Hanya ada Buhaira dan Pujangga yang berdiri, berhadapan dashboard dengan punat-punat yang banyak tidak terperi. Punat-punat itu menyala dan berkelip-kelip; tetapi suasana sudah tidak lagi bising. Suasana sudah tidak lagi cemas. Cemas seperti suasana Banjir Besar di neo-Kuala Lumpur dahulu. Banjir yang begitu besar sedang mereka semua terperangkap di puncak pencakar langit Inter-Global dahulu. Suasana kini sudah tidak secemas suasana banjir besar itu. Banjir besar yang berlaku 1000 tahun dahulu!
3113 Masihi.
Seribu tahun yang lalu, Banjir Besar telah mengekori peperangan kuno tentera Jaafar al-Hussein untuk merebut neo-Kuala Lumpur, sebuah megalopolis yang kini sudah berada di dasar Lautan Hindi. Banjir Besar itu menenggelamkan sebahagian besar bumi dan mengapungkan sebahagian besar yang terpendam selama ini. Seribu tahun yang lalu, manusia neo dan proto-Human saling berbalahan, namun kini; entah apa yang berada di dataran sana. Mereka tidak tahu. Sungguh, mereka tidak tahu.
Mereka tidak lagi berada di bumi!
Pujangga, apa kamu masih belum mahu tidur
Destinasi kita masih jauh.
Buhaira, aku terjaga. Mimpikan kamu.
Mimpikan aku Tentang apa
Tentang kamu dan banjir besar itu.
Buhaira tersenyum.
Mana mungkin sesiapa pun akan melupakan episod itu. Pujangga telah memasuki pintu hadapan kapal angkasa yang diberi nama Bahtera 2.0, sedang Buhaira masih lagi berkira-kira untuk merasai nikmat syahid atau terus hidup meneroka ke langit dan angkasa. Air bah ketika itu sudah sampai ke paras dada; air bah misteri yang mengalir tenang, tidak tergopoh-gapah.
Alif Lam Lam Ha memberi masa, ruang dan peluang untuk berfikir.
Buhaira menyambut tangan Pujangga yang terhulur seribu tahun yang lalu. Lalu angkatan mereka berpimpinan memasuki perut Bahtera 2.0 yang sudah sedia menunggu mereka.
Kamu masih belum melupakan kenangan lalu,
Pujangga
Iya, masakan aku lupa, wajah kalian ketika memasuki kapal angkasa ini. Saat tenaga solar, minyak Torium dan pelakuran nuklear memacu kapal ngkasa kita.
Iya, aku sedikit bingung dengan apa yang terjadi.
Masih ingatkah kamu ketika melihat kelalang yang dipenuhi manusia, juga segala maklumat gen binatang yang tersimpan Juga segala macam jenis biji benih untuk ditanam di Tempat Baru nanti
Aku sangat terkejut, lebih-lebih lagi melihat Mama Juwita yang masih hidup!
Mereka tersenyum.
Tentulah, apa kau lupa, namanya pun sudah Srikandi MahaMencipta. Tapi kini, maklumat perisian neo-synthHuman untuk Mama Juwita masih belum lengkap.
Neo-SynthHuman
Iya, manusia terbaru.
Ah, kalian dan obsesi kalian. Lihat, aku proto-
Human yang masih bernyawa!
Kamu itu, keajaiban, Buhaira.
Aku ini, tandatangan penciptaan Alif Lam Lam Ha, Pujangga.
Mereka berpandangan.
Kamu mahu terus berjaga di sini, Pujangga
Iya, aku masih belum mahu tidur. Aku masih belum mampu untuk tidur. Aku lihat Razief dan Isa sedang nyenyak di kelalang pembekuan bersamasama dengan yang lain. Biarlah aku berjaga sekejap, Buhaira. Aku suka akan ketenangan di dalam perut Bahtera 2.0 ini. Kapal angkasa maha besar dengan segala maklumat dan gen hidupan untuk dihasilkan di Tempat Baru nanti, seolah pengharapan baru buat aku. Buat kita.
Kamu, ...kamu mahu aku menemanimu,
Pujangga
Iya, Syed Borhan. Iya. Temani aku di sini.
Mereka berpelukan.
Bahtera 2.0 menghampiri kelajuan cahaya hanya dalam beberapa jam sahaja; dan kapal angkasa itu membelah sinar galaktika meninggalkan sistem solar di belakang mereka. Sudah seribu tahun mereka keluar dari galaksi yang bobrok ini, mengembara di alam semesta yang sungguh asing lagikan sunyi.
Percikan umpama kelopak mawar; Supernova, dan aruh cantik sinar Nebula kadangkala mencanting nuansa indah, sebagaimana yang dikhabarkan oleh NeoNostradamus bahawa Tuhan itu artis dan pengkarya. 60 juta tahun cahaya jaraknya dari bumi adalah NGC 4414, sebuah galaksi berjiran dengan sistem solar. Namun mereka tidak akan ke situ.
Bahtera yang dikemudi oleh Aaron tidak membawa mereka ke situ.
Bahtera 2.0 ini akan menuju ke galaksi Cygnus, menemui Tempat Baru yang bernama Kepler-452b. Keadaannya yang sama dengan bumi walaupun dengan tarikan graviti dua kali ganda mungkin menjadi Tempat Baru untuk mereka memulakan sebuah tamadun di sana.
Seperti Adam dan juga Hawa.
Bahtera itu meluncur laju menuju ke Kepler-452b yang bersaiz dua kali ganda lebih besar dari bumi. Mereka berdua berpegangan tangan, menanti dengan penuh harapan. Dengan kelajuan yang ada, demi takdir yang membenarkan, Tempat Baru itu akan dikunjungi jua.
Berapa lama lagi, Nora Pujangga tersenyum.
Kenangan Harvad mula menjelma.
Jaraknya sejauh 1400 tahun cahaya, Borhan.
Bersabarlah.
Demi Alif Lam Lam Ha, aku ingin terus bersamamu.
Apakah nanti, kamu akan membawa bersama
Kalam Tuhan
Bahkan mengajarnya, Nora.
Iya Kenapa
Kerana suatu hari nanti, manusia tidak akan melupakan Tuhan!
Dan mereka terus mengembara, membelah angkasa, mencari sebuah kehidupan yang barangkali masih tersisa di ruang maha sunyi dan misteri. Allahu!