Pada masa dulu, teori cahaya adalah zarah sangat dominan kerana Newton adalah watak gergasi dalam fizik. Disebabkan faktor Newton ini, maka ramai saintis menerima idea Newton bulat-bulat.
Konflik sama ada cahaya adalah gelombang ataupun zarah telah membelenggu dunia fizik selama beratus tahun sehinggalah James Maxwell telah mengasaskan teori berkenaan elektromagnetik. Pada masa tersebut, maka terbuktilah cahaya memang bersifat gelombang dan bukan zarah macam yang Newton cakapkan. Persamaan Maxwell telah menguburkan teori Newton.
Namun, apabila Einstein muncul, Einstein telah mengungkit kembali berkenaan hal ini. Menurut Einstein, cahaya adalah kejadian zarah. Zarah cahaya ini kemudian dipanggil foton. Menurut Einstein, setiap foton mempunyai tenaga kecil (dipanggil diskret macam yang Planck cakap) dan bergantung kepada frekuensinya.
Disebabkan itu, dalam kes fotoelektrik, tidak semua jenis cahaya mampu mengeluarkan elektron daripada permukaan logam. Jika saintis menggunakan cahaya berwarna merah, tidak kira betapa cerah sekalipun cahaya tersebut, ia takkan dapat keluarkan elektron dari logam.
Sebaliknya jika saintis menggunakan cahaya berwarna biru, elektron tetap akan dikeluarkan walaupun cahaya yang digunakan sangat malap. Bukan setakat dikeluarkan, malah serta merta pula.
Perkara ini tidak dapat diselesaikan sampailah Einstein menggunakan idea Planck sebelum ini untuk menyelesaikannya. Cahaya merah tidak dapat mengeluarkan elektron kerana frekuensinya berada dibawah nilai ambang frekuensi (threshold frequency) iaitu tenaga minimum bagi mengeluarkan elektron dari permukaan besi.
Sebaliknya cahaya biru dapat mengeluarkan elektron kerana ia mempunyai frekuensi yang cukup untuk menendang elektron keluar. Menurut Einstein, elektron dapat dikeluarkan serta merta bukan kerana faktor frekuensinya saja. Sebaliknya juga disebabkan oleh sifat cahaya tersebut yang berbentuk zarah.
Setiap zarah cahaya yang melanggar permukaan logam akan melanggar elektron dalam logam dan disebabkan itu elektron boleh dikeluarkan serta merta. Dalam masa yang sama juga, Einstein tidak menafikan cahaya adalah kejadian gelombang elektromagnet.
Justeru cahaya bukan saja sebuah kejadian gelombang elektromagnet tetapi ia juga sebuah kejadian zarah. Sifat inilah yang dikenali kedualan gelombang-zarah (wave-particle duality). Ia adalah kejadian serentak cahaya iaitu bersifat zarah dan gelombang. Perkara ini tentu sukar difahami oleh ahli fizik kerana sifat gelombang adalah lain, dan sifat zarah adalah lain. Ia seperti malam dan siang, hitam dan putih yang tak sama dari segala segi. Tetapi dalam kes cahaya nampaknya cahaya mempunyai siang dan malam berlaku serentak, hitam dan putih berlaku serentak dan ini tentulah sangat sukar diterima. Tapi mahu terima atau tidak itulah faktanya. Suka tak suka inilah bendanya.
Bermula daripada fenomena jasad hitam dan kemudian fotoelektrik, ilmu mekanik kuantum terus dikembangkan lagi oleh ahli-ahli fizik lain pada pertengahan abad ke-20M. Ahli-ahli fizik ini termasuklah Werner Heisenberg, Niels Bohr, Arthur Compton, Erwin Schrodinger, John Von Neumann, Max Born, Paul Dirac, Wolfgang Pauli, Louis de Broglie dan sebagainya.
Di dalam mekanik kuantum sendiri terdapat pelbagai aliran seperti Tafsiran Copenhagen (Copenhagen Interpretation), Tafsiran Banyak-Dunia (Many-worlds Interpretation), Tafsiran Pandu-Gelombang(Pilowwave Interpretation). Namun, kebanyakan silibus mekanik kuantum di seluruh dunia telah menggunakan Tafsiran Copenhagen yang diasaskan oleh Niels Bohr.
Bermula pada tahun 1920M, mekanik kuantum telah menjadi ilmu terpenting untuk menjelaskan sifat atom. Mekanik kuantum telah menjadi sebuah ilmu yang inklusif dan terdapat pada banyak subjek-subjek sains selain fizik. Ini termasuklah optik kuantum (quantum optics), informasi kuantum (quantum information), kimia kuantum (quantum chemistry) dan lain-lain.
Mekanik kuantum juga menjelaskan sifat-sifat elektron apabila mereka bergerak dalam peralatan elektronik dan ini sekaligus menjadikannya sebuah ilmu yang sangat penting dalam teknologi moden pada hari ini.