Aku, Dia Dan Somtam - 40
BAB 40

ANIS sudah memohon cuti tiga hari. Imran pula tidak banyak soal mengenai permohonan cutinya. Cuti selama tiga hari tu digunakan sepenuhnya untuk dia menduduki peperiksaan akhir di UiTM. Selesai semuanya, Anis pulang ke kampung. Ibunya sudah diberitahu tentang kepulangannya. Kebetulan semalam ibu ada menghubunginya mengenai abang Razman yang telah tamat belajar di Australia. Entah apa yang abang Razman ingin bincangkan. Seribu persoalan timbul di benaknya.

Jendela dikuak perlahan menampakkan cahaya yang berbalam-balam dari celah pohon kelapa. Sinar cahaya dari lampu jalan itu menerangi sekitar lorong kecil sehingga ke laman rumah.

Dah masuk waktu subuh. Anis jeling jam di meja belajar. Kedengaran sayup-sayup suara azan subuh berkumandang dari surau.

Tuala di sebelah katil bujangnya dicapai dan bersegera ke bilik air. Usai solat subuh, Anis mula menolong ibunya menyediakan sarapan dan memasak nasi lemak berlaukkan sambal kerang untuk dijual di kedai makan di seberang jalan. Sementara dia menunggu nasi lemak masak di dapur sempat juga Anis menyagat beberapa biji betik muda untuk ramuan Somtam nanti.

Mak, cukup tak buah betik ni Anis tunjukkan betik yang telah disagat kepada ibunya.

Cukuplah tu rasanya. Tolong mak masak sambal kerang sekejap. Memulas pulak perut ni. Puan Ainon terkocoh-kocoh ke bilik air.

Anis segera mengacau sambal kerang yang sedang mereneh di atas dapur, bimbang ia akan hangus nanti. Dia menyambung kembali menyediakan daun pisang untuk membungkus nasi lemak. Masanya banyak digunakan untuk membantu ibu

menyediakan nasi lemak dan turut menemani ibu menjual di gerai seberang jalan. Itulah rutin harian yang selalu dilakukan setiap kali pulang ke kampung.

Anis segera membantu ibu memasukkan semua nasi lemak dan bahan-bahan untuk Somtam. Mereka berdua mula berjalan menuju ke sebuah gerai kecil di seberang jalan yang hanya sepuluh minit berjalan kaki dari rumah.

Kak Non!

Puan Ainon segera menoleh. Seorang perempuan yang hampir sebaya dengannya sedang melambai sambil tersenyum.

Timah! Paginya sampai! Laung Puan Ainon agak kuat sambil turut melambai ke arah Fatimah yang berbaju kurung kedah dan berkain batik. Berjalan terkedek-kedek sambil memegang sebuah bakul di tangan kiri. Agaknya baru hendak ke pasar basah yang terletak di sebelah kedai runcit Pak Abu tidak jauh dari situ.

Eh! Anis pun ada Bila balik Mak Timah tersengih-sengih menampakkan sebaris gigi yang sedikit kuning.

Dah dua hari makcik! Makcik nak ke pasar ke ni Tutur Anis lembut sambil bersalam dengan mak Timah.

Ya, ni ha..pakcik Hasan kamu nak makan ikan terubuk bakar cicah sambal asam! Entah mimpi apa dia malam tadi! Mak Timah ketawa terkekek-kekek.

Anis hanya senyum melihat gelagat Mak Timah yang becok mulut setiap kali bersuara. Dia memang terkenal di kampung Seriang. Satu kampung kenal dengan Mak Timah yang suka ketawa walaupun perkara itu tidak lucu. Dialah penghibur penduduk kampung di situ.

Wah! Sudah makin cantik kau Anis! Somtam ada ke Mak Timah mula menjenguk lesung kayu besar di sebelah kiri. Dia pandang pula bahan-bahan untuk Somtam.

Hai Timah! Takkan somtam je, nasi lemak aku kau tak nak beli ke Puan Ainon sengih sambil menyusun nasi lemak yang siap dibungkus.

Ala..nasi lemak kau tu selalu aku makan! Ni, Somtam Anis ni, dapat rasa masa dia balik je! Tempat lain tak sedap. Aku dah cuba. Somtam Anis juga yang sedap! Cukup lengkap semua bahan. Lebih-lebih lagi ada gajus goreng dan cili padi! Fuh! Terangkat kalau makan! Buatkan untuk makcik lima ringgit! Becok mulut Mak Timah bagai berteh jagung. Dia keluarkan duit kertas lima ringgit dari dompet kecil yang diseluk dari poket baju kurung kedahnya.

