DARI KLCC KE TANJUNG MALIM - 39
Keputusan peperiksaan semester 1 Tadika Kurnia Minda bagi peringkat umur 5 tahun telah diumumkan secara rasmi oleh guru kelas, Cikgu Halimah selepas budak-budak tadika habis sesi menggosok gigi pada pukul 10.30 pagi tadi.

Ada 15 orang pelajar tadika dalam kategori 5 tahun. Ingat ya, ingat!

Tahun lepas dalam kategori 4 tahun, Fateem hanya berjaya merangkul tempat ke 13. Ini kes ponteng periksa sebanyak 3 mata pelajaran. Baru umur 4 tahun dah berani berani ponteng periksa.

Kali ni punya periksa, aku pantau lebih sikit. Kerja sekolah hari-hari aku semak. Tapi bab mewarna memang bersepah. Entah apa benda dia warna. Taste mewarna langsung tak ada dalam jiwa. Buah durian warna biru tu dah 3-4 kali aku tegur, tak berubah juga. Tapi bila aku fikir balik, perkara mewarna ni tak masuk dalam silibus SPM pun. Jadi apa yang nak risau sangat ye dak

Berbalik pada keputusan peperiksaan yang baru keluar pagi tadi ni. Keadaan jadi luar biasa sikit.

Secara keseluruhan, Fateem berjaya merangkul tempat ke 3!

Oleh yang demikian, pihak Tadika telah sudi memberi hadiah berupa makan di KFC cawangan Tanjung Malim. Aku diberitahu, yang dapat nombor 1 sampai nombor 5 saja dapat hadiah makan KFC ni.

Tadi tengahari, aku berkesempatan menelefon Fateem. Aku pura-pura tanya dia periksa dapat nombor berapa. Padahal sebelum telefon tu aku dah dapat sms dari Cikgu Kuala Kubu beritahu Fateem dapat nombor 3. Kah kah kah!

Aku teringat masa aku tadika dulu bila periksa dapat nombor bagus, aku minta ayah aku bagi hadiah Ding Dang campur Tora tiap satu dua kotak. Dalam tu ada permainan. Pergh! Dia punya rasa seronok bawa sampai tiga hari!

Jadi mengenangkan giliran aku sebagai bapa telah tiba, aku tanya Fateem perkara yang sama macam ayah aku tanya pada aku 24 tahun yang lampau.

Nak permainan apa.

Mendengar jawapan Fateem, aku senyum dalam hiba. Nampaknya hujung minggu ni aku kena pergi Kuala Lumpur cari permainan. Permainan kali ini bukan Ding Dang ataupun Tora. Tetapi sejenis permainan kanak-kanak zaman moden yang diberi nama,

Ipad!