FIZIK-LAH! - 36
Nukleon mengandungi sejenis tenaga nuklear iaitu tenaga ikatan (binding energy). Tenaga ikatan cukup kuat untuk mengikat proton-proton dan neutronneutron dalam satu biji nukleus. Kalau ikutkan proton-proton ini akan menolak antara satu sama lain kerana mereka mempunyai caj yang sama. Tapi tenaga ikatan ini menahan tolakan tersebut.

Tenaga inilah yang menyebabkan proses radioaktiviti. Apabila nukleon berada dalam keadaan tidak stabil, tenaga dalam nuklear itu akan dilepaskan keluar melalui proses radiasi supaya tenaga nuklear yang mengikat dapat mengikat semula nukleon untuk mencapai kestabilan. Radiasi ini berterusan hinggalah nukleon kembali stabil.

Dalam nuklear, kita ada dua jenis proses. Proses ini berlaku dalam atom juga dan ia melibatkan nukleon dan tenaga ikatan tadi. Proses tersebut adalah pembelahan (fission) nuklear dan pelakuran (fusion) nuklear. Kedua-dua proses ini juga dipanggil sebagai tindak balas nuklear (nuclear reaction).

Tindak balas nuklear ini berlaku ke atas elemen atau atom yang tidak stabil. Kita panggil atom ini tidak stabil kerana jumlah proton dan neutron melebih tenaga nukelar yang mengikat mereka. Elemen ini kita panggil sebagai isotop yang tak stabil seperti yang telah dijelaskan.

Pembelahan nuklear adalah proses memecahkan isotop menjadi beberapa isotop yang lebih kecil dan ringan. Proses pembelahan nuklear ini selalunya dilakukan ke atas isotop-isotop yang berat sepert uranium, plutionium, iridium dan banyak lagi atom berjisim berat.

Proses pembelahan ini berlaku dengan menembak sejenis neutron ke atom yang berat tadi. Kalau nak buat bom, biasanya saintis menggunakan uranium-235. Uranium-235 jugalah bahan yang digunakan untuk mencipta bom atom yang pertama di dunia.

Setelah isotop yang berat itu ditembak, uranium-235 contohnya, ia akan terbelah menjadi menjadi beberapa isotop yang lebih ringan dan melepaskan sejumlah tenaga yang kuat.

Selepas uranium-235 dibelah, ia akan menghasilkan krypton-92, barium-141, 3 biji neutron dan sejumlah tenaga yang besar. Biasanya produk isotop yang dihasilkan selepas proses pembelahan nuklear lebih stabil berbanding isotop utama tadi. Maksudnya, krypton-92 dan barium-141 lebih stabil berbanding uranium-235.

Proses pembelahan ini biasanya tidak dilakukan ke atas sebiji isotop uranium-235. Tetapi sebahan uranium-235. Maksudnnya, ia melibatkan banyak isotop. Apabila melibatkan banyak isotop, maka akan berlaku proses tindak balas berantai (chain reaction).

Setelah satu isotop dibelah, ia akan melepas 3 neutron. 3 neutron ini pula akan terpelanting ke isotop-isotop lain. Lalu, isotop-isotop lain ini pula terbelah dan melepaskan lebih banyak neutron dan membelah lebih banyak isotop. Akhirnya, tenaga yang dihasilkan sangatlah kuat. Sekuat bom atom apabila tidak dapat dikawal dengan baik.

Pembelahan nuklear ini juga digunakan dalam teknologi sumber tenaga, terutamanya dalam loji kuasa (power plant). Tenaga haba yang dilepaskan akibat pembelahan nuklear dapat dijadikan sebagai tenaga untuk menukarkan air menjadi stim wap. Lalu, stim tersebut menjadi jentera menghasilkan sumber elektrik.