lain. Dari sudut paranormal pula, tentu sekali lain.
Anom tidak tahu tentang semua itu. Yang dia tahu, sejak dia kecil lagi, dia sudah boleh melihat apa yang orang lain tak nampak. Sesuatu yang dakwa kebanyakan orang tidak wujud ataupun tiada di situ. Tapi bagi Anom ianya wujud. Dan semestinya ada di situ. Sebab mereka juga boleh melihat Anom semula. Dan kadangkala berinteraksi dengan Anom.
Mereka ada dimana-mana. Hidup di kalangan manusia. Mereka juga bersosial sesama sendiri. Ada masanya, mereka bersosial dengan manusia juga. Terutama sekali dengan manusia yang suka 'bersahabat' dan suka meminta 'bantuan' dari mereka ini.
Walaupun aneh bila memikirkan, tapi mereka juga bekerja. Dah banyak kali Anom nampak mereka melakukan 'tugas' yang diberikan oleh tuan mereka. Ada yang kerja posmen. Iaitu menghantar 'hadiah' kepada manusia yang 'terkena'. Ada yang kerja tukang angkut barang. Iaitu mengangkut barang dari manusia yang 'terkena' juga. Dan yang paling popular, kerja 'menemani' manusia. Sehingga manusia itu jadi hilang akal dan pertimbangan. Nampak apa yang tak sepatutnya nampak. Histeria, kerasukkan dan bermacam lagi penyakit dalaman. Semuanya Anom boleh lihat setiap hari.
Contohnya baru minggu lepas, ketika dalam perjalanan ke kedai, Anom nampak satu makhluk yang sangat besar sedang memanjat tingkap sebuah rumah. Sebaik makhluk tersebut berjaya masuk ke dalam rumah itu, Anom dengar satu jeritan yang sangat kuat. Kecoh satu kampung, seorang gadis terkena histeria. Tapi Anom tak hairan. Siapa-siapa pun kalau dah kena peluk dengan makhluk yang besar dan ngeri macam tu, tentu akan histeria. Anom yang melihat sekali imbas wajah makhluk itu pun jadi tak lalu makan sampai hari ni.
Itulah salah satu masalah untuk seseorang yang mempunyai kebolehan seperti Anom. Walaupun Anom sudah lama mempunyai kebolehan ini. Sudah biasa. Tapi dari semasa ke semasa ianya tetap mengganggu kehidupannya. Anom jadi seorang yang kekok pada mata masyarakat. Lebih teruk lagi, seorang yang anti-sosial. Dia jarang keluar rumah sebab tak mahu terserempak dengan makhluk-makhluk itu. Mujurlah di rumah Anom, ibunya rajin membaca Al-Quran dan sembahyang. Jadi makhluk-makhluk itu jarang bertandang ke rumah mereka. Membuatkan Anom rasa lebih selamat.
Tapi bila di luar sana, ada saja mereka tu menjelma di hadapan mata Anom. Membuatkan Anom jadi sukar untuk menumpukan perhatian terhadap apa pun. Termasuk pelajarannya. Bayangkanlah, macam mana Anom nak tumpu pada pelajaran dalam kelas, apabila tiba-tiba ada satu lembaga tak berkaki yang turut sama menulis pada papan hitam bersebelahan dengan guru Kadang-kadang ada yang tak semena-mena muncul dari permukaan meja Anom sambil menyeringai menunjukkan giginya yang tajam. Tak kurang juga bila Anom buka beg untuk mengeluarkan buku teks, sebaliknya yang dikeluarkan adalah tangan manusia yang terputus. Lepas tu kelam-kabut tuannya datang dalam keadaan tubuh yang tidak sempurna, isi perut terburai, tempurung kepala retak, dan seluruh badan luka berdarah, lalu mengambil semula tangan itu dari Anom. Tertinggal... katanya pada Anom sambil tersenyum dengan mulut yang sudah robek.
Dulu mereka tidak begitu mengganggu Anom. Tapi sejak mereka tahu bahawa Anom dapat melihat mereka, makhluk-makhluk itu semakin galak menyakatnya.
"Aku tak mau kawan dengan kau orang lah!!!"
Jerit Anom tiba-tiba di tengah-tengah kelas pada satu hari. Semua pelajar dan guru berhenti dan memerhatikannya. Anom hanya mampu tersengih sambil meminta maaf.
"Han mintak maaf..."
Kata-kata itu memecah lamunan Anom.
"Kenapa pulak"
"Yalah. Han tak bermaksud nak buatkan Anom marah. Han cuma tanya sebab nak tau keadaan Anom sekarang. Han nak tau, Anom kena ganggu lagi tak dengan makhluk-makhluk tu."
bersambung
Bab akan datang:
Adakah Anom marah dengan soalan Azhan kepadanya