Anis senyum mendengar kata-kata Mak Timah. Mak Timah sudah menjadi pelanggan tetapnya sejak dulu. Laju tangannya menumbuk bahan-bahan untuk Somtam. Sebungkus Somtam diberi kepada Mak Timah.

Anis dah ada yang punya ke

Anis pandang Mak Timah dengan riak terkejut. Dia pandang pula ibu yang sedang menyagat betik muda di sebelah.

Apa maksud makcik

Maksud makcik, Anis ni dah ada teman lelaki ke Kalau belum, ada seorang anak sedara makcik ni. Dia sudah lama berkenan pada Anis. Ingat tak Ikhwan

Ikhwan Anis mula berkerut kening. Cuba mengingati jejaka yang disebut oleh Mak Timah sebentar tadi.

Alah..Ikhwan yang pernah datang rumah makcik dulu masa hari raya dua tahun lepas. Masa tu kan Anis datang beraya di rumah makcik! Masa tulah Ikhwan kenal Anis!

Beria Mak Timah mengingatkan semula tentang anak buahnya.

Oh! Yang pakai baju Melayu coklat tu ke Anis mula teringat seorang jejaka yang bermisai nipis asyik merenung ke arahnya semasa dia sekeluarga beraya di rumah Mak Timah.

Ha! Yang tu lah! Mak Timah sengih.

Anis terdiam. Memang masih jelas di ingatannya, seorang lelaki muda asyik memandangnya ketika itu. Terasa serba tidak kena bila ditenung begitu. Selepas itu, dia tidak pernah berjumpa lagi dengan Ikhwan.

Err..dia di mana sekarang ni makcik Tak nampak pun tahun lepas dia datang rumah makcik Anis pandang pula Mak Timah yang masih tersenyum kepadanya.

Dia belajar di Australia. Oh! Ya! Dia kirim salam! Mak Timah mula kembang hidung bila Anis bertanyakan anak buahnya itu.

Waalaikumussalam Anis menjawab perlahan. Tidak sangka Ikhwan menaruh hati padanya selama ini. Itulah pertama kali dia berjumpa dengan jejaka itu. Tidak mungkin sekejap itu perasaan dan hati Ikhwan sudah melekat padanya.

Kau ketinggalan kereta api la Timah. Anis ni dah bertunang. Tak lama lagi nak nikah. Tu la, dulu tak nak tanya. Puan Ainon laung dari belakang gerai.

Ya ke Melepaslah Ikhwan nampaknya. Hmm..nak buat macam mana, dah tak ada jodoh la tu. Mak Timah mula minta diri untuk ke pasar. Sempat Anis bersalam sebelum Mak Timah berlalu pergi.

Anis..petang nanti, abang Razman kamu datang bersama mak dan ayah dia. Puan Ainon mula mendekati Anis yang mula mengemas bekas somtam dan nasi lemak. Seawal sebelas pagi, nasi lemak dan somtam habis dijual.

Datang dengan mak ayah dia Ada apa mak Anis mua tidak sedap hati.

Entahlah!

Wajah Anis mula berubah. Di fikirannya sarat dengan seribu persoalan.

ANIS merenung gambar kenangannya bersama kakaknya Aiza. Satu persatu helaian album dibelek. Kemeriahan perkahwinan Aiza jelas terserlah di sebalik gambar-gambar yang diabadikan ketika itu. Masih segar dalam ingatan, Aiza begitu teruja ingin mengadakan majlis perkahwinan serentak dengannya sedangkan waktu itu, dia masih belum ada calon suami. Sudah ramai yang ingin mendekati dirinya namun tiada seorang pun yang melekat di hati. Banyak kali juga Aiza kenalkan kawannya yang sama-sama belajar di United Kingdom tetapi semuanya ditolak dengan baik. Bagi Anis, dia belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Anis..belum tidur lagi

Anis menoleh ke arah pintu. Ibunya sudah tercegat di situ sambil tersenyum.

Belum mak.

Anis dah buat semua persiapan kahwin Puan Ainon duduk di katil.

Belum mak. Bukannya besar pun majlis tu nanti. Saudara mara sajakan yang datang. Anis menutur tanpa nada perasaan.

Yalah..tapi kenalah ada baju pengantin. Tak sampai seminggu lagi Anis nak nikah. Apa pun tak ada lagi. Fasal kenduri tu mak boleh uruskan. Puan Ainon mula risau. Dia lihat sekitar bilik Anis. Belum ada satu gubahan hantaran pun lagi.

Makminggu lepas, Puan Zaharah sudah beli semuanya. Siap dengan baju pengantin. Mak janganlah risau. Ikutkan hati Anis, Anis nak batalkan saja pernikahan ni.

Tak baik Anis cakap macam tu. Imran tu baik orangnya. Keluarga dia pun baik. Dah, jangan nak buang tabiat pulak. Dah dekat nak kahwin, makin menjadi-jadi pulak merepek. Puan Ainon menyedapkan hati Anis.

