Tiada Tajuk - 41
Bab 41

Dengan menimbulkan kemarahan, ketakutan dan panik dalam diri orang-orang kampung, boleh mendesak mereka untuk melakukan sesuatu kepada perempuan terpilih. Termasuk membunuhnya. Dan itulah yang kita mahu."

Maka untuk minggu-minggu yang seterusnya, setiap perangkaan dan rancangan oleh Han berlima yang diketuai oleh Borhan berjaya dilaksanakan satu persatu. Misi mereka lengkap dan selesai dengan sempurna. Dia yang tahu segalanya selamat dilahirkan. Perempuan terpilih meninggal dunia dalam satu kebakaran yang dicetuskan oleh penduduk kampung yang terhasut.

Kini, pelan mega oleh sebuah organisasi rahsia untuk mengubah dunia, akan dapat mula dilancarkan. Mengubah dunia untuk memberi ruang kepada masa depan yang baharu.

- Habis -

Zack berdiri di hadapan sebuah balai polis. Keadaan sekitar lengang memandangkan sekarang sudah hampir mencecah jam dua belas tengah malam. Zack mengelap darah yang melekat pada seluruh wajahnya. Dia juga membetul-betulkan baju dan seluarnya yang penuh dengan cairan yang menggerakkan jantung manusia.

Zack masuk ke dalam balai polis tersebut. Semua pegawai yang bertugas terkejut melihat keadaan Zack. Merah dengan percikan dan tompokan darah dari atas ke bawah.

Zack duduk pada sebuah kerusi di hadapan kaunter membuat laporan. Lalu dia pun berkata...

"Saya nak serah diri."

"Apa nama awak Serah diri untuk apa" soal pegawai bertugas tersebut.

"Nama saya Azhan Zakwan. Dan sayalah Pembunuh Batik Biru."

Adib sedang duduk di atas bangku kayu di laman tepi rumahnya. Melihat bulan di angkasa yang kemerahan. Walaupun sudah berkali-kali dipanggil masuk oleh Suraya kerana sudah lewat malam, Adib terus pegun di situ. Matanya terus terkunci pada bulan merah yang begitu indah, begitu dia suka.

Munir menghampiri Adib. Duduk di sebelahnya. Buku karangan Bahasa Malaysia Adib masih di tangannya. Munir mengambil masa yang agak lama membaca karangan Adib yang bertajuk Kisah Akhir itu. Diulang bacanya juga beberapa kali. Cuba untuk memahami.

"Banyak benda yang Abang Munir ingin tanya aku kan" Adib bersuara.

Munir hanya diam. Tubuhnya keras. Tidak satu helai rambut pun pada kulitnya yang bergerak. Matanya pula hanya menumpu ke bawah.

Munir rasa macam dirinya sedang berada di paling hujung sebuah tebing bukit. Menunggu masa saja untuk jatuh dan merasai angin kuat yang memukul wajahnya sebelum menghentam batu-batuan tajam yang sedang menantinya di bawah. Pecah berkecai. Hancur. Habis.

Begitulah betapa hati dan otaknya terdesak. Terdesak untuk mengakhiri semua ini. Terdesak untuk menamatkan segala misteri, segala persoalan, segala ketidaktahuan. Tapi Munir tak tahu bagaimana. Dan dia takut untuk bertanya.

Lalu untuk membantu Munir, Adib mengambil keputusan untuk mula menjawab walaupun tanpa disoal.

"Semuanya adalah benar."

Itulah perkara pertama yang Adib luahkan. Sebab dia tahu itulah perkara pertama yang paling mengganggu Munir.

"Cerita-cerita pendek yang ditulis oleh ibu aku sewaktu dia mengandungkan aku, dan cerita-cerita pendek yang ditulis oleh mangsa-mangsa Pembunuh Batik Biru. Semuanya adalah berdasarkan kepada kejadian-kejadian sebenar yang sedang berlaku di seluruh dunia, dan di Malaysia khususnya," sambung Adib.

Munir menelan air liurnya yang pekat. Masanya sudah tiba. Cuma Munir tak tahu samada dia sudah bersedia.

"Lebih kurang seratus tiga tahun dahulu, sekumpulan orang yang terdiri daripada cendekiawan dalam pelbagai cabang kemahiran dari beberapa negara besar, telah datang bersama, bersatu, bersepakat dan menubuhkan sebuah organisasi kecil. Ia hanya bermula dengan tujuh orang ahli sahaja. Berkumpul sebulan sekali di sebuah bilik bawah tanah di Rusia. Dan pada waktu-waktu tertentu mengubah lokasi pertemuan mereka ke negara-negara lain yang terlibat. Mereka tidak pernah pegun di satu tempat. Sentiasa bergerak, agar kewujudan mereka sukar untuk dikenalpasti ataupun dijejak. Kemudian berseiringan dengan perkembangan masa, organisasi ini berkembang dan berkembang sehinggalah kini ianya terdiri daripada jutaan ahli dan melibatkan seratus tujuh puluh tiga negara di seluruh dunia."

Adib menoleh ke kanan. Memerhatikan wajah Munir yang hanya tertunduk dari tadi merenung tanah di bawahnya. Jari dari kedua belah tangannya bersilang dan nafasnya turun naik. Tapi masih, tidak ada satu bunyi pun lahir dari bibirnya. Barangkali dia masih menunggu. Bermaksud Adib, harus terus bercerita.

"Setelah merangka dan membuat persiapan selama lebih dua puluh tahun, organisasi tersebut memulakan projek rasmi mereka yang pertama. Iaitu mencari seorang calon yang sesuai untuk dijadikan subjek sebuah kajian. Seorang wanita. Wanita yang harus sesuai dari segi latar belakang, keadaan fizikal dan juga keturunannya. Setelah mencari di beberapa tempat, perempuan terpilih yang pertama dijumpai. Seorang wanita yang telah mencatat sejarah paling besar dalam tamadun dunia moden, tapi tak ada sesiapa yang mengenalinya mahupun tau akan kewujudannya pun. Wanita ini juga, adalah wanita pertama yang mengandungkan seorang bayi istimewa.

bersambung

Bab akan datang:

Siapakah wanita pertama yang melahirkan bayi istimewa itu Adakah keistimewaan bayi itu sama seperti Adib