TORA DATANG LAGI - 41
Kepopularitian permainan batu seremban atau batu selambut sememangnya tidak boleh disangkal langsung. Permainan yang tidak bermusim ini boleh dimainkan di mana sahaja dan sesiapa sahaja. Walaupun permainan ini rata-rata dipelopori oleh wanita, lelaki juga tidak kurang hebatnya dalam bermain batu seremban lebih-lebih lagi lelaki lembut.

Permainan ini dimainkan dengan menggunakan 7 biji batu sebesar syiling 10 sen yang boleh dikutip di tepi jalan ataupun sungai.

Kriteria pemilihan batu adalah bergantung kepada setiap individu. Ada yang sukakan batu yang bulat, ada yang suka bersegi. Ada yang mementingkan batu yang licin, dan ada yang sukakan batu kasar.

Walaupun jumlah pemain adalah tidak terhad, ianya kerap dimainkan oleh dua orang dalam satu masa.

Cara untuk bermain batu seremban adalah seperti berikut :

Tujuh biji batu tadi akan ditabur berselerakan ke lantai dan pemain perlu memilih sebiji batu dari mana-mana 7 biji batu yang ditabur.

Selepas memilih, 1 biji batu tadi perlu dilambung ke udara dan pemain perlu mengambil 1 biji batu yang ditabur dalam masa yang sama menyambut batu yang dilambung tadi. Proses ini diteruskan dengan mengambil 2 biji batu dan seterusnya 3 biji batu.

Permainan akan dikira batal dan bertukar giliran jika pemain tidak berjaya menyambut, tersentuh batu lain yang bukan batu ingin diambilnya.

Jika kesemua tujuh biji batu berjaya diambil, pemain perlu melambung ketujuh-tujuh biji batu tadi ke udara dan menyambut sebanyak mungkin batu dengan menggunakan bahagian belakang tapak tangan.

Batu yang terkumpul di belakang tapak tangan akan sekali lagi dilambung dan pemain perlu menangkup kesemua biji batu tersebut tanpa ada satu pun yang terjatuh ke lantai. Sebiji batu akan memberikan 2 markah.

Permainan akan dimulakan semula seperti tadi dan jumlah markah akan dikira sehingga tamat permainan. Pemain yang mengumpul markah paling banyak, dikira pemenang.

Setelah sekian lama bermain batu seremban, golongan lelaki mula merasakan permainan batu seremban terlalu feminin, balada dan kurang rock. Dengan sedikit perubahan, permainan tudung botol diperkenal bagi memberi sedikit kelainan kepada batu seremban dan dalam masa yang sama nampak lebih rock dan kelakian.

Permainan ini memerlukan 5 keping tudung botol kaca yang sangat mudah diperolehi ketika itu. Seperti mana batu seremban, permainan ini juga tidak terhad kepada jumlah pemain yang khusus. Cara untuk bermain tudung botol adalah seperti berikut :

Pemain akan menyusun kelima-lima tudung botol meninggi dengan bahagian bergerigi tudung botol menghadap ke atas. Susunan tadi akan diselitkan antara ibu jari tangan kiri dan kanan, digesekkan dan dibiar berterabur. Ada juga yang sekadar meneraburkan susunan tudung botol dengan melepaskan dari atas. Pemain akan memilih 1 tudung botol untuk dibuang. Pemain yang bijak akan merancang untuk membuang tudung botol yang paling sukar kedudukannya. Pemain lain akan memberi

arahan tudung botol yang perlu dijentik ke arah tudung botol yang paling sukar untuk disasarkan.

Pemain perlu menjentik tudung botol mengikut arahan dengan menggunakan apa cara sekalipun asalkan tidak menyentuh tudung botol yang lain. Pelbagai cara bantuan digunakan seperti menggunakan jari kiri, tapak tangan, lengan dan lain-lain.

Selepas berjaya menjentik kesemua tudung botol, pemain akan menimbang tudung botol di atas belakang tapak tangan untuk memperolehi markah seperti mana permainan batu seremban.

Permainan tudung botol juga disebut tudung tin, tutup botol dan tudung menet. Di utara, semua jenis air botol kaca dipanggil sebagai air menet. Perkataan menet berasal daripada perkataan lemonade, salah satu perisa air di dalam botol kaca yang pertama wujud di Malaysia.