Anis diam. Segala rasa resah dan sedih di hati disimpan kukuh. Biarlah ibunya tidak tahu semua itu.

Tu la..dulu abang Man nak, Anis tolak. Razman tu beria benar ingin mengikat tali pertunangan sebelum dia berangkat ke Australia. Dia pernah beritahu mak yang dia ingin mengambil Anis sebagai isterinya yang sah. Puan Ainon mula beredar dari situ.

Anis memandang ibunya pergi dengan sebak. Ibu mana yang tidak inginkan kebahagiaan anaknya. Dia pandang pula pada album. Aira begitu comel ketika berusia lima bulan. Matanya tertancap pada sebuah buku pemberian arwah kak Aiza dua bulan sebelum dia meninggal dunia. Perlahan Anis mengambil dan membelek helaian demi helaian. Sekeping kertas putih yang berlipat terselit di celah helaian. Tangan halusnya mula membuka lipatan kertas itu. Tidak semena-mena air mata mula bergenang dan mengalir perlahan ke pipi. Buat sekian kalinya, ayat-ayat yang tercatat di atas kertas putih itu ditatap lagi.

Abang, jagalah anak yang bakal lahir nanti. Dia adalah benih cinta kita. Untuk abang, Aiza sanggup pertaruhkan nyawa untuk anak ini lahir ke dunia walaupun Aiza tahu abang mungkin kehilangan Aiza jua suatu hari nanti

Anis mengesat air mata yang tumpah dengan hujung baju kurung. Kak Aiza begitu menyayangi abang Razman. Nasihat doktor tidak pernah diendahkan supaya tidak mengandung memandangkan nyawanya dalam bahaya disebabkan kanser rahim yang dihidapi sejak usia belasan tahun. Surat yang dititipkan buat abang Razman sehari sebelum Aira dilahirkan itu dilipat semula dan diletakkan di celah helaian kertas tadi. Mungkin sebab arwah merahsiakan sakitnya begitu maka Razman membawa diri ke luar negara. Hanya enam bulan sahaja Aira sempat merasa kasih sayang dan dakapan seorang ayah.

Kak, semoga rohmu dirahmati oleh Allah. Anis meraup muka. Wajahnya ditundukkan seraya berdoa. Tidak tega mengingati semula pemergian arwah kak Aiza semasa melahirkan Aira empat tahun yang lalu.

JAM di atas meja belajar sudah hampir dua setengah petang. Anis bergegas ke bilik air. Usai mengambil wuduk, dia bersegera pula menunaikan solat zuhur.Lama dia berteleku atas sejadah. Kitab suci al-Quran diambil dari atas rak kecil di bahagian hadapan meja belajar. Suara gemersiknya sayu kedengaran.

Anis segera menoleh bila melihat Puan Ainon sudah tercegat di muka pintu bilik yang sedikit terbuka.

Mak dah solat

Sudah..tolong mak buat kuih nanti. Puan Ainon beredar ke dapur.

Anis turut ke dapur.

Makkenapa mak menangis Anis mula menghampiri ibunya yang kelihatan sugul.

Err..mak teringatkan arwah kakak kamu Aiza. Baju kurung nilah yang selalu dipakai dulu. Puan Ainon menutur lirih. Air mata yang membasahi pipi disapu perlahan dengan hujung jari.

Mak..sudahlah. Kalau baju ni yang menyebabkan mak sedih, Anis tukar baju lain ya mak. Anis mula tidak sedap hati melihat ibunya bersedih begitu.

Tak payah..mak hanya teringat saja. Manis Anis pakai baju ni.. Puan Ainon mula mengukir senyum.

Assalamualaikum!

Puan Ainon segera menjenguk ke laman. Dia tersenyum melihat orang yang ditunggu sudah tiba.

Waalaikumussalam! Naiklah Kak Yah! Abang haji!

Anis turut jenguk. Abang Razman dan kedua ibu bapanya sudah sampai di depan rumah. Dia segera ke pintu depan dan mula mencium tangan ibu Razman. Aira berlari dan terus mrangkul pinggangnya.

Masuklah! Puan Ainon pelawa naik.

Mak..Anis ke dapur dulu. Anis minta diri. Ibunya pula mula berbual mesra dengan keluarga Razman.

Anis..ni hadiah. Razman sempat menghulurkan sebuah beg kertas besar kepada Anis.

Apa susah-susah ni.. Anis menyambut hadian pemberian Razman dan mula berlalu pergi.

Dah lain Anis sekarang. Dah makin cantik. Puan Bahiyah yang selesa dipanggil Kak Yah mula memuji Anis.

