Alatan menulis rasanya tak perlu bawa lagi masa hari orientasi ni. Bawa ilmu pengetahuan baca doa makan sudah memadai untuk merebut jawatan Ketua Tadika. Untuk lebih berkarisma, aku pesan suruh Fateem tunjuk kemahiran main bola jaring dan kemahiran masak bubur asyura yang bini aku titipkan semalam. Sambil main, botol susu kena selit celah pinggang. Barulah gangster!
Menurut pengetua tadika yang sekarang berada dalam tangga gaji DG48, minggu orientasi ni banyak kepada aktiviti suai kenal secara berebut pensel warna. Aku tak risau langsung sebab ilmu silat lincah peringkat asas pun aku ada ajar pada Fateem. Rasanya cukup nak handle hal-hal berebut dengan budak lelaki. Disamping itu, ada juga aktiviti melukis kondo tepi sawah dan acara menyanyi lagu Smell Like Teen Spirit sebagai lagu rasmi tadika. Acara makan-makan pula menyusul pada jam 10 pagi. Buku cerita seperti Snow White dan Sang kancil memang jangan harap nak ada. Itu sistem tadika tahun 1988. Kalau ikut silibus baru, cikgu tadika kena sediakan rak DVD supaya budak-budak boleh santai menonton AVATAR melalui laptop masing-masing selepas waktu makan.
Pagi tadi aku pergi mesyuarat PIBG pertama tanpa sempat mandi. Aku pergi naik motor saja, low profile. Masa aku sampai kerusi belah dalam semua penuh jadi aku mesyuarat dari luar pagar sambil main sms. Pengetua banyak bercakap soal masalah sosial dan kerapuhan sistem kapitalis di Amerika. Sedikit sebanyak beliau menyentuh isu pengambil alihan syarikat bumiputera oleh pelabur luar dan masalah Akademi Fantasia yang semakin hilang pengaruh. Sesi soal jawab juga tidak kurang panas bila hal seperti didikan agama dan keberkesanan DHA dalam susu serbuk dipertikaikan oleh 2-3 ibu bapa. Cilakak! Takkan ajar sembahyang pun kena masuk dalam KPI pengetua tadika Habis mak bapak nak ajar apa pula Menulis di wall Facebook
Walaupun duduk di luar pagar, aku sempat bagi cadangan supaya aktiviti main bukit pasir dimasukkan dalam silibus rasmi tadika. Aku perhatikan budak-budak kecik sekarang antibodi tak kuat. Kena hujan lima titik dah selesema. Main panas sikit dah demam. Itulah akibat bila banyak sangat makan sambal tumis segera jenama ADABI. Benda-benda tak true ni kalau boleh kena kurangkan baru anak-anak boleh jadi lasak dan keting kaki jadi keras macam anak india. Ini tidak, lembik. Jatuh sikit, menangis. Umur masuk darjah tiga pun tak pernah merasa tapak kaki berdarah pijak kaca.
Lepas rebel lebih kurang, aku terus balik rumah. Sekarang aku sibuk isi borang PTPTN pulak. Harapnya boleh lulus cepat. Ada juga niat nak minta biasiswa Shell. Tapi esok-esoklah aku telefon tanya borang.