SUDAH SEMINGGU Kudin berada di tanah air. Sekembalinya dari tanah suci, Kudin kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Kerja pejabat yang menimbun membuatkannya sentiasa sibuk. Kusha dan Kuyah pula banyak menolongnya dalam hal pejabat. Tidak terlarat dia menguruskan seorang diri.
Kudin memandang ke arah pintu bila terdengar pintu diketuk. Sofea, pembantunya sudah tersenyum di situ sambil menapak masuk bersama segenggam surat. Surat diletakkan di atas meja.
"Encik Kudin nak minum" Sofea bertanya. Memang itu tugasnya menyediakan minuman untuk Kudin selaku bos dan tuan pengarah di TM Holdings.
"Hmm..buatkan saya coklat panas." Kudin senyum. Surat yang dihulur Sofea tadi dibelek seketika.
Sofea mula berlalu pergi.
Kudin pula masih memerhati beberapa surat penting yang sudah berlambak di atas meja. Satu persatu surat itu dibuka dan dibaca. Kebanyakkannya dari pelanggan TM Holdings.
"Hmm..ni macam surat biasa.." Kudin menatap salah satu surat yang hanya bertulis tangan. Surat itu dibuka dan dia mula membaca. Lama dia menatap surat itu. Diulangi lagi membaca. Surat itu kemudian diletakkan di atas meja.
Kudin sandar di kerusi dengan wajah terdongak melihat siling pejabat. Kedua jemarinya bertaut. Isi kandungan surat itu masih bermain di benaknya. Bermacam perasaan menyelubungi hatinya ketika ini. Sekali lagi Kudin melihat ke arah surat itu. Apa yang tertulis di situ sungguh membuatkannya merasa terkesima dan serba salah. Dalam mimpinya setelah solat istikharah di Mekah dulu, wajah yang sama muncul.
"Apakah yang harus aku lakukan" Kudin sudah mula buntu. Semalam, Nek Tom sudah bertanya tentang hal pernikahannya. Dia kena memilih di antara Ana Dahlia dan Senah. Sampai saat ini, dia masih keliru. Senah, gadis yang sejak dulu cintakannya dan masih menunggunya. Tidak sanggup rasanya melukakan hati gadis itu. Senah pun dilihat sudah banyak berubah, tidak lagi mulut becok dan penampilan Senah pula sudah seperti Anum. Tiada lagi rambut bertocang dua dengan solekan tebal mengalahkan badut sarkas.
Surat itu dibaca lagi. Perasaannya sudah terasa serba salah. Di saat dia ingin membalas cinta Senah, surat itu pula muncul, membuatkannya kini dalam dilema.
"Aku kena jumpa Jai.." Kudin mula berkemas. Surat itu dilipat dan disimpan dalam poket seluar. Dia capai telefon bimbit dan mula menghubungi Jai.
KUDIN meneguk kopi ais di sebuah restoran mamak. Dia masih menunggu Jai di situ. Tadi, Jai sudah menyatakan kelapangannya berjumpa di situ. Jemu menunggu, Kudin melayan pula permainan di telefon bimbitnya.
"Wah! Dah pandai main game nampak"
Kudin mendongak. Jai sudah tercongok di depannya. "Aku bosan tunggu kau tadi..."
Jai melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengan Kudin. Dia melambai pada pelayan restoran. Minuman dipesan. Matanya kembali pada Kudin.
"Ada apa kau nak jumpa ni" Jai sengih. Rambutnya dikemaskan sedikit dengan hujung jari.
"Kau tak apa ke datang jumpa aku ni Kan ni masih time kerja" Kudin pandang sekilas jam tangan di pergelangan tangan kanannya. Sebelas setengah pagi.
"Tak apa..lagi pun, hari ni aku ada hal kat luar." Jai senyum. Dia pandang sekitar restoran. Pelanggan semakin ramai memenuhi restoran itu.
"Aku nak tanya kau satu perkara dan kau kena jawab dengan jujur." Kudin mulakan bicara tentang tujuan asalnya berjumpa Jai.
"Hmm...macam serius je kau ni." Jai sengih.
