Demi Ajai - 35
bab 35

PAGI itu dingin sekali. Meskipun sudah hampir menemui tengah hari, bumi Kuala Lumpur masih belum panas seperti selalu. Di langit, awan tidak bukat. Malah, cahaya kekuningkuningan yang muncul di celah gumpalan awan makin mencerlang seolah-olah memberi sinar nan terang metah.

Ajai yang berseorangan di rumah tidak sedar akan keanehan pagi itu. Dia asyik meladeni bait-bait puisi nukilannya sendiri. Masuk kali ini, sudah hampir sepuluh kali diulang baca. Namun dia masih belum puas menatapnya.

Usai peperiksaan PMR melabuhkan tirai, Cikgu Isa sering menyuguhinya buku-buku puisi yang terkenal dari dalam dan luar negara. Cikgu Isa ada koleksinya. Dia juga penggemar santapan rohani segitu. Gugus-gugus kata yang dijual oleh penyair di atas kertas akan dibeli oleh mindanya. Kata Cikgu Isa kepadanya juga, peminat sastera semakin berkurangan. Industri tersebut tenggelam dek ombak akulturasi yang menimbus pelabuhan kebudayaan asal orang Melayu.

Ajai juga berpendapat begitu. Dia mula menyedarinya setelah mengakrabi industri sastera. Setelah diperkenalkan dengan nama-nama besar dalam dunia sastera oleh Cikgu Isa, dia kian menjadi gila. Jika kena pada masanya, dia akan berperangai seperti penduduk di Planet Sastera. Makannya, rehatnya, mainnya akan dikaitkan dengan ilmu kesusasteraan.

Ajai, buka pagar cepat, nak.

Ajai tersentak. Suara Lazim dari luar pagar sipi-sipi melintasi lohong telinganya. Segera dia bangkit dari baringnya dan mencapai gugusan kunci yang tersangkut di dinding sebelah pintu. Lalu dia bergerak laju ke pagar. Di tangan kanannya masih ada lembaran kertas yang dibacanya dari tadi.

Maaf, ayah. Saya ralit. Ajai mengakui kelekaannya. Mangga pagar dibuka cepat-cepat.

Tak mengapa. Kami ada beli makanan tengah hari. Ayuh kita makan. Lazim merengkuh bahu Ajai.

Ajai. Nah, baca ni! Tentu kamu gembira. Cikgu Isa yang baru keluar dari perut kereta menghulurkan surat khabar kepadanya.

Ada apa, cikgu

Baca sajalah, serentak balasan daripada

Lazim dan Cikgu Isa. Suara mereka bersatu

di udara. Kedua-duanya berpandangan lalu tertawa kecil.

Ajai tersengih melihat mereka. Rasa bersyukur singgah sebentar di hatinya. Dia sempat mencuri pandang wajah-wajah murni kedua-dua mereka. Lazim yang suatu ketika dahulu pernah dikasarinya kini menjadi insan yang paling disayangi. Begitu juga Cikgu Isa yang semakin tipis rambutnya akibat kemoterapi. Kedua-duanya memiliki ciri-ciri seorang bapa mithali.

Ajai berkali-kali melafazkan syukur. Dia tidak menyangka hidupnya yang begitu berliku akhirnya disulami dengan kebahagiaan. Dia sudah ada keluarga untuk bermanja. Dia juga ada Kameena dan Datuk Murad yang sering cakna tentang kehidupannya.

Ajai terharu. Hampir mahu menitiskan air mata. Sungguh, dia kini berada di syurga yang diimpikannya sejak dahulu.

Ajai kembali menghantar pandangannya ke muka depan akhbar.

Larangan penggunaan istilah jakun

Tahniah, Ajai! Kamu telah berjuang untuk kaum kamu. Lazim melambungkan pujian.

Ajai bangga. Dia sedar betapa dia juga sebahagian daripada mereka. Undang-undang menetapkan seorang yang dibela oleh Orang Asli layak menjadi sebahagian daripada mereka.

Dia teruja dan puas.

Kata Datuk Murad, isu tersebut dah terlalu lama berlarutan sehingga menjadi kebiasaan kepada generasi sekarang. Mujur Menteri Pelajaran mahu membantu. Perdana Menteri pun menyambut baik keputusan itu, kata Cikgu Isa merumuskan isu yang tersisip di dalam akhbar tersebut.

Itu yang perlu dikhuatirkan, cikgu. Kalau terus membisu, nescaya generasi akan datang juga akan terikut-ikut. Sudahnya, sampai bilabila suku kaum Jakun berasa terhina, terang Ajai memperakukan kejayaannya.

Eh, marilah masuk! Kita sambung bersembang selepas makan, ya. Perut ni dah mula berkeroncong, Lazim menyelit.

Ajai dan Cikgu Isa tersenyum. Mereka bertiga pun masuk ke dalam rumah. Ajai berjalan di antara Lazim dengan Cikgu Isa. Bahu kanannya dirangkul Lazim. Manakala bahu kirinya pula milik tangan Cikgu Isa.