Radiasi boleh difahami dalam dua konteks iaitu radiasi elektromagnet dan radiasi nuklear. Radiasi elektromagnet adalah hasil daripada sinaran elektromagnet seperti cahaya matahari contohnya. Sinaran elektromagnet ada yang berbahaya, ada pula yang tidak.
Sebelum ini, kami cuma mendedahkan spektrum elektromagnet pada bahagian spektrum yang boleh dilihat oleh manusia iaitu tujuh warna pelangi. Sebenarnya, elektromagnet mempunyai gelombang cahaya yang tak dapat dilihat. Gelombang-gelombang yang tak dapat dilihat ini pula ada yang bergelombang panjang, ada yang bergelombang pendek.
Sinaran gelombang yang paling panjang dalam spektrum elektromagnet adalah sinaran gelombang radio. Sinaran ini digunakan dalam teknologi menghasilkan wi-fi internet, ketuhar, siaran radio, siaran televisyen dan komunikasi telefon. Biasanya gelombang ini digunakan untuk menghasilkan barang-barang elektronik.
Selepas gelombang radio, ada pula gelombang inframerah yang digunakan dalam teknologi menghasilkan barang-barang optik seperti alat penglihatan-malam dan gema-lokasi yang digunakan oleh tentera.
Selepas gelombang inframerah, barulah sampai ke gelombang warna yang boleh dilihat oleh manusia. Gelombang-gelombang ini mempunyai tenaga yang rendah dan tidak membahayakan manusia.
Selepas gelombang warna itu, kita telah sampai pada gelombang yang pendek dan gelombang sinaran ini mempunyai tenaga yang tinggi dan cukup berbahaya kepada manusia. Inilah radiasi elektromagnet yang berbahaya.
Gelombang bertenaga tinggi ini terdiri daripada geombang ultra-lembayung (ultraviolet), gelombang sinaran-x (x-ray) dan gelombang gamma. Gelombanggelombang ini berbahaya kerana mampu melakukan proses pengionan (ionization).
Apa itu pengionan
Pengionan adalah proses atom menjadi zarah bercaj. Atom pada asalnya neutral, iaitu caj positif dan negatif berada dalam keadaan seimbang. Macam objek-objek yang berada di sekeliling, ianya tidak bercaj dan neutral kerana berada dalam keadaan stabil. Apabila proses pengionan berlaku, atom jadi tak stabil dan bercaj. Atom ini akan menjadi sejenis ion.
Dari sudut konteks radiasi nuklear, radiasi daripada zarah alpha, zarah beta dan gelombang gamma turut mempunyai bahaya yang sama seperti gelombang elektromagnet kerana mempunyai tenaga yang tinggi.
Kekuatan penembusan setiap radiasi nuklear berbeza. Zarah alpha mempunyai kadar penembusan yang rendah. Ia tidak mampu menembusi sehelai kertas pun!
Seterusnya zarah beta dapat menembusi kertas, tetapi zarah ini dapat dihalang dengan menggunakan plat aluminium. Bermaksud kita dapat melindungi radiasi zarah beta dengan menggunakan aluminium.
Sinaran gamma pula mempunyai kadar penembusan yang tinggi. Hanya bahan plumbum (lead) yang dapat menyerap sinaran ini kerana kadar ketumpatannya yang tinggi.
Terdapat satu lagi radiasi nuklear yang paling kuat antara mereka, iaitu zarah neutron. Konkrit dapat digunakan untuk melindungi daripada zarah neutron.
Tenaga-tenaga nuklear ini mempunyai tenaga yang tinggi kerana dilepaskan daripada atom yang berjisim berat seperti uranium, plutonium, neptunium dan banyak lagi. Kalau lihat dalam jadual berkala (periodic table), elemen-elemen yang tersusun di bahagian kotak bawah itu mempunyai jisim yang tinggi.
Berbalik pada proses pengionan tadi. Semua radiasi ini mempunyai tenaga yang tinggi. Apabila ia masuk masuk ke dalam tubuh melalui pernafasan ataupun masuk melalui penembusan, radiasi ini berinterkasi dengan atom-atom. Mereka membawa tenaga, apabila berinteraksi, mereka akan memberikan tenaga pada elektron-elektron yang terdapat pada atom.
Apabila elektron-elektron ini menerima tenaga, ia akan cuba melepaskan diri daripada atom. Kemudian, setelah elektron-elektron ini tertanggal daripada atom, atom ini menjadi tidak stabil. Inilah maksudnya atom ini mengalami pengionan. Apabila atom tidak stabil, struktur sel tubuh pun menjadi tak stabil.
Terdapat beberapa kesan kesihatan yang menyebabkan pengionan ini. Antaranya adalah sel-sel akan menjadi hura-hara. Maksudnya radiasi ini menyebabkan tubuh memperolehkuasa yang tak dapat ditanggung, lalu menyebabkan sel-sel ini berfungsi lebih daripada sepatutnya. Boleh menyebabkan kanser, kematian sel dan kematian manusia itu sendiri.
Zarah alpha adalah yang paling rendah penembusannya. Penembusannya tidak mampu melepasi kulit manusia pun. Tetapi apabila dihidu dan masuk ke dalam tubuh, ia sangat bahaya. Zarah alpha mempunyai radiasi pengionan yang paling kuat.
Dilaporkan dengan radiasi alpha yang cukup, ia mampu merosakkan kromosom. Daya kerosakan yang dilakukan lebih kuat dan berbahaya berbanding radiasi zarah beta dan sinaran gamma. Zarah alpha yang dihasilkan oleh isotop polonium mampu menyebabkan kanser paru-paru dan kanser pundi.
Zarah beta mampu mengubah bentuk molekul yang diserang. Perubahan ini mampu merosakkan selsel tubuh. Malah, boleh menyebabkan kanser dan kematian. Kalau apa yang diserang oleh sinaran beta ini adalah DNA, ia mampu menyebabkan mutasi.
Dalam fiksyen, mutasi menyebabkan manusia memiliki kuasa super atau kemahiran yang luar biasa. Hakikatnya, tidaklah begitu. Mutasi ini menyebabkan beberapa sistem dalam tubuh, terutamanya tindak balas kimia tubuh tidak berfungsi.
Ia boleh menyebabkan tindak balas protein tak berfungsi dengan baik. Mutasi dalam sel germa (germ cell), iaitu sel yang bersangkut paut dengan pewarisan zuriat, boleh mengakibatkan kanser. Serangan ke atas DNA juga boleh mengakibatkan sistem tubuh untuk berlindung daripada penyakit tidak dapat berfungsi.
DNA adalah komponen penting dalam tubuh. Kerosakan sistem DNA mengakibatkan tubuh kita berada pada tahap yang sangat-sangat bahaya.
Walaupun sinaran gamma mempunyai kadar penembusan yang tinggi, pengionannya tidak sekuat radiasi zarah alpha dan beta. Tetapi kesan pendedahannya pada tubuh pun boleh mengalami risiko kesihatan sepert kerosakan sel tisu dan kerosakan genetik.