"Ya, aku serius dan aku nak kau juga serius beri jawapan." Kudin pandang Jai tidak berkelip.
"Okey..."
"Kau cintakan Senah" Soalan pertama Kudin pada Jai.
Jai terdiam. Dia tahu, Kudin pernah masuk meminang Senah dulu dan sewaktu mereka berdua pulang ke kampung dulu, Senah hanya nampak Kudin saja. Bermakna di hati Senah, hanya ada Kudin.
"Kenapa" Jai tidak menjawab ya atau tidak.
"Itu bukan jawapan yang aku nak. Ya atau tidak" Kudin berkata tegas. Dia sudah letih dengan perasaan.
Jai diam seketika. Dia tunduk sambil menguis kunci keretanya di hujung jari telunjuk. Dia menarik nafas seketika dan dihembus perlahan. Matanya kembali menatap wajah Kudin yang sudah tepat memandang ke arahnya.
"Kalau kau sudah tahu, kenapa tanya lagi" Jai tunduk.
"Ya atau tidak" Ulang Kudin, geram dengan jawapan Jai yang masih berbelit-belit.
"Ya." Terpaksa juga Jai menjawab.
"Tapi...Senah tidak pernah cintakan aku.." Jai menambah. Ada riak kecewa di wajah Jai.
Kudin diam. Apa yang dikatakan oleh Jai tadi memang benar. Selama ini Senah tidak pernah ada hati pada Jai.
"Ni..." Kudin akhirnya menghulurkan surat yang dibaca tadi kepada Jai.
"Apa ni" Jai pandang Kudin. Matanya beralih pada surat yang dihulur Kudin.
"Bacalah..."
Jai mula membuka lipatan surat itu dan membaca satu persatu. Sekali sekala dia berkerut kening membaca setiap bait ayat dalam surat itu. Surat yang dikarang hanya satu halaman itu dibaca penuh berhati-hati. Akhirnya, matanya jatuh pada nama penulis itu di akhir surat. Ternyata Ana Dahlia meluahkan rasa hatinya dan apa yang dirasakan selama ini di dalam surat itu yang dikirim kepada Kudin. Gadis itu ternyata kecewa dengannya dan ingin menyambut cinta Kudin.
"Aku tak rasa Ana tu ikhlas sambut cinta aku. Jelas dalam surat tu, dia beri hint pada aku supaya aku sampaikan rasa hati dia pada kau dan dia nak kau tahu yang dia ikhlas cintakan kau. Apa kau nak buat sekarang" Kudin mula bertanya bila melihat Jai selesai membaca dan surat itu dilipat semula.
"Entahlah..." Jai meraup muka. Dia juga sudah buntu.
Kudin dan Jai masing-masing diam. Keduanya masih berfikir. Penat memikirkan soal hati dan perasaan.
"Aku nak sambung kerja. Aku malas fikir soal ni lagi. Sekarang ni, aku hanya berserah pada Allah. Kalau jodoh aku masih ada dengan Senah, aku terima dan kalau jodoh aku sudah ditentukan dengan Ana Dahlia, aku juga terima." Jai bingkas bangun. Dia sudah letih berbicara soal hati dan perasaan.
Kudin hanya melihat Jai pergi. Apa yang diharapkan untuk sebuah keputusan muktamad, tidak ada untuk hari itu. Dia melepaskan keluhan seketika. Dia juga merasa seperti Jai. Berserah pada Allah. Kalau dia memilih Senah, perasaannya pada Ana dahlia terpaksa dikuburkan. Kalau Ana Dahlia jodohnya pula, dia pula terasa mementingkan diri sendiri sedangkan dia tahu selama ini Senah begitu setia mencintainya.
Sekarang ini, semua itu tinggal soalan yang masih tiada jawapan pasti. Kudin bangun malas dan mula berlalu pergi.
