SEBULAN berlalu. Kudin sudah pulih dari cederanya. Sudah seminggu dia dibenarkan keluar dari hospital. Selama seminggu itulah juga dia berulang alik ke hospital menjenguk Ana Dahlia yang masih dirawat di situ. Jai masih setia menemani Ana Dahlia. Mak Ana Dahlia pula setia menunggu anaknya yang sudah dipindahkan ke wad biasa.
Kudin mendekati Jai yang masih memandang Ana Dahlia yang sedang lena tidur di atas katil. Mak Ana Dahlia sudah termengguk di tepi katil. Bahu Jai disentuh lembut.
"Jai..kau berehatlah. Biar aku pula yang jaga Ana. Kau tu dari semalam aku tengok tak balik." Kudin berkata perlahan. Bimbang Ana Dahlia akan terjaga dari tidurnya.
Jai mendongak. Kudin yang baru seminggu keluar dari hospital masih datang ke situ untuk menjenguk Ana
Dahlia. Dia faham jika Kudin berbuat begitu. Kudin menaruh hati pada Ana Dahlia.
"Kudin..aku minta maaf pada kau. Aku tak sengaja tembak kau.." Jai meraup muka. Kejadian itu masih terbayang-bayang lagi.
"Sudahlah..benda dah nak jadi.." Bahu Jai ditepuk-tepuk.
"Aku minta maaf juga sebab aku sudah lukakan hati kau. Aku ingin balas cinta Ana...izinkan aku balas cintanya. Aku tahu kau cintakan Ana Dahlia tapi aku sudah lukakan hati dia. Aku dah banyak kali buat hatinya terluka. Kudin, aku harap kau tak marah pada aku kerana rampas orang yang kau cintai.." Jai menutur perlahan. Dia merasa cukup bersalah pada Ana Dahlia.
"Jai..aku tak apa-apa. Ana tu cintakan kau sepenuh hatinya. Kau jagalah dia baik-baik." Kudin berkata sebak. Walau saat ini hatinya turut kecewa melepaskan orang dicintai kepada orang lain.
Jai hanya mengangguk lemah. Dia kembali menatap Ana Dahlia yang masih lena di situ. Baru minggu lepas gadis itu sedar dan sudah mula boleh bercakap selepas pembedahan itu. Menurut doktor, peluru itu hampir mengenai jantung. Jadi, doktor terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan peluru dari tubuh Ana Dahlia kerana peluru terbenam agak dalam dan dekat dengan jantung. Nyawa Ana Dahlia ketika itu digambarkan hanya tinggal nyawa ikan saja. Peluang untuk hidup mungkin lima puluh peratus saja. Alhamdulillah, kuasa Allah, ternyata gadis itu mempunyai semangat juang yang tinggi.
"Makcik...makcik balik berehatlah. Biar saya yang jaga dia.." Kudin pandang pula pada mak Ana Dahlia yang sudah keletihan di situ.
"Terima kasih nak.."
Kudin melihat mak Ana Dahlia mengucup lembut dahi Ana Dahlia sebelum keluar dari bilik itu. Jai juga sudah mula keluar dari bilik. Dia kembali menatap wajah Ana Dahlia. Lama wajah itu direnung. Wajah yang pertama kali menjadi pujaannya. Terkenang kembali pertemuan pertama dengan gadis itu. Bermula di situ, perasaannya pada gadis itu semakin bercambah subur. Dan tadi...Jai ingin membalas cinta gadis itu. Ternyata, Ana Dahlia begitu setia menunggu balasan cinta dari Jai. Surat yang pernah dihantar oleh Ana Dahlia dulu mungkin kerana terbawa-bawa oleh rasa kecewa dan tanpa berfikir, gadis itu mengambil keputusan untuk menyambut cintanya.
"Ana...aku tetap cintakan kau dan aku akan lupakan kau mulai saat ini.." Kudin masih menatap wajah pucat Ana Dahlia. Kata-kata Jai tadi membuatnya mengambil keputusan untuk melupakan cintanya pada Ana Dahlia.
"Kudin..."
Kudin senyum. Ana Dahlia sudah mula buka mata. "Awak berehatlah..awak masih lemah lagi tu."
"Kudin...saya ingin balas cinta awak..." Begitu payah Ana Dahlia menutur kata. Kudin dipandang dengan riak sugul.
Kudin terdiam. Baru tadi Jai berkata benda yang sama dengan apa yang Ana Dahlia katakan tadi. Dia tunduk.
"Sudikah awak terima saya" Kata-kata Ana Dahlia sudah tersekat.
"Awak...jangan banyak cakap. Awak kena berehat. Awak belum sembuh betul lagi tu.." Kudin menyelimut tubuh Ana Dahlia yang cuba bangun tadi.
"Saya sedar sekarang, awak adalah jodoh saya..." Ana Dahlia berkata sebak.
"Ana..sudahlah. Awak kena berehat. Kita cakap benda ni selepas awak betul-betul sembuh. Rehatlah.." Kudin berkata sebak. Dia cuba sembunyikan perasaannya ketika ini.
