FIZIK-LAH! - 39
Mekanik kuantum adalah ilmu fizik moden mengenai zarah-zarah. Pada saiz sekecil atom, kebanyakan persamaan fizik klasik (classical mechanics) dah tak boleh dipakai lagi. Fizik klasik adalah subjek fizik yang diajar masa sekolah dulu-dulu. Contoh fizik klasik ialah termodinamik (fizik mengenai haba) dan elektromagnetism (fizik mengenai sinaran).

Dalam fizik klasik, segala-galanya mengenai sifat objek dapat ditentukan dengan penuh keyakinan. Ke mana objek akan pergi dan bila dia berhenti semuanya ahli fizik dapat tahu.

Secara tak langsung, ahli fizik mempunyai keupayaan untuk meramalkan masa depan objek tersebut. Semua sifat objek bersifat pasti, jelas dan dapat dijangkakan.

Untuk menggambarkan perkara ini, cuba lihat Rajah 1. Dalam rajah terdapat dua sistem, kita panggil saja dia Head, H dan Tail, T. Dua sistem ini akan sentiasa bergerak-gerak sama ada daripada H ke T ataupun dari T ke H. Kita takkan salah kalau kita nak ramal masa depan sistem pada rajah 1. Katalah kita berada pada poin H, maka kita sudah tahu ke mana kita akan pergi seterusnya iaitu ke T dan begitulah seterusnya.

Sama juga kita bukan saja boleh ramal masa depan, tapi kita juga boleh tahu masa lepas. Dalam sistem Rajah 1 jika kita berada pada H, maka kita tahu 100% dari mana H telah datang iaitu daripada T dan begitulah seterusnya. Inilah dia falsafah muktamad (determinism) dalam fizik klasik. Dan inilah maksudnya bagaimana ahli fizik mampu meramalkan masa depan dengan menggunakan fizik klasik.

Seterusnya lihat pula Rajah 2. Kali ini kita ada satu sistem yang terdiri daripada poin 1, 2 & 3. Dari Rajah 2, kita boleh tengok kalau kita berada pada poin 1, kita akan pergi ke poin 2, dan bila kita berada di poin 2 ada, dua kebarangkalian (probabilities) pula sama ada ke poin 3 atau 1.

Sistem ini di panggil pencapahan (divergence). Prinsip pencapahan dilarang dalam fizik klasik kerana kita tak boleh mempunyai sebarang keraguan atau keberangkalian dalam sistem. Sebaliknya mestilah mempunyai ciri keyakinan 100% seperti Rajah 1.

Dalam Rajah 2, kalau kita berada di poin 3, ada lagi masalah. Kali ini kita tak tahu dari mana kita datang. Kalau di poin 3, ada dua kebarangkalian sama ada kita muncul dari poin 2 ataupun poin 1. Perkara ini dipanggil pula penumpuan (convergence) dan ia juga menyalahi falsafah muktamad fizik klasik. Dalam fizik klasik, kita tak boleh ada sebarang keraguan atau kebarangkalian dalam sistem kerana semuanya patut diketahui secara haqqul yakin macam dalam Rajah 1. Dan inilah maksudnya konsep kepastian dalam fizik klasik.