CINTAI AKU DENGAN RESTU-NYA - 39
SEMINGGU selepas kenduri berlangsung di kampung, Ika terpaksa ikut Idlan ke Johor Bharu untuk tinggal bersama.

Mulanya dia keberatan kerana tak biasa berpisah dengan keluarga. Tapi, akhirnya dia berjaya pujuk hati sendiri. Dia tak nak Idlan tahu kesedihan sedang bersarang di hati kecilnya ini. Nanti apa Idlan akan kata. Takkan dia nak terus-terang tak boleh berpisah dengan ibu dan ayah Mana lebih besar tanggungjawabnya sekarang Lebih baik diamkan saja demi menjaga hati suami.

Kan bagus kalau Idlan terus menetap di kampung. Tak perlu mereka berpisah dengan keluarga masingmasing. Tapi, Idlan nak buat kerja apa kalau tinggal di kampung Takkan nak jadi nelayan Tak sesuai langsung dengan lelaki macam Idlan. Seorang yang berpelajaran tinggi dan bertahun-tahun bekerja dalam suasana cukup selesa. Lepas tu, tiba-tiba nak kerja di bawah terik matahari Memang taklah, kan.

Che Long pun pernah kata Idlan tak larat buat kerja berat-berat. Dah memang dari kecil Idlan sering dilambakkan dengan buku-buku pelajaran. Hingga meningkat remaja pun begitu. Memang patutlah dia digelar ulat buku, dulu-dulu. Kalau nak tengok muka Idlan bermain dengan rakan sebaya pun payah. Cuma sesekali Idlan turun seorang diri ke pantai. Itu pun bukan sebab nak bermain. Tapi, dibawanya sekali buku-buku pelajaran nak ditelaah.

Ika tarik kedua-dua langsir lalu menarik pintu cermin yang memisahkan ruang tamu dan balkoni di kondo itu. Dia melangkah keluar. Menghirup udara kurang sihat kerana sekarang ini musim jerebu. Agak teruk jerebu di Johor Bharu. Berbeza dengan kampung halamannya yang punya kualiti udara lebih bersih. Harap-haraplah jerebu kian menghilang. Kasihan dia melihat kanak-kanak di bandar ini terpaksa memakai topeng pergi ke sekolah.

Kedua-dua tangan diletak atas palang besi sambil menjenguk ke bawah. Dia mencebik kecil melihat suasana di bawah sana itu. Macam tak ada apa yang menarik tinggal di kondo ini. Tak nampak meriah macam tinggal di kampung. Hanya kolam renang sebesar gelanggang futsal jadi perhatian.

Baru saja sehari tinggal di situ, dia dah mula bosan. Tak tahu nak buat apa apabila Idlan tiada di rumah. Ini adalah hari pertama Idlan bekerja selepas bercuti panjang.

Sayang...

Ika pegang dada. Terkejut mendengar suara Idlan tiba-tiba memanggil. Dia berpaling dan melihat Idlan berdiri di belakang.

Terperanjat Ika.

Buat apa dekat luar ni Meh masuk dalam.

Ika tengok pemandangan aje. Lagipun bosanlah asyik duduk kat dalam. Tak tahu nak buat apa. Tengok tv pun bukan ada rancangan best.

Idlan menyentuh lembut pergelangan tangan Ika sebelum ditarik perlahan supaya Ika berdiri rapat dengannya. Sebelah tangan lagi bermain pada rambut Ika yang terjuntai di dahi.

Abang tak mahu Ika berdiri lama-lama kat luar ni.

Kenapa Abang bagi dua sebab kenapa Ika tak boleh berdiri kat sini

Ika dah pandai minta sebab dari abang... Idlan senyum.

Ala Ika belajar dari abang juga. Ingat tak dulu abang pernah minta sepuluh sebab kenapa kita tak boleh kawan. Abang memang kejam. Penat Ika fikir sampai sepuluh sebab tu. Sekarang, Ika cuma minta dua sebab aje. Ika mengulum senyum. Saja nak bersenda dengan Idlan.

