DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 38
Seorang wanita berusia awal 40-an yang juga salah seorang pesakit tegar aku. Dah selalu sangat datang ke klinik aku. Riwayat hidupnya pun ada dalam kocek aku.

Lebih 5 tahun dahulu. Angkara cemburu buta, suaminya menceraikan dia dengan talak tiga. Bertahun suaminya gila talak nak rujuk kembali. Tetapi apakan daya. Nasi dah jadi bubur.

Cempedak jadi nangka.

Ditakdirkan dia berkahwin semula selang beberapa tahun kemudian. Suami barunya muda beberapa tahun daripadanya. Sedikit masalah. Walaupun dah berkahwin, mereka masih tinggal berasingan. Suaminya masih tinggal di rumah bujang dengan kawan-kawannya. Dia pula masih tinggal di rumah lamanya bersama anak-anaknya. Dia ada seorang anak perempuan dengan suami lamanya. Dan dia dapat seorang anak lelaki bersama suami barunya.

Sebulan yang lalu dia mengadu sakit kepala. Malam-malam dia ke hospital kerajaan. Dia dimasukkan ke wad kerana tekanan darah tinggi. Doktor kata tekanan darahnya 200/140 mmHg. Boleh kena stroke kata doktor. Masa keluar wad doktor beri dia ubat Amlodipine 10 mg. Dia gigih makan ubat tu hari-hari kerana takut kena stroke. Doktor di hospital dah menakutnakutkannya. Tapi malam semalam dia datang jumpa aku.

Dah seminggu kakinya bengkak. Itu sahaja masalahnya. Takda sakit, takda jatuh, dan sebagainya. Tiada tanda-tanda sakit jantung, sakit buah pinggang atau kegagalan hati. Yang merupakan penyebab utama kaki bengkak.

Menurut rekod kesihatan selama bersama aku, tekanan darahnya sentiasa normal. Aku tak pernah detect dia ada darah tinggi. Paling tinggi pun 130/90 mmHg. Itu pun bila dia stress dengan masalah rumahtangganya. Aku terkejut bila dia kata darahnya naik sampai 200/140 mmHg.

Dan dia pun mula bercerita. Bercerita pasal suaminya dah berlaku curang.

Ada perempuan lain mengacau suaminya. Beria-ia mengajaknya berkahwin. Usia perempuan itu sebaya dengan dia. Tetapi belum pernah berkahwin. Dia bergaduh besar dengan suaminya. Dia juga dah berjumpa dengan perempuan tersebut. Dia hairan dengan taste suami dia. Perempuan tu tak secantik mana. Tergelak aku bila dia kata, gigi dia lebih banyak daripada gigi perempuan tersebut. Dia kata masa itulah tekanan darahnya naik. Fikirannya tengah kusut. Makan dan tidur dah tak menentu. Sebab itu tekanan darahnya naik mendadak. Cuma dia segan nak beritahu doktor di hospital.

Hari ini masalah rumahtangganya dah selesai. Berakhir dengan baik. Kepala pun dah tak sakit. Tekanan darahnya pun normal je semalam, cuma kakinya pula yang membengkak.

Amlodipine. Ubat darah tinggi yang agak moden. Bagus untuk jantung. Makan pun sekali sehari. Cuma ada beberapa kesan sampingan. Kaki bengkak terutamanya. Juga mengganggu fungsi kejantanan. Boleh juga tumbuh buah dada di kalangan lelaki. Kesan sampingan ini jarang dibincangkan dengan pesakit.

Takut mereka tak nak makan ubat.

Ubat-ubatan untuk darah tinggi ada banyak jenis. Di klinik aku pun lebih 5 jenis. Nak beri kepada pesakit kena fikir betul-betul. Nak kena cari yang paling sesuai. Sama ada dari segi compliance, keberkesanan juga kos. Juga kesan-kesan sampingan. Semua ini perlu dibincangkan dengan pesakit. Sebab makan ubat darah tinggi bukan untuk sehari dua sahaja. Kena makan untuk selamalamanya. Tapi ramai orang tak suka makan ubat sebegini. Ramai yang kata;

Makan ubat banyak-banyak, nanti rosak buah pinggang.

Makan ubat banyak-banyak, nanti telinga boleh pekak.

Doktor suka beri ubat banyak-banyak, nanti boleh untung banyak.

Susah gila nak menjelaskan hal sebenar. Ramai pesakit aku yang memang confirmed darah tinggi. Tapi liat nak makan ubat moden. Mereka lebih percaya ubat-ubat tradisional. Mereka lebih percaya ubat-ubat herba. Mereka lebih percaya jus-jus MLM. Yang aku hairan tu, ubat MLM beratus-ratus ringgit mampu beli, tapi ubat moden berpuluh ringgit sebulan pun nak berkira lagi.