JAI henyak tubuhnya di kerusi sesampainya di pejabat. Pertemuannya dengan Kudin tadi membuatkan hatinya mula merasa tidak keruan. Surat yang dibaca tadi memang jelas Ana Dahlia sudah lama menaruh hati padanya. Dia akui, sejak bekerjasama dengan gadis itu, dia perasan gadis itu sering memerhati dan menatap matanya dan segera mengalihkan matanya bila mata mereka bertembung. Hanya dia saja yang masih tidak mempunyai apa-apa rasa terhadap gadis itu.
"Kenapa hati aku degil sangat nak tunggu Senah tu" Jai luku kepalanya sendiri.
Dia pandang pula foto yang memuatkan gambar kenangan bersama Ana Dahlia semasa berkursus dulu. Ana Dahlia dilihat sebagai seorang gadis yang tidak mudah putus asa dan berani. Memang patut gadis itu memilih kerjaya sebagai polis. Foto yang dibingkai itu diletak semula atas meja. Sekali lagi Jai termenung.
"Ah, ni tak boleh jadi ni. Mengapa dia luahkan pada Kudin Kalau dia cintakan aku, kenapa tak berterus terang saja dengan aku"Jai garu kepala.
Lamunannya dimatikan dengan deringan telefon yang kuat. Gagang telefon diangkat. Lama dia berbual dengan Detektif Razif.
Gagang diletak kembali di tempatnya.
"Hmm...ada operasi membanteras kes kecurian kereta mewah." Jai sandar di kerusi. Dia diminta oleh Detektif Razif untuk bekerjasama sekali lagi dengan Ana Dahlia dalam operasi itu. Ana Dahlia juga sudah dimaklumkan tentang operasi itu.
"Hmm..nak ke dia jumpa aku" Jai bingkas bangun dan capai kunci kereta. Dia perlu jumpa Ana Dahlia. Inilah masa yang sesuai untuk berbincang soal hati selain hal operasi itu.
Jai memecut laju keretanya menuju ke pejabat polis, tempat Ana Dahlia bekerja.
TIBA di balai polis, Jai mengatur langkah ke bilik Detektif Razif terlebih dahulu. Dia perlu berbincang lebih mengenai operasi itu seperti yang diarahkan oleh Detektif Razif tadi. Hampir setengah jam berbincang, Ana Dahlia muncul di situ. Jai cuba mengawal diri. Dia tahu, Ana Dahlia tentu sudah tahu tentang surat yang dikirim kepada Kudin tadi.
"Silakan duduk!" Arah Detektif Razif setelah melihat Ana Dahlia mula masuk ke situ.
Ana Dahlia duduk di kerusi sebelah Jai. Dia hanya menjeling seketika lelaki itu di sebelahnya yang tidak sedikitpun memandang ke arahnya. Dia tunduk.
"Saya sudah berbincang dengan Detektif Jailani tentang operasi itu. Sindiket penjualan kereta mewah secara haram sudah dikenalpasti siapa dalangnya. Ia dari kumpulan Sayap Hitam. Ketuanya dipercayai seorang keturunan Jawa. Dia mempunyai rekod jenayah selama 10 tahun sebelum ini dalam pelbagai kesalahan dan sekarang, dia mengetuai dalam kumpulan Sayap Hitam. Minggu depan kita akan mulakan operasi ini. Saya nak Detektif Ana Dahlia dan Detektif Jailani bekerjasama. Saya berpuas hati masa operasi sindiket penjualan gadis dulu. Operasi itu berjaya." Puji Detektif Razif. Dia pandang Ana Dahla dan Jailani silih berganti. Keduanya memberi perhatian kepada apa yang dikatakannya tadi.
"Bila waktu yang tepat tuan" Ana Dahlia mula bertanya setelah diberi isyarat oleh Detektif Razif.
"Macam dulu. Waktu tengah malam, tepat jam 12 malam. Kita sudah kenal pasti tempat persembunyian mereka. Kali ini, di tapak pembinaan yang terbengkalai." Jelas Detektif Razif.
"Berapa orang yang akan ikut serta tuan" Jailani pula bertanya.
"Kita ada seramai tujuh orang saja. Kebanyakannya bercuti. Jadi kami tidak boleh panggil balik. Awak Detektif Jailani, akan mengetuai operasi ini sekali lagi. Saya telah minta kebenaran dari Bukit Aman tentang hal ini." Detektif Razif senyum. Dia tahu kebolehan Jailani dan Ana Dahlia menangani isu ini.
