DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 36
Aku biasa terima e-mel daripada doktor-doktor muda. Bertanya pasal kehidupan sebagai doktor cabuk. Bertanya bagaimana nak buka klinik sendiri. Bertanya pasal francais. Bertanya pasal pinjaman bank. Tapi e-mel ini lain sangat ceritanya.

Seorang doktor muda. Baru dapat jadi houseman tahun ini. Lulusan universiti daripada Indonesia. Dia minat bidang farmasi sebenarnya. Tapi JPA suruh dia buat jurusan Medik. Disebabkan kurang minat, dia selalu gagal dalam exam. Dah beberapa kali dia nak quit, tetapi dia teruskan juga sebab kasihankan ibu bapanya. Dia teruskan juga sebab ada perjanjian dengan JPA.

Masa mula bekerja sebagai doktor pelatih, baru dia tahu realiti sebenar kehidupan sebagai doktor. Dia tak boleh tengok pesakit. Dia akan kena Panic Attack. Dia seolah-olah fobia dengan pesakit. Dia selalu mengelak untuk jumpa dengan pesakit. Jumpa pengarah hospital. Jumpa pakar sakit jiwa. Dapat ubatubat penenang juga MC panjang-panjang pun, masih tak boleh menyembuh panic attacknya. Akhirnya dia resigned sebagai doktor. Dia nak minta kerja lain selain doktor. Masalahnya adalah dia ada perjanjian dengan JPA. Kena bayar balik ganti rugi lebih 100 ribu ringgit.

Terus-terang aku katakan. Aku sangat simpati dengan nasibnya. Dia memang tak boleh jadi doktor. Dia tak cukup passionate untuk jadi doktor yang selamat. Dia takda jiwa untuk jadi doktor yang berjaya. Dia memang kena cari bidang lain. Itu wajib. Boleh mati pesakit di tangannya. Apa yang boleh aku katakan, semuanya sudah terlambat. Ijazah sudah ada di tangan. Tapi tanpa khidmat wajib 3 tahun di kerajaan, dia tak boleh guna ijazah tersebut.

Aku teringat cerita 3 Idiots. Masa depan anak-anak ditentukan ibu bapa. Ibu bapa sungguh-sungguh suruh anak jadi engineer. Hanya engineer yang boleh menjamin masa depan. Hanya engineer boleh dapat rumah besar. Hanya engineer boleh dapat kereta besar. Padahal anak minat nak jadi photographer. Padahal anak minat nak jadi artist. Begitu juga dengan bidang kedoktoran. Tanpa minat yang mendalam, anak-anak tidak boleh dipaksa. Janganlah terpengaruh dengan cerita-cerita di TV dan filem. Jangan masih menganggap kerjaya doktor sesuatu yang mudah. Mudah nak berjaya, mudah nak kaya, mudah nak dapat kereta besar, mudah nak dapat rumah besar. Kerjaya doktor perlukan minat. Kerjaya doktor perlukan pengorbanan. Bukan setakat wang ringgit sahaja. Tapi pengorbanan masa yang paling utama. Waktu belajar yang lebih panjang. Waktu kerja yang lebih panjang. Bebanan kerja juga kadang-kadang tak tertanggung. Nyawa manusia itu tak ternilai harganya. Begitulah juga tanggungjawab doktor yang menjaganya.

Kepada doktor muda yang bertanya, perkara yang lepas janganlah dikenang. Ilmu yang dipelajari masih ada gunanya. Walaupun anda mungkin takkan jadi doktor, ada banyak lagi cabang kerjaya yang boleh anda pilih. Anda juga masih punya masa untuk belajar bidang yang baru. Ikutlah gerak hati. Bertanya dengan diri sendiri, apa yang anda mahu. Anda tak rugi apa-apa kalau tak jadi doktor sekalipun. Allah itu Maha Adil.

Tentang ganti rugi dengan JPA tu, masih ada jalan penyelesaiannya. JPA tidak sezalim yang disangka. Mereka pasti memahami masalah anda. Anda memang wajib bayar ganti rugi. Mungkin tak seratus peratus. Mungkin boleh bayar secara ansuran. Dan biasanya lepas beberapa tahun baru fail dibuka. Hal itu janganlah dirisaukan. Ada kawan saya dah 10 tahun berhenti, satu surat saman pun tak sampai ke rumah.