Tiada Tajuk - 38
Bab 38

"Kenapa Anom ketawa" tanya Azhan cemas.

"Ketawa sebab lawaklah!"

"Apa yang lawaknya Han cakap Han cintakan Anom ni..."

"Memang la. Tapi Anom ingatkan apa tadi.... Punyalah lama Han duk berdiri depan Anom. Siap pegang tangan Anom. Lepas tu dahi berpeluh-peluh. Rupanya Han nak cakap yang tu je"

"Bagi Anom mungkin perkara kecil.... Tapi bagi Han Anomlah yang paling penting dalam hidup Han sekarang ni..." luah Azhan seolah merajuk.

"Bukan sebab tulah. Anom ketawa bukan sebab Anom ambil remeh. Tapi sebab benda yang Han bagitau Anom ni, Anom dah tau lama dah pun...."

"Macam mana boleh tau"

"Sebab dari kita darjah empat lagi Han dah ikut punggung Anom kehulu-kehilir!" usik Anom sambil ketawa. Azhan pun gelak sama.

"Lagipun masa Han bagi buku tu dekat Anom pun, kan Han dah tulis besar-besar, "AZHAN CINTA ANOM' dekat kulit dia..."

"Itu tulis.... Ni kali pertama Han cakap betul-betul dekat depan. Lepas tu boleh Anom gelak pulak...." gerutu Azhan manja.

"Eeeee... comel la Han ni!" kata Anom sambil memicit kedua belah pipi kasar Azhan.

Azhan meraba pipinya. Masih kasar berbauk.

"Aku kena cukur lagi ni...."

Fikirnya sambil mendekatkan wajah pada cermin untuk dibelek. Walaupun sudah bercukur pagi tadi. Tapi dicukurnya sekali lagi. Takut pipinya tak cukup licin untuk Anom elus semasa mereka keluar nanti.

Setelah betul-betul berpuas hati, Azhan pun mencapai kunci motornya. Dan ditunggang motor itu laju-laju. Selaju hatinya ingin terbang kepada Anom sekarang ini.

Tujuh bulan kemudian.

Azhan berteleku pada ruang tingkap. Meluaskan pandangannya pada pohon-pohon yang berbisik di luar sana. Membisikkan kata-kata cela. Merasuk hatinya yang sudah begitu mendung dengan kebencian agar terus merosot. Jadi taufan kemarahan yang tak mungkin reda sampai bila-bila.

Azhan panas. Tubuhnya membara. Sehinggakan angin subuh yang lembab dan dingin pun tak mampu untuk menyejukkan hatinya.

Perasaan benci yang paling tinggi, lahir dari perasaan cinta yang paling dalam.

Barangkali itu yang sedang dilalui oleh Azhan. Cintanya terhadap Anom yang terlalu besar, membuatkan marahnya juga hampir mega. Sehingga dia tak sanggup untuk melihat muka gadis itu. Lantas sejak Anom memberitahu tentang bayi di dalam kandungannya, Azhan langsung tak mahu berjumpa dengan Anom.

Dia takut. Takut akan menyakiti Anom sepertimana Anom telah menyakitinya. Azhan tak mahu menyakiti Anom. Sampai bila-bila pun dia takkan mampu untuk menyakiti Anom. Marah mungkin. Malah benci. Tapi tak mungkin sakiti.

Sebab walaupun Anom curang padanya. Mengandungkan anak lelaki lain. Tak cukup dengan itu, menipu padanya dengan mengatakan bahawa bayi itu tiada bapa dan bahawa dia masih dara. Dia tetap cintakan Anom.

Pun begitu, tindakan Anom membuatkan Azhan rasa macam lelaki paling bodoh dalam dunia ni. Yang Anom sangka, alasan sekarut itu pun boleh digunakan ke atasnya.

"Han tak bodoh la Anom. Mana ada orang mengandung kalau dia masih dara. Sudahlah! Mulai saat ni, Anom tak pernah wujud dalam hidup Han!"

Itulah kata-kata terakhir yang Azhan lafazkan pada Anom tujuh bulan yang lepas. Sewaktu Anom memberitahu tentang berita yang begitu membunuhnya itu. Membunuh kelelakiannya. Membunuh rasa hormatnya terhadap Anom. Membunuh rasa pujanya terhadap Anom. Membunuh harapannya untuk memiliki masa depan dengan Anom.

Tapi Azhan tidak mahu terus hidup dalam kekesalan. Iya kehilangan cinta Anom amat memeritkan. Tapi tak guna memberatkan sesuatu yang negatif sehingga mengambil enteng perkara-perkara lain yang lebih penting. Lebih-lebih lagi dalam masa sekarang ini. Bila surat panggilan untuk menyambung belajar sudah pun sampai ke dalam tangan.

Jadi bagi Azhan, walaupun Anom merupakan sebahagian besar dari hidupnya, tapi ianya sudah menjadi sebahagian yang harus dilepaskan. Walaupun Anom merupakan tonggak utama dalam penceritaan hidupnya, bab itu sudah berakhir. Kini waktunya sudah tiba untuk mukasurat yang baru. Yang Azhan harus karang dengan teliti. Agar penamatnya nanti memuaskan.

Lalu Azhan pun membungkus pakaian dan barang-barang keperluannya. Dia meninggalkan kampung itu, dan tidak berpaling lagi. Meskipun untuk mengucapkan selamat tinggal.

Anom membuka mata. Menarik nafas lega kerana dia masih bernyawa. Dan kematian yang dialaminya tadi hanyalah berlaku dalam mimpi. Mimpi yang cukup ngeri. Mimpi yang menunjukkan dirinya mati dijilat api sebaik selamat melahirkan anaknya.

"Sekurang-kurangnya, dalam mimpi tu anak aku selamat dilahirkan..."

Bisik Anom dalam hati. Hanya sekadar untuk menyedapkan. Cuba untuk mencari sesuatu yang positif di dalam mimpinya yang sangat negatif itu.

Kebelakangan ini, Anom memang kerap bermimpi. Sejak dia mengandung ini. Mimpinya pula macam-macam. Sangat terperinci pula tu.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah lagi mimpi yang dialami oleh Anom semenjak dia mengandung