Ana Dahlia masih memandang Kudin. Dia sudah nekad dalam hati. Sebagaimana yang dia tulis dalam surat itu dulu, macam itulah keputusannya. Kudin sudah banyak berkorban untuknya dan setia menunggunya walaupun Kudin tahu, dia cintakan Jai. Jai tidak sedikitpun menghargai cintanya. Kali ini dia sudah bersedia menyambut cinta Kudin.
KUDIN pulang ke rumah dengan perasaan resah dan serba salah. Hati siapa yang harus dijaga sekarang ini. Jai merayu ingin membalas cinta Ana Dahlia. Ana Dahlia pula ingin membalas cintanya. Dia kini tersepit antara sahabat dan kekasih hati. Kudin melangkah malas ke bilik air. Dia mengambil wudhuk dan mula menunaikan solat maghrib. Sementara menunggu solat Isyak, dia membaca pula al Quran untuk menenangkan jiwa.
"Ya Allah...berilah aku ketenangan dan petunjuk..siapakah jodoh ku ya Allah.." Kudin meraup muka usai solat Isyak. Lama dia berteleku di sejadah.
Malam itu, tidurnya tidak lena. Kata-kata Ana Dahlia dan Jai silih berganti bermain di benaknya. Akhirnya dia tertidur juga.
PAGI lagi Kudin ke pejabat. Dia perlu siapkan kerja yang sudah banyak tertangguh. Kuyah dan Kusha banyak menolongnya dalam menguruskan hal pejabat. Mulai saat ini, dia ingin lupakan segalanya. Biarlah Ana Dahlia bahagia dengan Jai. Dia perlu lupakan gadis itu dan dia sudah mengambil keputusan, dia akan meminang Senah untuk kali kedua. Semalaman dia berfikir tentang hal itu.
Lepas kerja nanti, dia akan jumpa nenek di rumah Puan Karina dan menyatakan hasratnya untuk meminang Senah. Mungkin itu yang terbaik untuknya.
"Abang...jauh mengelamun"
Kudin tersedar. Kuyah sudah tercegat di depannya membawa beberapa fail.
"Oh..Kuyah. Tak ada apalah..." Kudin senyum hambar.
"Ni ada kertas kerja yang perlu abang periksa. Lepas ni, Kuyah kena beri pada Kusha pulak." Kuyah duduk di kerusi dan hulur fail itu kepada Kudin.
Kudin mengambil dan memeriksa seketika. Dia kemudian menurunkan tandatangan di situ. Kuyah hanya memerhati tingkah Kudin yang sudah berubah riak. Ada riak sugul di wajah putih abangnya.
"Abang.."
Kudin mendongak. "Emm"
"Kuyah tahu..abang kecewa dengan kak Ana kan" Kuyah meneka.
Kudin diam. Dia membelek-belek fail dan menurunkan tandatangan lagi.
"Kuyah tahu...abang cinta sangat pada kak Ana. Kesian kak Ana tu bang..." Kuyah pegang lembut tangan Kudin. Dia faham perasaan Kudin ketika ini.
"Oh ya, dua minggu lagi, Kuyah nikah kan" Kudin cuba menukar topik perbualan.
Kuyah mengangguk perlahan.
"Dah siap semua barang hantaran"
"Dah.."
"Hmm..panggil Kusha sekejap. Abang ada berita baik untuknya." Kudin senyum.
"Berita apa"
"Panggil Kusha dulu, nanti abang cerita."
Kuyah bangun dan segera menapak keluar dari bilik Kudin. Dia kemudian kembali bersama Kusha.
"Ha..duduk." Kudin pelawa adik-adiknya duduk di situ.
"Ada apa bang" Kusha berkerut kening. Kuyah turut melihat Kudin yang tersenyum dari tadi.
"Abang nak meminang Senah selepas Kuyah nikah nanti." Kudin berkata dengan wajah ceria. Sengaja dia tunjuk riak seperti itu.
Kuyah tercengang. Kusha pula senyum lebar.
"A..abang serius ke ni Kak Ana macam mana" Kuyah sudah keliru. Setahunya, Kudin cintakan Ana Dahlia, bukan Senah.
"Ya..lepas balik kerja ni, abang nak beritahu nenek." Kudin senyum lagi.
"Kusha sokong abang! Dari dulu lagi, Kusha lebih suka Senah dari Ana Dahlia tu." Kusha sengih. Dia jeling Kuyah yang sudah berubah riak.
"Itu saja. Korang boleh sambung kerja semula." Kudin kembali menatap skrin komputer.
Kuyah masih termangu di situ, Kusha sudah melangkah keluar dari bilik Kudin. Kuyah pandang Kudin dengan riak keliru. Dia bingung dengan keputusan Kudin yang menidakkan perasaannya pada Ana Dahlia dan ingin menyambung pertunangan dengan Senah yang sudah tertunda dulu. Dia bangun malas dan melangkah lemah keluar dari bilik Kudin.
Kudin hanya memandang Kuyah keluar dari biliknya. Dia tahu Kuyah tidak puas hati dengan keputusannya tadi. Biarlah...itu saja jalan yang terbaik untuknya memberi peluang kepada Jai membalas cinta Ana Dahlia.