Tiada Tajuk - 36
Bab 36

Dalam masa yang sama, di dalam van hitam tadi, lima orang lelaki sedang bertelagah.

"Kita kena pergi semula."

"Tak boleh!"

"Kenapa"

"Risiko terlalu tinggi. Kau sendiri pun nampak, ada orang yang curiga dengan kehadiran kita tadi."

"Tapi mungkin ini saja peluang kita!"

"Aku cakap tak boleh! Kita kena batalkan misi hari ni dan cuba semula nanti."

"Dengar sini. Kita dah letak kain batik yang ada ubat pelali tu dekat dalam bilik air dia. Dan mengikut pemerhatian kita selama seminggu, ini adalah waktu dia akan mandi setiap hari. Maksudnya tentu dia dah jumpa kain batik tu dan memakainya. Mesti waktu ni dia dah tak sedarkan diri sebab ubat pelali tu hanya perlu ambil masa sepuluh minit saja untuk mula bertindak. Jadi kita kena laksanakan sekarang jugak!"

"Betul. Lagipun, kalau kita batalkan hari ni, mungkin dia akan mula rasa syak wasangka. Tentu lepas ni dia akan lebih berhati-hati. Kita mungkin tak ada peluang lagi dah! Ini adalah misi kita yang paling penting setakat ni. Kita perlukan perempuan terpilih yang ini. Tanpa dia, semua kerja kita selama ni akan musnah macam tu saja!"

Pemandu van itu diam. Wajahnya bengis dalam keterdesakan. Dia tidak mahu menanggung risiko kegagalan misi mereka. Tapi dalam masa yang sama dia juga tidak dapat menyangkal kata-kata dua orang rakan setugasnya itu. Memang benar. Mungkin ini satu-satunya peluang mereka.

Lalu pemandu itu pun melakukan belokkan tajam. Mengembalikan arah tuju kenderaan hitam itu balik ke rumah Anom. Sementara itu, empat orang yang lain di dalam van itu bersiap-sedia dengan semua kelengkapan yang diperlukan. Salah seorangnya, memegang sebuah kotak yang bertanda,

' Artificial Insemination Kit :

Specimen 7 / Batch 7 '

Kali ini, si pemandu memberhentikan van itu lebih jauh dari rumah Anom di kawasan yang agak terlindung. Mereka berlima turun dan menyusuri kawasan semak samun menuju ke rumah Anom.

Secara perlahan dan licik, masing-masing mendekati rumah papan itu. Seorang dari mereka menyelinap masuk ke dalam untuk memastikan Mariah tidak berada berdekatan dengan bilik air di mana Anom sedang mandi ketika itu. Dua lagi menunggu di depan dan belakang rumah untuk meninjau kalau-kalau ada orang yang datang. Manakala selebihnya masuk ke dalam bilik air untuk melaksanakan misi yang paling penting dalam hidup mereka.

Kedua-dua lelaki itu berdiri di sebelah tubuh Anom yang terbaring di tepi perigi. Anom tidak sedarkan diri setelah menghidu ubat pelali yang telah disapukan pada kain batik biru yang dijumpainya tadi.

Han-1 dan Han-2 hanya berdiri tegak di situ. Semacam kaku. Ini bukan misi pertama mereka. Bukan spesimen pertama. Dan bukan perempuan terpilih yang pertama. Tapi kali ini berbeza. Istimewa. Mereka tak tahu kenapa. Tapi semua mengatakan begitu. Terutama sekali orang-orang atasan mereka. Yang lebih separuh darinya, mereka tak pernah berjumpa pun. Tak pernah kenal mahupun bersua muka. Hanya mendengar nama. Atau jawatan. Atau kod-kod tertentu yang melambangkan tahap ketinggian mereka di dalam organisasi.

Han-1 dan Han-2 sendiri pun tidak tahu sejauh mana yang dikatakan tingginya organisasi mereka itu. Yang mereka tahu, mereka hanya orang bawahan yang menerima arahan dari orang atasan mereka yang menyampaikan arahan dari orang atasan mereka pula. Begitulah seterusnya sehingga berapa lapis pun tidak mereka ketahui.

Han-1 dan Han-2 hanya dapat membayangkan dalam kepala mereka, siapa orang-orang yang duduk selesa di atas sekali itu. Barangkali sampai bila-bila pun memang Han-1 dan Han-2 tak akan tahu siapa orang-orang itu. Tapi mereka cuma tahu satu benda. Bahawa orang-orang yang duduk di paling atas itu telah menekankan kepada semua orang di bawah mereka, bahawa misi ini adalah yang paling penting. Yang akan menentukan keberjayaan setiap perkara yang mereka sudah rancang dan laksanakan bermula lebih seratus tahun yang lepas. Untuk misi ini juga, Han-1 dan Han-2 tidak dimaklumkan apa-apa, selain dari hakikat bahawa wanita yang sedang terbaring di hadapan mereka ini, adalah wanita yang terpilih di antara yang terpilih.

"Han-1 lapor."

Suara Han-3 bergaung dalam rongga pendengaran Han-1 melalui alat komunikasi yang tertanam di situ.

"Belum lagi."

"Kenapa lama sangat Cepat!" desak Han-3.

Han-1 memandang Han-2 yang sedang mengangguk padanya tanda bersetuju. Mereka harus lakukannya segera.

Han-1 mengambil seketika lagi untuk merenung wajah Anom yang tenang. Dia kagum. Siapa sangka, seorang gadis kampung muda dan biasa seperti Anom, boleh mendukung satu rahsia yang bakal merubah dunia.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang akan mereka lakukan terhadap Anom Rahsia apakah yang akan didukung oleh Anom