"Ada soalan lain"
"Tak ada tuan!" Serentak Ana Dahlia dan Jailani menjawab.
"Kalau tak ada, kamu berdua boleh keluar."
Ana Dahlia dan Jailani mula memberi tabik hormat sebelum melangkah keluar dari bilik Detektif Razif. Sampai di muka pintu luar balai polis, Jai mengajak Ana Dahlia makan tengahari di sebuah restoran berdekatan. Ana Dahlia tidak membantah. Mereka beriringan berjalan ke restoran itu.
"Saya belanja.." Jai senyum memandang Ana Dahlia yang sudah terkebil-kebil di depannya. Mungkin gadis itu malu.
Mereka berdua mula memilih makanan dan menikmati juadah tengahari bersama. Jai masih mencari waktu yang sesuai untuknya berbicara tentang kandungan surat itu. Dia perhatikan riak Ana Dahlia yang seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Usai makan, dia meneguk pula jus epal perlahan sambil mata memandang gadis itu yang masih menikmati nasi ayam penyet. Ada rona merah memenuhi wajah gadis itu, mungkin menahan pedas sambal.
"Ana..nah.." Jai berkata lembut. Dia hulur gelas minuman. Ana Dahlia dilihat sudah kepedasan.
Ana Dahlia masih tunduk. Sisa nasi dalam pinggan dihabiskan segera. Dia segera minum air.
Jai hulur pula tisu kepada Ana Dahlia.
"Terima kasih.."
"Ana.." Lembut Jai menutur. Dia masih berfikir apakah mukadimah yang sesuai untuk dia bertanya pada Ana Dahlia.
Ana Dahlia mendongak. Jai dilihat sudah merenung ke arahnya. Dia cuba mengawal perasaan.
"Awak ikhlas cintakan saya" Jai akhirnya bertanya.
Ana Dahlia tergamam seketika. Dia meneguk lagi jus tembikai sampai habis. Matanya dialihkan ke arah lain bila bertentang dengan mata Jai. Rasa menggelabah bila ditanya soalan keramat itu, apa lagi datangnya dari mulut orang yang dicintai.
"Ke..kenapa" Senyuman Ana Dahlia sudah teraa sumbing.
"Tolong jawab ya atau tidak.." Jai masih merenung gadis itu yang sudah kelihatan menggelabah.
Ana Dahlia tunduk. Dia sudah terasa berpeluh sakan di dahi walau hakikatnya tidak.
"Saya perempuan..tak elok saya luahkan semua tu, apa lagi pada orang yang tak sudi." Kata-kata Ana Dahlia sudah tersekat-sekat. Dia sekali lagi cuba mengawal perasaan.
"Oh..jadi boleh pulak awak luahkan pada orang lain" Jai berkata dengan penuh sindiran.
Ana Dahlia tersentap seketika. Bermakna Kudin sudah terima surat itu dan bermakna juga Kudin sudah beritahu pada Jai. Dia menelan liur.
"Untuk apa saya luahkan pada orang yang tidak cintakan saya, yang sudah tentunya akan ditolak mentah-mentah dan rasanya lebih baik saya terima cinta dari memberi cinta. Sudahlah. Saya sudah penat dengan semua ni. Saya faham jika awak tidak terima saya.
Saya sudah buat keputusan. Apa yang telah diputuskan, tidak boleh ditarik balik." Ana Dahlia berkata tegas walau ada nada sebak.
"Awak ikhlas terima Kudin" Jai sudah mula merasa bersalah.
"Ikhlas atau tak, itu tak penting. Betullah apa yang mak saya cakap, hidup akan bahagia dengan insan yang mencintai kita." Ana Dahlia bingkas bangun.
