Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Yusuf 12 : ayat 30)
Cinta terhadap Yusuf AS dikatakan telah meresap ke dalam lipatan hati Zulaikha sehingga dikatakan dia telah mencintai Yusuf dengan tahap kecintaan ketujuh, iaitu kecintaan yang amat dalam. Lantaran besarnya kecintaan Zulaikha terhadap Yusuf AS, maka dia telah rela untuk dicaci dan dicerca oleh wanita yang lainnya.
Lantaran cinta dan berahinya terhadap Nabi Yusuf AS maka pada suatu hari, Zulaikha telah meminta Yusuf datang ke kamarnya. Dia telah mempersiapkan dirinya dengan memilih pakaian paling cantik dan sedikit terdedah yang pasti menggegarkan naluri seorang lelaki, dia berhias sebaik mungkin dan menebarkan keharuman pada tubuhnya.
Ketika datangnya Yusuf, dia kemudiannya telah meminta supaya pintu ditutup. Zulaikha telah menggoda Yusuf namun Yusuf menolak dan melarikan diri sehingga Zulaikha telah menarik bajunya pada bahagian belakang, lantas terkoyaklah baju Yusuf AS. Akibat daripada malu ditolak, Zulaikha telah menangis dan mengarang cerita bahawasanya Yusuf AS telah berkehendakkan dirinya dan ini menyebabkan Yusuf AS dipenjara.
Kisah Zulaikha dan Yusuf dirakamkan dalam Al-Quran bermula surah Yusuf ayat 21 sehinggalah Yusuf AS dipenjarakan pada ayat 36 surah yang sama, kerana fitnah kononnya Yusuf AS menggoda Zulaikha, isteri al-Aziz.
Bagaimanapun pada ayat 51 surah yang sama,
Allah SWT berfirman, maksudnya;
Isteri Al Aziz pun berkata: Sekarang ternyatalah kebenaran, akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan sesungguhnya adalah ia dari orang yang benar.
(Surah Yusuf 12 : ayat 51)
Selepas ayat tersebut, Al-Quran tidak menceritakan kesudahan hubungan Zulaikha dengan Yusuf AS. Namun, dikhabarkan bahawa pada suatu hari, Mesir telah dilanda wabak kemarau yang amat dasyat.
Yusuf AS telah dilantik sebagai pembesar Mesir ketika itu setelah keluar dari penjara kerana kepandaiannya dalam mentafsir mimpi. Zulaikha pula telah berpindah ke sebuah pondok usang. Di sana, dia bertaubat dan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Tidak habis-habis dalam doanya, dia berharap agar Allah menyatukan semula cintanya terhadap Yusuf AS.
Wahai bidadariku,
Benar bukan cinta itu adalah satu anugerah Cinta itu tidak pernah salah dan sifatnya lembut, sifatnya memberi, sifatnya tulus, sifatnya tergantung pengharapan cuma yang menjadi silapnya adalah ketika kita tegar membelakangkan suruhan Allah SWT dan agama demi cinta.
Apakah salah mencintai makhluk Tidak sama sekali. Bahkan Zulaikha telah mencintai Yusuf AS dengan sebesar-besar kecintaan. Serahkan pengharapan kepada Dia Yang Maha Mendengar. Ketahuilah, belas kasihan dan kasih sayang Allah SWT cukup besar sifatnya. Kembalilah kepada Dia yang Maha Memiliki Cinta.
Cinta yang dilandaskan padaNya dan mengikut suruhan serta meninggalkan larangan-Nya pasti akan menghasilkan sesuatu yang tidak kamu terduga, wahai gadisku.