Pantas Idlan picit hidung Ika. Nakal sangat. Nak minta sebab bagai pula dia.

Cakaplah, abang. Cepat, berikan Ika dua sebab tu. Ika tunjuk sikap manja dan sengaja nak mengada-ada. Kepala diletak dengan selesa di dada Idlan.

Idlan teguk liur perlahan. Dia tersenyum-senyum. Suka dengan apa yang Ika buat. Selamba dan spontan. Kalau dulu bukan main lagi Ika malu-malu. Tapi, bila dah jadi isteri, habis terbang semua malu tu. Bagus juga kalau Ika selalu bertindak begini. Senang hati dibuatnya. Segala penat di tempat kerja, boleh hilang serta-merta.

Sebab pertama, abang tak mahu lelaki lain nampak isteri comel abang dengan rambut terdedah. Kedua, kat luar udara kurang bersih. Sekarang musim jerebu. Nanti mudah dapat sakit.

Segera Ika jarakkan diri. Terlepas kedua-dua tangan dari pinggang Idlan. Dia melopong dengan kedua-dua tangan meraba kepala. Dia terlupa pakai tudung!

Pantas dia berlari masuk ke ruang tamu dan terus duduk di sofa dalam keadaan serba salah. Idlan masih berdiri di luar tersengih-sengih melihat kelakuan Ika yang panik tak tentu fasal. Dia juga masuk ke ruang tamu lalu mengambil tempat di sebelah Ika. Bahu isterinya dirangkul perlahan.

Ika menoleh sambil menggigit bibir. Bimbang kalau dimarahi. Memang benar-benar dia terlupa nak pakai tudung sebelum berdiri di luar balkoni. Kalau letak tuala kecil atas kepala pun tak mengapa. Ini tak, togel aje. Nasib baik Idlan menegur, kalau tak memang dia akan leka sampai bila-bila. Maklumlah, dia tak pernah tinggal di kondo sebelum ni. Tak perasan pula kalau berdiri di balkoni macam tadi, secara tak langsung dia berdiri di tempat terbuka. Mungkin ada yang ternampak, ada yang memandang.

Ika minta maaf ya, abang Tak perasan pula Ika tak pakai tudung.

Kalau Ika nak ambil angin kat situ, kena pakai tudung, okey

Okey, abang. Lain kali Ika tak buat dah. Tangan kanan diangkat paras telinga. Seakan membuat sumpah. Tersedar suaminya baru pulang dari tempat kerja, tiba masa untuk dia berkhidmat.

Muka dimaniskan, senyum dilebarkan. Duduk dibetulkan menghadap ke arah Idlan. Tak bersoal jawab, terus jari merayap pada butang kemeja Idlan.

Satu per satu dipisahkan.

Abang mandi tau lepas ni...

Idlan terkaku dengan layanan Ika. Tak pernah dia dilayan sebaik ini ketika menjadi suami Irdiana.

Kenapa abang Ika menyoal hairan apabila terpandang riak kekok di wajah Idlan.

Idlan menangkap tangan Ika yang masih melekat di dadanya. Ika... abang tak biasa.

Wajah Ika berkerut dengan seribu pertanyaan.

Tak biasa apa

Tak biasa perempuan layan abang macam ni.

Ika mengukir senyum. Mula faham apa maksud itu. Kak Irdiana Tak pernah buat

Idlan menggeleng memberi jawapan.

Ika berdeham perlahan. Cuba mengusir situasi tak enak yang baru menjengah. Namun dibiarkan perbualan itu tak bersambung. Apatah lagi kalau nama Irdiana disebut. Lantas, dia terus membuka butang kemeja Idlan hingga selesai dan menarik tangan Idlan supaya menurut langkahnya hingga ke bilik.

Sehelai tuala putih dihulurkan, Ini tuala abang. Ika dah sediakan pakaian malam abang atas katil. Abang mandi dulu. Ika nak siapkan makan malam untuk abang.