"Terima kasih kerana belanja saya makan. Lepas ni awak jangan bimbang, kita akan bekerjasama atas dasar kerja semata dan saya tidak akan desak awak dengan hal remeh temeh ni, tiada agenda di sebalik itu. Jadi, saya harap awak jangan buat hati saya rindukan awak, cintakan awak dan lebih parah inginkan awak dalam hidup saya. Saya tidak mahu semua itu mengganggu kerja kita. Lepas ni, kita bekerja sebagai kawan saja. Lepas kerja, kita buat hal masing-masing. And please...don't treat me like this anymore." Ana Dahlia mula berlalu pergi.
Jai terdiam dengan kata-kata Ana Dahlia sebentar tadi. Ternyata gadis itu kecewa sungguh!
NUN jauh di Kampung Pinang Patah, Senah masih termangu di pangkin menikmati udara segar dan angin yang bertiup lembut dari arah sawah. Dia merenung jauh ke tengah sawah. Apa yang berlaku selama ini, apa yang dia rasa selama ini dan apa yang cuba diharapkan selama ini. Semua itu berlegar-legar di ruang mata. Kasihnya pada Kudin mungkin keterlaluan. Mungkin sikap berterus terangnya selama ini yang membuatkan Kudin tidak pernah suka padanya. Kini baharu dia sedar, Kudin tidak pernah meluahkan rasa hatinya selama ini. Hari peminangan dahulu, Kudin seperti tidak ikhlas menerimanya.
"Apa yang Senah termenung panjang tu"
Senah menoleh. Ayahnya sudah tercegat di sebelah.
"Tak ada apa ayah..Senna cuma teringatkan abang Kudin.." Senah berkata perlahan.
"Kenapa Kamu rindu ke" Pak Said mengusik Senah.
Senah diam seketika. Dia hanya senyum hambar. Rindu Entahlah..
"Ayah..Senna rasa, abang Kudin tu tak pernah cintakan Senna. Hanya Senna saja yang terhegeh kat dia." Senah tunduk. Air matanya menitis perlahan ke pipi.
"Sudahlah tu Senah. Jodoh tu di tangan tuhan. Kamu tu perempuan. Jangan perigi nak cari timba pulak. Ayah tengok, Jai tu macam suka kat kamu. Lebih baik kita bernikah dengan orang yang sukakan kita. Bahagia nanti.." Pak Said turut duduk di atas pangkin sambil menggulung rokok daun. Tadi usai makan tengahari, mulutnya terasa pahit.
"Mana ayah tahu Jai tu sukakan Senna" Senah pandang ayahnya yang sedang khusyuk menghisap rokok. Asap berkepul dihembus kuat dan dibawa angin dari sawah.
"Alah..ayah ni lelaki. Ayah tahu la. Dulu, masa dia datang dengan Kudin, tanya hal baju kebaya merah tu, ayah dapat rasa Jai tu suka pada Senah. Cuma dia macam tak berani je beritahu. Yalah..Kudin kan pernah masuk meminang Senah." Pak Said sedut asap rokok itu dan hembus asap sekali lagi.
Senah terdiam. Dia juga perasan Jai asyik melihatnya ketika itu. Yang paling jelas, masa dia menolong Jai ketika dicekik oleh Seri dulu yang dirasuk ketika itu. Entah kenapa dia melemparkan senyuman kepada lelaki itu dan dibalas juga dengan senyuman manis.
Bermula saat itulah, baharu dia sedar, hatinya sudah terpaut pada Jai dan pada waktu yang sama dia masih suka pada Kudin.
Namun, sedikit demi sedikit perasaan cinta pada Kudin hilang dengan kehadiran rasa sayang pada Jai.
"Ayah..sekarang ni, Senna terima saja siapa yang masuk meminang Senna. Senah tak boleh harap pada abang Kudin atau abang Jai." Senah melepaskan keluhan seketika.
"Hmm..eloklah tu. Kalau sesiapa masuk meminang nanti, kamu jangan pulak tolak." Pak Said mula bangun dan berjalan ke arah belakang rumah, dia melihat kebun sayur sawi dan bayam yang ditanam dua hari lepas.
Senah kembali merenung sawah padi dengan perasaan keliru dan serba tidak kena. Dia sedar kini, dia tidak layak untuk Kudin dan seandainya Jai sudi menerimanya..dia akan terima dengan hati terbuka.