Cara menangkap belalang dan pepatung adalah saling menyerupai cumanya menangkap belalang adalah lebih thriller.
Terdapat dua cara untuk menangkap pepatung. Cara yang pertama adalah dengan menggunakan tangan kosong. Pepatung yang hinggap di ranting pokok akan dihampiri secara perlahan-lahan dari belakang. Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk seperti perbuatan mencubit, ekor pepatung akan dicengkam lembut. Cara yang kedua adalah dengan menggunakan plastik sampah yang diikat pada sebatang ranting pokok. Pepatung akan diserkup dari belakang secara senyap-senyap.
Pepatung yang ditangkap akan dipegang pada sayapnya. Terdapat sesetengah orang yang kononnya kreatif akan mengikat benang pada ekor pepatung dan pepatung dibiarkan terbang bebas. Sambil memegang benang tadi, pepatung akan dibawa berjalan-jalan (secara berterbangan) seumpama seekor anjing peliharaan.
Sementara itu, menangkap belalang adalah lebih sukar kerana belalang lebih peka dan lebih pantas bertindak balas dari pepatung. Belalang yang gemar ditangkap adalah belalang kunyit berikutan saiz yang besar dan warna yang menarik. Cara untuk menangkap belalang adalah sama dengan menangkap pepatung tadi cuma menggunakan kelimalima jari untuk menggenggam terus keseluruhan badan belalang. Menggenggam belalang memerlukan kepakaran dan pengalaman hidup yang luas memandangkan belalang mempunyai sepasang kaki belakang yang besar dan berduri tajam. Jika genggaman tidak kemas, tapak tangan akan disiat duri pada kaki belalang tanpa ehsan.
Belalang yang berjaya ditangkap akan dicabut kaki besarnya supaya tidak dapat melompat dan melarikan diri. Belalang tanpa kaki besarnya boleh diumpamakan seperti kereta tanpa tayar belakang. Belalang yang ditangkap akan dibela di dalam tin susu dan diberi makan daun pokok jambu. Sesetengah penjaga pula memberikan arang sebagai bahan makanan, walaupun sukar untuk diduga adakah khasiat yang terkandung di dalam seketul arang.