Untuk kita.. Idlan mencelah di sebalik arahan Ika yang berjela. Senyum dimaniskan buat isteri tercinta. Seronoknya rasa. Bahagia sungguh dapat layanan begini.

Ika tunduk. Bibir mekar menguntum senyum.

Ya... untuk kita. Masih malu-malu rupanya dia tiap kali berdepan dengan Idlan. Ingatkan dah habis semua malunya tu. Nampak masih ada saki bakinya.

Sayang...

Ika mendongak. Cukup lama dia memerhati wajah Idlan.

Ada apa-apa lagi yang abang nak Ika buat

Ada.

Apa

Idlan garu belakang leher. Riak nakal terpamer serta-merta. Temankan abang.

Temankan Nak pergi mana Lurus Ika menyoal. Tak dapat tangkap maksud sebenar di sebalik raut wajah nakal Idlan.

Mandi.

Gelak kecil Ika terlepas keluar. Dia menutup mulut. Pipi kemerah-merahan menahan malu. Namun, taklah dia mahu menolak.

Okey. Apa-apa ajelah untuk abang. Mari Ika temankan.

Selesai membersihkan diri dan melakukan apa yang perlu, Idlan masuk ke ruang dapur. Ketika berada di ruangan itu, deria baunya menangkap haruman lauk pauk yang buatkan seleranya terbuka. Hilang rindunya dengan masakan ibu di kampung.

Ika berpaling. Senyum diukir dan kerusi ditarik untuk Idlan. Duduklah, abang. Ada satu lagi lauk Ika belum ceduk dalam mangkuk. Abang tunggu kejap.

Idlan membalas senyum dan hanya mampu mengangguk. Sungguh bertuah dia dapat Ika. Sejak berkahwin dengan gadis itu, dia dilayan bagaikan seorang putera raja.

Sayang duduklah sekali makan dengan abang, Idlan mendongak apabila Ika berdiri di sebelah sambil meletak lauk terakhir di atas meja.

Tak apa. Abang makan dulu, Ika temankan.

Pinggan kosong ditarik dan mula menceduk nasi ke atasnya.

Mana boleh macam tu. Ika kenalah makan sekali. Mari sini abang cedukkan nasi tu. Senduk nasi di tangan Ika hampir-hampir dapat dirampas, tapi Ika lekas-lekas melarikan senduk itu ke arah lain.

Eh, tak apalah abang. Biar Ika buat.

Idlan tayang muka tak puas hati. Mana boleh macam tu. Tadi dah penat Ika layan abang. Siap mandikan abang lagi. Sekarang Ika duduk, biar abang layan Ika pula.

Ika berdecit perlahan. Janganlah macam ni, abang. Kalau mak Ika tahu ni, nanti apa pula mak cakap.

Mak takkan tahulah. Kita duduk jauh dari mereka. Idlan menolak kerusi untuk berdiri, tapi bahunya ditolak perlahan hingga memaksa dia duduk semula.

Tak payah. Biar Ika aje yang buat. Abang duduk sini diam-diam. Jangan sesekali bergerak. Kalau abang bergerak juga, Ika hukum abang nanti. Ika memberi amaran.

Kejamnya sampai nak hukum abang. Idlan mendongak memandang wajah serius Ika.

Kejam tak kejam. Kalau abang bergerak dari kerusi ni, malam ni abang tidur luar. Ika pura-pura mengugut. Rasa nak tergelak dengan ugutan sendiri. Nak suruh Idlan tidur di luar konon. Sedangkan seminit Idlan tak ada di katil, dia resah dan gelisah macam kucing kehilangan anak.

DUA minggu bergelar suami pada Ika Alia, kini tiba giliran dia perlu beri tumpuan lebih pada kerja. Sejak kebelakangan ini dia memang sibuk. Kadang-kadang terlupa ada seorang isteri sedang menanti kepulangan setiap hari.

Kadang-kadang ada harinya dia tak sempat bersarapan di rumah. Pulang dari tempat kerja hingga ke tengah-tengah malam. Bila dia balik, Ika dah lena di sofa. Mungkin tak sempat tidur di bilik kerana mengantuk menunggunya pulang.

