DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 40
Seorang lelaki berusia pertengahan 40-an. Bekerja di sebuah kilang elektronik hampir 20 tahun. Selalu juga datang klinik bawa anak-anak. Maklumlah klinik panel. Dia bukan kaki MC.

Semalam petang dia datang klinik. Mengadu fikirannya bercelaru. Tak lalu makan dan susah nak tidur. Wife dia pun ada sama mengesahkan cerita-cerita beliau. Dan cerita selanjutnya agak menarik.

Dia ditawarkan untuk naik pangkat. Naik level eksekutif. Gaji besar sedikit tetapi dah tiada OT. Dia kata dia rugi hampir 2 ribu sebulan kalau tiada OT. Itu yang merunsingkannya. Satu lagi, sebelum naik pangkat, dia kena buat presentation depan big-big boss orang-orang Jepun. Kena cakap bahasa Inggeris. Itu juga merunsingkannya. Satu lagi, dia tak memohon jawatan itu. Dia terpilih dan dipilih. Kawan-kawan lain yang memohon jawatan tu dah cukup bersedia katanya. Dan dia rasa dia tak bersedia. Dia sangat berfikiran negatif. Wifenya pun sama. Masing-masing tiada keyakinan diri. Dan aku kena buka kelas kaunseling sekejap. Mengulang kembali kata-kata Prof Muhaya. Tapi dia dah nekad. Dia tak nak jawatan itu. Dia tak nak buat presentation. Dia tak nak memalukan diri dia sendiri. Dia nak minta cuti panjang-panjang.

Inilah antara masalah bangsa kita. Tidak mahu keluar daripada kepompong. Tidak mahu keluar daripada zon selesa. Tidak mahu mencabar keupayaan diri. Tidak mahu bersaing.

Takut untuk bersaing. Aku dulu pun pernah mengalami pengalaman yang sama. Stress tahap gaban bila kena uji tahap maksimum. Tapi Allah dah tentukan. Setiap ujian yang diberiNya, Dia dah tahu. Aku pasti boleh melaluinya. Aku harap dia pun sama.