KAMU SANG PENCULIK - 42
KETUKAN di pintu menyentakku dari dunia yang entah apa-apa. Tangisanku harus disorok, tapi ke mana aku harus lari Akhirnya aku pilih untuk baring di atas sejadah. Mata kupejam rapat-rapat. Aku cuba berlakon sebaik mungkin saat kedengaran pintu dikuak.

Laaa, letih sangat sampai tidur dekat bawah adik aku seorang ni. Suara Kak Zila kedengaran.

Sha, bangun. Tidur kat atas katillah. Nanti sakit badan. Terasa bahuku diusap.

Aku berfikir dua saat samada ingin terus berpurapura tidur atau membalas.

Sha tidur kejap aje. Kejap lagi Sha bangun, balasku dengan suara seperlahan mungkin. Agak serak tapi lakonanku berjaya menutup kesan-kesan tangisan tadi. Mata tetap dibiarkan terpejam.

Okey. Akak nak keluar ni. Mungkin lambat balik. Kata-kata Kak Zila kubalas dengan anggukkan. Beberapa saat kemudian kedengaran pintu ditutup.

Perlahan-lahan aku buka mata. Bibir kuketap kuat namun ia tidak mampu menghalang tangisanku dari berkesinambungan. Aku tarik kembali gambar-gambar dari bawah kain telekung.

Ya Allah, siapa punya kerja ni Macam mana kalau semua ni sampai pada mama dan abah. Siapa yang dengki ambil gambar ni. Hatiku berbisik kecil.

Gambar aku dan Niel pada malam pertemuan pertama kami diambil dengan cukup baik sekali. Semuanya bagaikan memberi sisi negatif untuk kami. Gambar ketika Niel mendekat padaku sehingga aku tenyeh krim kek ke mukanya. Gambar yang diambil seakan-akan aku sedang mengusap pipi Niel dalam kedudukan yang terlalu rapat. Apa yang dapat kupastikan, wajahku jelas kelihatan dalam gambar. Niel pula hanya dari belakang sahaja.

Kemudian gambar situasi lain ialah ketika Niel membantuku yang gayat dengan ketinggian. Juga nampak kami cukup rapat. Dalam keadaan aku yang sedang ketakutan, gambar itu mampu memberi pelbagai spekulasi negatif pada yang tidak tahu.

Akhir sekali gambar aku dan Niel masuk ke dalam Ferrari. Semua gambar bagai disusun cukup cantik oleh si penghantar. Apa motifnya aku tidak tahu. Samada khianat atau dendam. Kenapa harus aku yang jadi mangsa Tika bahagia itu sedang menjengah, masalah kembali hadir menimpa. Haruskah aku khabarkan pada Niel atau aku diamkan sahaja

Bunyi SMS masuk menambahkan kegusaran hatiku. Firasatku mula menerawang pada benda-

benda negatif lain. Terketar-ketar aku mencapai Galaxy A. SMS dari private number kubaca.

Private number:

Cuba tengok dalam media sosial. Berita kau dah jadi viral.

Dadaku makin sesak bagai dihimpit berjuta rasa. Bibirku beristighfar tanpa henti. Wajah mama, abah dan Shauqi mula berlegar di minda.

Maafkan kakak, getusku dalam hati. Kemudian jariku mula menari di atas skrin Galaxy A.

GADIS BERTUDUNG MAKIN HANCUR AKHLAK

Itulah tajuk artikel yang dikongsikan oleh beberapa orang rakan Facebook aku. Zaman sekarang, semuanya cukup pantas tersebar dengan bantuan media sosial. Aku klik pada link artikel itu. Jantungku bagai sedang marathon di dalam.

Graf kerisauanku menurun 0.01 peratus apabila melihat gambar dalam artikel. Wajahku dikaburkan. Masih dalam keadaan selamat untuk aku dan Niel. Mataku mula meneliti kandungan artikel.

Entah apalah perasaan ibu dan ayah mereka jika tahu anak mereka ke tempat haram ini. Malahan berpegangan dan berpeluk dengan lelaki ikut suka hati. Tudung di kepala bagai satu perhiasan sahaja, bukan perisai untuk mempertahan maruah diri.

Maruah sanggup digadaikan demi kesenangan hidup. Asalkan lelaki itu berduit, semua disapu mereka.

