DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 39
Seorang lelaki awal 20-an. Terlibat dalam kemalangan jalan raya lebih setahun yang lalu. Mengalami (R) Brachial Plexus Injury. Kecederaan saraf besar di tangan kanannya. Menyebabkan kelumpuhan tangan kanannya dan langsung tidak berfungsi. Beliau berubat di hospital kerajaan dan swasta. Namun kecederaannya dikira kekal. Dah setahun dia duduk di rumah sahaja. Mengharapkan bantuan BR1M yang tak kunjung tiba.

Entah mana dia belajar. Dia rendam tangannya dalam air panas supaya darah cepat mengalir. Supaya sarafnya cepat berfungsi kembali. Malangnya selain lumpuh, tangannya juga kebas. Langsung tak berasa apa-apa. Air panas mendidih pun tak rasa apa-apa. Dia rendam tangannya dalam air panas mendidih. Bila dikeluarkan dah masak tangannya. Full thickness burn.

Dah seminggu dia dressing di Klinik 1Malaysia. Hari ini tersesat ke klinik aku. Termenung panjang aku. Tak tahu nak buat apaapa. Tangan dah takda kulit. Tinggal daging sahaja.

Sedih pun ada. Kasihan pun ada. Klinik kerajaan semacam tak buat apa-apa. Sepatutnya hantar dia ke unit kaunseling. Hantar dia ke unit cara kerja. Dia kena terima hakikat. Dia kena teruskan hidup. Dia kena belajar survival. Walaupun hanya dengan satu tangan. Dia tak perlukan bekalan ikan. Dia perlukan joran dan mata kail. Dia bukan sekadar memerlukan wang BR1M. Dia perlukan sokongan dan panduan untuk meneruskan kehidupan.