Mencari Kiblat Cinta - 37
Masalahnya Danira, saya dah cuba hubungi semua pihak. Semuanya termasuk pihak polis, sekolah, pusat-pusat pengajian, hospital, badan-badan kerajaan dan swasta, tapi saya tak dapat apa-apa berita langsung tentang adik awak. Seolah-olah dia ghaib begitu saja. Keluh Zulbhan.

Danira masih belum mampu mencerna kata-kata Zulbhan. Hatinya enggan percaya. Mustahil tidak ada berita langsung tentang adiknya. Mustahil!

Awak jangan bimbang sangat. INSYA ALLAH saya akan berusaha lagi cari Naufal sehingga bertemu. Saya datang jumpa awak ni sebab saya nak tanya, awak ada gambar Naufal yang terbaru Soal Zulbhan ingin tahu.

Danira terkedu. Sejak dia dipenjarakan, dia langsung tidak memiliki sebarang gambar Naufal. Itulah yang paling dikesalinya. Kalau ada pun, ia hanya gambar lama mereka sekeluarga yang ada di dalam simpanannya. Itupun Naufal masih bayi ketika itu. Tentu gambar itu tidak sesuai diberikannya pada Zulbhan! Fikir Danira.

Melihat gelengan gadis itu, Zulbhan mengeluh panjang. Susah kalau begini! Dia seolah-olah mencari dalam gelap. Kalau hanya bersandarkan pada nama semata-mata, tak mungkin dia mampu bertemu dengan Naufal dalam jarak singkat begini.

Encik Zulbhan tolonglah cari dia. Saya dah tak tahu nak minta tolong dengan siapa lagi. Rayu Danira sebak.

Zulbhan terdiam. Melihat gadis itu mengalirkan airmata, entah mengapa dia jadi serba-salah. Meskipun dia tidak tahu punca kenapa Danira boleh terpisah dari adiknya, namun dia nekad mahu membantu gadis itu mencari Naufal.

Danira, saya janji saya akan cari dia. Jangan bimbang. Janji Zulbhan lagi. Dia bersungguh-sungguh mahu menyakinkan gadis itu.

Danira terharu. Kata-kata Zulbhan memancarkan semula harapan di jiwanya. Akan bertemukah kita nanti Naufal Atau apakah kakak akan kehilangan Naufal buat selama-lamanya

Wajahnya yang agak sembab diteliti melalui cermin di hadapannya. Penjuru kelopak matanya masih bersisa dengan kesan-kesan airmata. Sungguh dia tidak dapat menahan perasaan apabila berhadapan dengan Zulbhan sebentar tadi.

Berita yang dibawa Zulbhan merupakan tamparan besar buatnya. Besar harapan yang diletakkannya sewaktu dia meminta lelaki itu membantunya mencari Naufal yang hilang entah ke mana. Namun harapan itu hancur punah dalam sekelip mata. Meskipun Zulbhan berjanji mahu terus menjejaki Naufal, namun dia jadi ragu-ragu. Lagi-lagi bila Zulbhan mengatakan betapa sukarnya mahu mencari Naufal tanpa sebarang gambar.

Dia cepat-cepat keluar dari bilik air di kopitiam itu, lalu menuju ke suatu arah. Dia ingin pulang semula ke taska Kamila. Lagipun tentu tidak elok rasanya dia keluar agak lama apatah lagi dia masih dalam waktu bekerja. Tentu Kamila bimbang melihat dia tidak pulang bersama Zulbhan. Sengaja dia menyuruh Zulbhan pulang terlebih dahulu tanpanya. Kekecewaan yang hadir di lubuk jiwa membuatkan dia mahu bersendirian buat seketika.

Belum jauh kakinya menghayun langkah, kepalanya tiba-tiba pusing. Jalannya juga terhuyung hayang. Dia memegang dahi yang mula terasa memberat. Migrain yang dihidapinya sejak dia dipenjarakan, semakin menjadi-jadi apabila dia di dalam keadaan tertekan.

Danira berhenti di bahu jalan. Dia mencari-cari pil migrain di dalam tas tangan yang dibawanya. Apabila plastik ubat dikeluarkan dari dalam beg, dia terpegun apabila menyedari pil migrain yang selalu dibawanya ke mana-mana sudah habis.

Matanya segera meneliti persekitaran kawasan itu. Dari jauh, sebuah farmasi kecil menarik perhatiannya. Dia segera meluruskan langkah, lalu menuju ke arah farmasi tersebut. Bekalan ubat sakit kepalanya harus dibeli.

Mana Nira pergi Kenapa lambat sangat balik Kamila tidak senang duduk dibuatnya. Sebaik wajah Danira terpacul di muka pintu, dia terus menyerang gadis itu dengan pelbagai pertanyaan.

Maaf kak, Nira tak berniat nak buat kakak bimbang. Nira tak sengaja. Dia mengguman resah. Dia sudah boleh menduga dirinya akan diserang dengan pelbagai pertanyaan dari wanita itu. Salahnya juga kerana tidak terus pulang bersama Zulbhan. Jika dia mengikut sahaja Zulbhan balik, tentu Kamila takkan bimbang begini.

Kakak bukan marah Nira balik lambat. Tapi kakak risau kalau apa-apa yang buruk berlaku pada Nira. Pintas Kamila.

Dia memandang ke arah Kamila. Wajah itu kelihatan bimbang, membuatkan dia terus dihantui rasa bersalah pada wanita itu.

Nira dah makan Tanya Kamila. Sengaja dia mengubah tajuk perbualan apabila dilihatnya Danira hanya berdiam diri.

Danira tidak terus menjawab. Segan dia mahu mengaku dengan Kamila yang perutnya kosong sejak petang tadi. Lagipun semasa keluar dengan Zulbhan tadi, dia hanya minum kopi sahaja. Namun Kamila seakan memahami, terus menarik tangannya ke arah meja kecil di suatu sudut.

Kakak dah masakkan makanan untuk Nira. Kakak tahu Nira mesti belum makan lagi kan. Ujar Kamila sambil mencedukkan nasi untuk gadis itu. Tupperware berisi lauk udang masak merah dengan gulai tumis ikan tenggiri turut dibuka, menyerlahkan aroma enak di hidung Danira.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang menyelubungi fikiran Nira akan Naufal Dapatkah Nira menemuinya