Ketika kejatuhan Saigon genap 25 tahun lalu yang menamatkan perang Vietnam, Nguyen Thi Phuong Thuy masih di dalam kandungan ibunya. Berakhirnya peperangan juga bererti bapa anak perempuan ini, Nguyen Thanh Son dapat mengakhiri perkhidmatannya selama enam tahun dalam tentera Vietnam utara dan dia berpeluang untuk mengahwini teman wanitanya yang sedang hamil.
Bagaimanapun, tanpa pengetahuannya, pendedahannya untuk tempoh yang berlanjutan kepada bahan kimia Agent Orange yang digunakan oleh tentera AS semasa dia berkhidmat di zon bebas tentera di kawasan yang dulunya dikenali sebagai sempadan yang memisahkan Vietnam Utara dan Selatan telah menyebabkan dia mengalami keracunan bahan dioksin.
Apabila Thuy dilahirkan, bayi itu mengalami kerosakan otak yang amat teruk. Kini dalam usianya yang mencapai 25 tahun, dia tidak tahu apa yang berlaku di sekelilingnya, terlantar di katil dan bergantung sepenuhnya kepada keluarganya untuk terus hidup.
Empat tahun kemudian, adik lelakinya, Nguyen Thanh Tung selamat dilahirkan dalam keadaan sihat. Tetapi apabila dia mencecah umur tiga tahun, penglihatan Tung mulai hilang dan setelah mencapai usia sembilan tahun dia menjadi buta terus.
Dalam bantuan kawan-kawan dan keluarga, dia dapat meneruskan pelajaran di Hanoi Conservatory tetapi memandangkan kadar pengangguran yang amat tinggi di kalangan lepasan universiti di Vietnam, peluang untuk Tung mendapat pekerjaan amat tipis.
Pada bulan Februari lepas, pihak berkuasa mengumumkan buat pertama kalinya bahawa mereka akan membayar pampasan kepada mangsa-mangsa Agent Orang dan bahan-bahan kimia yang lain yang disemburkan oleh tentera AS semasa perang.
Pembayaran 600,000 veteran perang yang cacat semasa berkhidmat dalam perang itu merupakan beban yang amat berat bagi negara yang miskin seperti Vietnam. Kesan-kesan bahan kimia yang digunakan oleh tentera AS amat serius dan ia akan berterusan sehingga pertengahan abad ke-21, kata Profesor Hoang Dinh Cau, salah seorang penyelidik terkemuka dalam bidang kesan-kesan bahan kimia Agent Orange.
Agent Orange telah meninggalkan kesan ke atas setiap 1,000 penduduk dan mungkin ramai di kalangan mereka sudah meninggal dunia, kata profesor tersebut.
Zon-zon yang paling kerap disembur dengan bahan Agent Orange wilayah Quang Tri yang bersempadan dengan zon bebas tentera dan wilayah-wilayah sempadan Laos dan Kemboja di mana terletaknya Laluan Ho Chi Monh yang digunakan oleh tentera komunis sebagai laluan bekalan mereka telah mencatatkan kadar barah, keguguran dan kecacatan sewaktu lahir yang semakin meningkat sejak Perang Vietnam.
Di Quang Tri sahaja, lebih 15,000 mangsa bahan Agent Orange ini didaftarkan dalan bancian seluruh negara yang dilancarkan pada 1998 dan masih belum selesai hingga hari ini. Dari jumlah tersebut, 2,000 mangsa telah menemui ajal. Cau berkata, jumlah seluruh negara itu mencapai ratusan ribu mangsa akibat kesan keracunan tidak langsung melalui bahan-bahan makanan.
Dari jumlah lebih kurang 32 juta bayi yang lahir sejak perang yang kini merupakan 54 peratus penduduk Vietnam, 76,000 orang mengalami kecacatan congenitel, kadar yang menghampiri 0.2 peratus katanya.
Bagaimanapun, bukan sahaja bahan-bahan kimia yang tidak dapat dilihat itu sahaja yang telah memusnahkan kehidupan generasi muda Vietnam.
Periuk-periuk api yang jumlahnya bertan-tan dan masih belum meletup masih bertaburan di kawasan-kawasan kampung Vietnam, mencacat dan mengorbankan penduduk dengan begitu banyak sehinggakan kemalangan-kemalangan ini biasanya tidak melaporkan di akhbar-akhbar kebangsaan.