Puan Ainon hanya senyum.

Oh ya, Man kerja kat mana sekarang Puan Ainon mengalih pandangan pada Razman yang sedang memangku Aira.

Alhamdulillah..saya dapat kerja di syarikat IBM mak. Dekat Taman Tun di KL tu. Razman turut senyum.

Ohbaguslah.

Anis kerja kat mana pula Haji Kamaruddin pula mencelah.

Kat KL jugak..entah, saya pun lupa nama syarikat tu. Puan Ainon ketawa kecil.

Kami datang ni nak bagi tahu. Man ni nak bawa Aira sekali ke KL tu. Dia kata ada pengasuh kat sana. Masuk darjah satu nanti, dia nak Aira sekolah kat sana. Senang sikit. Puan Bahiyah pandang suaminya di sebelah. Seketika kemudian dia pandang pula Razman yang agak sugul dari tadi.

Oh ya ke

Yalahtak lama lagi Anis pun dah nak jadi isteri orang. Jadi, kami rasa elok Man bawa Aira tinggal bersamanya di sana nanti. Puan Bahiyah senyum. Dia pandang suaminya yang duduk di sebelah.

Puan Ainon diam seketika. Ternyata Razman kecewa dengan keputusan Anis memilih Imran. Mungkin itu sebabnya dia ingin mengambil Aira tinggal bersamanya.

Saya tak kisah kak. Aira tu darah daging Razman. Dia berhak ke atas Aira. Puan Ainon mula berbahasa. Mencari ayat yang sesuai supaya tidak melukakan hati semua pihak.

Mak..saya pun rasa sedih juga. Saya bukan apa..Aira rapat dengan Anis. Jadi saya fikir, lebih baik saya bawa Aira dari sini sebelum Anis kahwin nanti. Saya tak nak menyusahkan Anis dan mak nanti. Razman mula buka mulut. Berterus terang.

Masing-masing diam seketika bila melihat Anis datang membawa kuih dan air kopi. Anis diminta duduk sekali di situ.

Silakan! Maaf..kuih je petang-petang ni. Puan Ainon pelawa tetamunya menikmati kuih dan kopi.

Semua yang ada di situ mula menikmati juadah petang sambil berbual mesra. Aira mula duduk di riba Anis.

Makcu..papa kata, papa nak bawa Aira ke KL! Bestkan! Aira tiba-tiba bersuara.

Anis terkedu sebentar. Semua mata tertumpu padanya. Dia memandang Razman yang memandangnya tidak berkelip.

Anis macam mana Dah buat persiapan nikah Puan Bahiyah memecah suasana yang tiba-tiba hening seketika.

Err..dah makcik. Makcik dan pakcik sihat Anis melabuhkan punggung di sebelah ibunya.

Alhamdulillah..makcik rasa terkilan tak dapat bermenantukan Anis. Jodoh tu di tangan Allah. Allah lebih mengetahui. Puan Bahiyah senyum. Anis ditatap penuh kasih.

Anis tunduk membisu. Dia juga tidak sangka selama ini Razman menaruh hati padanya. Dan paling dia tidak sangka, Razman berani melamarnya.Dia juga rasa bersalah dengan keluarga Razman. Namun Allah lebih mengetahui perjalanan hidup hamba Nya.

Razman dan kedua orang tuanya mula minta diri. Aira turut mengikut Razman pulang bersama datuk dan neneknya.

Jangan lupa datang masa Anis nikah nanti. Puan Ainon bersalam dengan ibu Razman.

InsyaAllah Non. Kami balik dulu.

Anis turut bersalam. Sayu melihat Aira yang didukung Razman sedang melambai mesra ke arahnya.

MakAnis rasa bersalah pada abang Man. Anis terduduk di kerusi semula. Lemah seluruh anggota badannya mendengar hajat bekas abang iparnya itu.

Anis..mak faham. Sudahlah. Dah jodoh Anis dengan Imran. Razman pun dah boleh terima kenyataan. Puan Ainon memeluk satu-satunya anak gadis yang masih ada.

Malam itu Anis tidak lena tidur. Puas dia baring ke kanan ke kiri. Semuanya tidak kena. Dia bingkas bangun semula. Segera dia mengambil wuduk dan solat istikharah. Aira yang dibesarkan di rumahnya sejak usia sehari, kini semakin jauh darinya. Usia dua tahun, orang tua abang Razman mengambil Aira. Sekali sekala saja Aira akan dijaga oleh mak bila orang tua abang Razman ada hal penting. Namun Aira cukup rapat dengannya. Ah, Airalah satu-satunya kenangan abang Razman yang ada. Abang Razman lebih berhak.

Bermula esok, dia mula sibuk menyediakan keperluan untuk majlis pernikahannya nanti.