KITAB XX - 30 Langkah Memikat Lelaki - 38
Mungkin ada ketikanya, kamu akan bertemu dengan si dia dalam keadaan yang tidak sesuai. Mungkin ketika si dia sedang marah atau sedang bersedih.

Sekiranya si dia masih dalam keadaan marah, usah bertanya padanya apa yang membuatkan si dia marah. Kamu juga jangan meninggalkan si dia keseorangan di situ hanya semata-mata mahu menunjukkan reaksi kamu atas dirinya yang sedang marah.

Sebaliknya, kamu tetap berada bersamanya. Biarkan dia meluahkan perasaan marahnya. Pada ketika ini, usah mempersoalkan atau membangkang setiap perkataan yang keluar daripada mulutnya. Habiskan masa dengan mendengar dahulu.

Kemudian, ketika si dia sudah reda, kamu tenteramkan dirinya. Berikan kata-kata semangat dan beritahu yang kamu ada untuknya.

Begitu juga sekiranya si dia dalam keadaan sedang bersedih. Kamu tetaplah berada bersamanya, cuba hiburkan hatinya dan jangan sesekali bertanya apa yang membuatkan si dia bersedih. Kecuali jika si dia yang memulakan cerita.

Seterusnya, kamu beritahu yang kamu juga faham apa yang dirasainya ketika itu dan beritahu padanya, kamu akan sentiasa membantu si dia menghilangkan kesedihan yang dialaminya.