DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - 34
Semenjak aku kecil, ayah aku selalu pesan.

Kalau nak buat apa-apa dalam hidup, fikir dulu dia punya baik buruk, fikir masak-masak.

Perlahan-lahan konsep berfikir masak-masak tentang sesuatu perkara sebelum bertindak meresap kemas dalam sanubari aku. Masa aku sekolah rendah, aktiviti berfikir ni aku tak faham sangat. Tapi bila aku dah sekolah menengah dan berkenalan dengan ramai kawan, konsep berfikir masak-masak yang ayah aku terapkan mula menampakkan faedah.

Berfikir soal pemilihan aliran kelas tingkatan empat umpamanya, atau berfikir samada konteks akademik di Kolej Islam Klang sesuai dengan jiwa aku atau tidak, semuanya aku lakukan penuh hati-hati dan berfikir masak-masak. Penampilan diri, pembentukan imej, cara berpakaian, cara bercakap dan bertindak semuanya aku susun setelah aku fikir dengan jelas dan masak-masak.

Kalau aku berkenan satu benda, aku akan fikir strategi nak dapatkan benda tersebut. Aku fikir dari pelbagai aspek, implikasi, perlaksanaan, reaksi persekitaran, back up plan, kesan jangka panjang, objektif dan penilaian. Semuanya aku laksanakan atas satu pedoman, fikir masak-masak dulu!

Contoh senang yang aku boleh beri adalah soal makwe dan perkahwinan. Macam aku, dari awal aku dah rancang nak cari makwe orang Tanjong Malim dan duduk di Tanjong Malim. Sebabnya senang. Bila mak bapak aku nak merisik, bertunang dan hantar pengantin tak payah jauh-jauh sampai ke Arau. Atau Johor Bharu. Atau Kota Bharu. Buat penat. Naik kereta masuk gear tiga dah sampai rumah bini aku. Cuba tengok dari aspek kos. Berapa banyak kos aku dah selamatkan Tengok pula dari aspek balik kampung masa hari raya, tak ada nak susah hati kan Ok, tengok pulak dari segi persepsi orang tua. Hari-hari sakit demam orang tua aku dan bini, aku boleh tengok-tengok. Macam tu juga sebaliknya, kalau aku atau bini aku sakit, ada orang tua nak jaga. Semua perkara ini tidak berlaku dengan sengaja tapi muncul hasil dari konsep fikir masak-masak sebelum bertindak yang aku amalkan.

Namun ada sesuatu yang buat aku hairan.

Sejak kebelakangan ini, aku dapati konsep fikir masak-masak yang wujud dalam diri aku dah terpesong jauh dari falsafah yang sepatutnya.

Setiap kali aku sampai rumah dari tempat kerja aku kena fikir masak-masak dulu. Tak pernah terlepas. Apa hal sampai macam tu

Yeay! Ayah dah balik! Jom main masak-masak Hari ni ayah masak kat Ateem ayam goreng! Kata Fateem di depan muka pintu.

Aku geleng kepala.

Fikir Masak-Masak Dulu

Ya. Sekarang, sebelum aku buat apa-apa di rumah, aku kena fikirkan hal masak-masak dulu!