Kali pertama melihat dunia luar selepas hampir 26 tahun hidup dalam kurungan, Hasnah rebah di pangkuan Hasya yang menyambutnya di ruang utama Penjara Wanita Kajang yang menyimpan seribu satu kenangan buat dirinya. Dorothy dan Akmar Aini turut sama memapahnya yang seakan kehilangan kata-kata dengan getar tubuh yang menyayat hati sesiapa jua yang memandang. Pandangan Hasnah terhadap persekitarannya dilihat seperti baru menjejakkan kaki ke planet asing membuatkan dirinya berasa terasing; jauh lebih terasing dari saat dia di dalam tembok besar berjeriji selama ini.
Sebastian Jones yang memerhati sejak tadi, memahami situasi yang dihadapi Hasnah. Ianya tidak lain permainan psikologi. Humans are habitual creatures. Manusia yang normal memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum situasi baru diserap menjadi habitat secara berperingkat-peringkat. Setelah berpuluh tahun hidup terkurung, wajarkah mengharapkannya mengasimilasi kebebasan yang hanya baru beberapa minit saja dikecapi
Sebagai orang penting dalam pembebasan Hasnah setelah sekian lama berjuang, pembebasan ini sememangnya kemuncak kejayaannya sebagai peguam jika dilihat dari kacamata seorang pengamal undang-undang. Namun dari sudut kemanusiaan pula, Hasnah tiada bezanya dengan insan lain yang berhak diberi peluang kedua peluang untuk bangkit semula setelah tewas dalam hidup yang penuh percaturan ini. Satu yang diharapkan Sebastian agar Hasya terus tabah menempuh dugaan. Hasnah kini bukan lagi ibunya yang pernah dikenalinya dulu, sewaktu dia belum dipenjarakan. Jika Hasnah itu yang diharapkan Hasya, dia sudah lama hilang.