Tiada Tajuk - 39
Bab 39

Mimpi pertamanya yang aneh adalah dalam bulan ketiga kehamilannya. Anom bermimpikan tentang seorang lelaki yang bertukar menjadi kucing hitam. Dan setiap kali apabila Anom bermimpi, dia akan mendapat ilham untuk menulis ceritanya.

Lalu sejak itu, setiap kali dia bermimpi, keesokan harinya Anom akan mengambil buku kosong pemberian Azhan dan mula menulis cerita-cerita pendek yang semuanya berdasarkan kepada mimpi-mimpi yang dia dapat. Setakat ini sudah enam cerita semuanya. Tentang kucing jadian. Manusia terbang. Manusia yang boleh meramal masa depan. Manusia yang mati hidup kembali. Dan beberapa lagi.

Anom mengesot turun dari katil. Dia mengeluarkan buku cerpen itu dari dalam laci. Anom membelek isinya. Sudah hampir penuh. Hanya tinggal beberapa mukasurat saja lagi yang belum bertulis. Anom kira, dia akan mengisi muka-muka kosong yang terakhir itu dengan cerita yang ketujuh. Tapi Anom tak tahu nak tulis tentang apa. Selalunya dia akan menulis berdasarkan mimpi-mimpi yang dia dapat. Tapi akhir-akhir ini hanya satu mimpi yang setiap malam mengulang tayang. Mimpi yang menunjukkan kematiannya.

Anom menutup buku tersebut. Menampakkan kulitnya. Kulit yang setiap hari Anom akan tenung lama-lama. Dibelai dan dikucup tulisan pada kulit itu yang suatu ketika dulu menjadi mesej cinta dari Azhan kepada dirinya.

Anom berharap sungguh mesej yang tertulis pada muka depan buku itu masih mendukung erti yang pernah wujud dulu. Tapi Anom tau. Ianya harapan koSong. Sekosong jiwa Azhan terhadapnya kini. Yang telah berlalu meneruskan hidupnya. Mengejar cita-citanya. Pergi meninggalkan Anom tanpa mengucapkan selamat tinggal pun.

Anom memejam matanya rapat-rapat. Memerah titisan airmata yang terakhir untuk dibiarkan gugur ke atas permukaan buku itu. Bersama airmata itu, lahir satu tekad baru untuk Anom mula belajar melupakan Azhan. Dan untuk melakukan perkara itu secara sepenuhnya, Anom harus memadam mesej cinta yang sudah lapuk itu.

Lalu Anom pun mengambil cat berwarna hitam dengan berus. Bersama hati yang teguh, Anom mengecat permukaan buku itu. Berkali-kali sehingga tulisan pada kulit buku itu terlindung terus. Terkubur bersama dengan ingatannya terhadap Azhan.

Lantas buku tebal yang dahulu kulitnya berwarna putih dengan palitan warna merah jambu bertulis 'AZHAN CINTA ANOM'... kini hanyalah sebuah buku berkulit hitam tanpa sebarang identiti. Kosong tak bertajuk.

"Assalamualaikum...!"

Anom bergegas membuka pintu memandangkan ibunya sedang sibuk di dapur dan barangkali tidak mendengar ada orang memberi salam di hadapan.

"Waalaikumsalam..." balas Anom sebaik membuka pintu. Lima orang lelaki memakai uniform biru sedang berdiri tercegat sambil tersengih padanya.

"Maaf ganggu puan. Kami dari syarikat bekalan elektrik. Kami nak baiki pencawang elektrik dekat kawasan rumah puan ni. Jadi kami nak mintak kebenaran puanlah..." kata salah seorang dari lelaki tersebut.

"Oh ya ke.... Okeylah silakan," benar Anom sambil senyum.

Sejurus itu Anom ke dapur untuk memberitahu Mariah tentang pekerja-pekerja itu.

"Nah... bawak cucur dengan kuih ni untuk dia orang. Kesian kerja panas-panas," arah Mariah.

Anom pun menyusun pinggan kuih dan cawan kemas-kemas dalam talam lalu dibawa keluar. Dia menggamit salah seorang dari pekerja tersebut yang nampaknya sudah mula melakukan kerja mereka.

"Ni ada cucur sikit dengan air. Kut la dahaga atau lapar nanti. Silalah. Ajak kawan-kawan sekali..." semawa Anom.

"La... buat susah-susah je. Terima kasih ya puan..." kata lelaki itu sambil mencapai cucur kembung yang tengah panas-panas.

Anom memerhatikan wajah lelaki yang sudah agak berusia itu. Tiba-tiba terdetik sesuatu.

"Saya macam selalu je nampak encik ni..." ujar Anom.

"Oh memanglah. Kami dah beberapa bulan dah duk kerja keliling kampung ni. Buat pendawaian baru..." terang lelaki tersebut.

"Patutlah.... Okeylah Encik Borhan. Makan dulu ya. Jangan lupa panggil dia orang makan sekali..." pesan Anom merujuk pada rakan-rakan pekerja itu yang lain.

"Eh... mana puan tau nama saya Borhan"

Anom senyum.

"Tu...." katanya sambil menunjuk pada tag nama yang melekap di dada uniform pekerja itu.

"Oh... hehehe. Bijak betul puan ni. Mesti anak puan nanti pun bijak dan pandai jugak. Boleh saya tau berapa bulan dah"

"Nak keluar sangat dah ni..." jawab Anom.

Borhan senyum. Matanya terus menumpu pada perut Anom. Sehinggakan untuk seketika Anom mula rasa tak selesa.

"Puan jaga diri elok-elok ya. Jaga pemakanan dan kesihatan. Baru bayi tu nanti keluar sihat dan kuat," pesan Borhan. Anom cuma mengangguk dan senyum walaupun perbualan itu dirasakannya kurang sesuai.

Kelima orang lelaki berkenaan terus bekerja untuk sejam lagi. Apabila selesai, mereka pun meninggalkan tempat itu dengan sebuah van warna biru.

bersambung

Bab akan datang:

Adakah lima orang lelaki itu ialah lelaki sama yang bertanggungjawab membuatkan Anom pengsan tempoh hari