Umurnya awal 40-an. Bekerja sendiri memandu van kilang. Ini baru kali kedua dia datang ke klinik. Tapi isteri dan anakanaknya sering berjumpa dengan aku. Kali pertama dia datang awal bulan lepas. Sakit biasa-biasa sahaja. Tapi kali ini sakitnya agak luar biasa. Dua minggu ini dia sentiasa rasa resah dan gelisah. Badannya sakit-sakit, nafasnya sempit dan pedih hulu hatinya. Macam-macam klinik dia dah pergi. Klinik kerajaan juga unit kecemasan pun dia dah pergi. Ada yang kata sakit urat atau masuk angin. Ada yang kata sakit gastrik. Ada yang kata sakit thyroid. Bomoh-bomoh juga ustaz-ustaz jangan ceritalah. Hampir setiap hari dia pergi berubat.
Dan dah seminggu ni dia tak boleh tidur. Dua wanita yang menemaninya adalah adik-beradiknya. Mereka minta tolong check darah satu badan. Nak tahu sakit apa sebenarnya. Pemeriksaan fizikalnya normal. Tekanan darah dan nadinya normal. Langsung tiada tanda-tanda hyperthyroid. Tetapi mukanya memang sentiasa resah. Percakapannya sangat kuat dan pantas. Rambutnya tidak terurus. Mulutnya berbau. Pakaiannya pun main tangkap muat. Bila ditanya dia masih boleh menjawab dengan betul. Dia risaukan pasal keluarga dan anak-anaknya. Namun dia masih boleh beristighfar. Dan dia tahu dia sakit. Kakak-kakaknya macam dah faham maksud aku. Cuma aku tak cakap dia gila. Aku cuma cakap kalau ujian darahnya normal, aku kena hantar dia ke Klinik Psikiatri. Puncanya Kakaknya baru kematian suami beberapa bulan lepas. Jadi dia risaukan anak-anaknya jika apa-apa berlaku kepadanya.
Aku nak buka rahsia. Aku memang minat bidang psikiatri masa student dulu. Aku rajin duduk wad 5 berborak-borak dengan orang gila. Macam-macam cerita gila aku boleh dengar. Prof Deva dan Prof Hussin Habil di Universiti Malaya tu pernah menjadi idola aku. Aku pernah bercita-cita nak jadi pakar psikiatri sebenarnya. Aku suka duduk mendengar cerita-cerita orang. Aku pandai membaca personaliti seseorang. Tapi hajat aku tak kesampaian. Aku takut diketawakan kawan-kawan. Aku takut aku jadi gila juga akhirnya.