Dia mengutuk diri sendiri. Rasa bersalah terhadap Ika yang baru dinikahi. Sepatutnya waktu-waktu begini, dia bawa Ika berbulan madu. Tapi, lain pula jadinya. Dia terlalu sibuk dengan urusan kerja hingga tak sengaja mengabaikan isteri yang begitu setia.

Kalau dengan Irdiana, harus dia kena sumpah seranah. Tapi, dengan Ika, kondisinya sangat berbeza. Ika hanya tahu senyum dan melayannya baik-baik. Tak pernah walau sekalipun Ika bertanya kenapa dia balik lambat. Kenapa begitu dan kenapa begini. Tak pernah. Itu kelebihan Ika yang tak ada pada Irdiana.

Idlan meletak beg sandang atas meja. Melihat Ika tidur di sofa, tak sampai hati dia nak kejutkan. Dia lapar sebenarnya dan mahu Ika panaskan lauk atau apa saja yang isterinya boleh sediakan lewat malam begini. Tapi, rasa tak sampai hati itu melebihi segalanya. Lalu dibiarkan Ika tidur dan tak dikejutkan.

Tiba di dapur, dia buka tudung saji. Bibir lebar dengan senyum puas hati. Ada banyak lauk dimasak Ika malam ini. Ada ayam goreng berempah, daging masak lada hitam dengan hiasan cantik, ada tomyam juga. Tak terkecuali telur dadar dan som tam.

Idlan menggeleng dan mengeluh dengan rasa kesal. Rasa bersalah kerana memikir ada kemungkinan Ika belum menjamah nasi. Dia panjangkan leher ke arah ruang tamu. Ika masih nyenyak tidur. Nak kejutkan ke tak Ish, tak payah kejutkanlah. Nanti kesian pula kat dia. Idlan berkira-kira sebelum buat keputusan panaskan sendiri lauk pauk yang ada.

Abang buat apa tu

Idlan tersentak. Terkejut sungguh dia. Baru sebentar tadi dia lihat Ika masih tidur di ruang tamu. Tiba-tiba suara Ika kedengaran. Mana dia tak terperanjat.

Abang panaskan lauk, jawab Idlan sambil menoleh dan tersenyum apabila sedar Ika berdiri di sebelah.

Mendengar saja jawapan Idlan, Ika mula kalut. Tak pernah dia abaikan tanggungjawab pada Idlan. Tapi, malam ini dia terleka. Langsung tak sedar bila Idlan balik. Boleh pula dia tertidur atas sofa tu Sangat tak patut. Walau mengantuk macam mana sekalipun, dia tak boleh tidur selagi Idlan belum pulang.

Dalam situasi kalut, Ika mengikat rambut dan perkemaskan diri. Pipi ditepuk-tepuk perlahan. Berkerut-kerut dahi Idlan melihat kegopohan Ika. Kalau abang lapar, kenapa tak beritahu Ika

Ika tengah tidur. Abang tak sampai hati nak kejutkan. Abang lapar. Ingat nak panaskan lauk. Nak makan nasi.

Ika dah bangun ni. Mari sini Ika buat. Dia cuba mengambil alih tempat Idlan, tapi suaminya mengelak.

Dah nak siap. Ika duduk sajalah.

Kalau macam tu, biar Ika yang sudahkan. Abang pergi mandi, ya

Ika...

Abang jangan degillah. Cepat bagi pada Ika. Nanti hangus lauk tu.

Idlan menggeleng. Kalah terus dengan tindakan Ika yang tiba-tiba merampas senduk dari tangan.

Ika tersenyum kemenangan. Jangan harap Idlan nak buat kerja-kerja dapur selagi dia masih bernafas. Kalau betul suaminya nak bersilat di dapur, tunggu bila dia demam atau sakit. Selagi dia sihat, selagi tulang empat kerat masih boleh digunakan, dia akan buat semuanya. Dia bukan Irdiana, okey!