Hancur luluh hatiku tika semua isi kubaca. Ya Allah, mengapa aku harus difitnah hingga begini sekali. Siapa yang berdendam denganku Setahu aku, tidak pernah aku cari gaduh atau sakitkan hati sesiapa secara langsung.

Satu lagi SMS masuk. Terketar-ketar jariku menekan skrin.

Private number:

Gambar di internet masih aku kaburkan. Bayangkan kalau aku sebarkan gambar yang jelas. Satu dunia boleh kenal kau. Mana nak letak maruah keluarga kau

Azan Maghrib kedengaran sayup-sayup. Aku kuatkan diri untuk bangun ke bilik air. Mujur juga bilik airku di dalam bilik. Muka kubasuh berulang kali. Tetapi air hidung tetap kuat berbunyi. Sempat aku melihat wajah yang sudah sembap melalui cermin.

Ya Allah, ampunkan hamba-Mu ini. Doa kupanjat, memohon agar maruah aku dan keluarga dilindungi. Moga aku tabah menghadapi setiap dugaan yang bakal mendatang.

Kemudian aku membaca Al-Quran diiringi air mata. Hingga sampai ke satu tahap aku tidak mampu untuk meneruskan pembacaanku. Ya Allah, bagiku ujian ini terlalu berat kerana melibatkan maruah keluargaku. Tambah menghimpit jantung hatiku ialah penyelesaian yang langsung tak nampak.

Tidak sedar sahaja azan isyak berkumandang. Sama seperti tadi aku ambil wuduk semula. Rasa tidak selesa jika terus solat dengan wajah yang dipenuhi kesan air mata. Usai solat aku terus berselubung sambil cuba tidur. Ia tidak mampu menyelesaikan masalah tapi sekurang-kurangnya mampu buat aku lupa akan masalah untuk seketika.

Galaxy A tiba-tiba menyanyi riang. Terus kucapai dan bibir kuketap saat nama Daniel Izdihar tertera di skrin. Sungguh aku tak mampu meluahkan apa-apa padanya. Semua ini berpunca dari dia.

Aku ben...

Tidak! Jangan bencikan dia. Bukan sepenuhnya salah dia. Semua ini berlaku atas tiket satu kesilapan.

Aku tak mampu untuk membencinya. Galaxy A berbunyi lagi dan masih dari dia. Akhirnya aku pilih untuk offkan sahaja. Biarlah aku bersendirian buat masa ini.

IRIZ kupandu perlahan. Fikiranku masih kusut memikirkan ke mana harus aku tuju. Seawal jam tujuh pagi tadi aku sudah maklumkan staf di Bahagian Pentadbiran berkaitan cuti kecemasan yang kuambil. Dalam keadaan sekarang aku tidak mampu ke pejabat.

Pemanduan tanpa hala tujuku berakhir di hadapan Rumah Titian Kasih. Hatiku tergerak untuk ke sini. Ketibaanku disambut dengan wajah gembira Puan Latifah. Namun dia agak terkejut dengan kedatangan mengejutku. Aku tawarkan diri untuk menjadi sukarelawan separuh hari.

Usai solat Zuhur, aku sudah berkira-kira untuk meminta diri. Tapi, permintaan anak-anak kecil yang mahukan aku mewarna dengan mereka membuatkan aku tidak sampai hati untuk meninggalkan mereka. Jadi masaku di Rumah Titian Kasih terus berlanjutan.

Kini aku sudah dapat mengenalpasti mengapa hatiku memilih untuk ke sini. Agar aku rasa lebih bersyukur dengan apa yang kumiliki. Dugaan yang kuhadapi tidak sehebat mereka. Jika mereka mampu tabah, mengapa tidak aku Jika mereka kuat mengharungi liku-liku hidup, mengapa tidak aku Seharusnya aku fikirkan jalan penyelesaian, bukannya terusan menangis dan lemah mengawal emosi.

Assalamualaikum. Suara garau itu tiba-tiba kedengaran. Jantungku bagai ditarik. Benarkah dia yang memberi salam Aku tidak berani menoleh.

Waalaikumussalam. Masuklah Daniel, pelawa Puan Latifah. Jantungku mula meronta di dalam.

Iman dan anak-anak yang lain mula bangun. Pastinya untuk bersalaman dengan Niel. Aku pula masih kaku.

Anak-anak, sambil mewarna kita makan cendawan celup tepung dan kuih-kuih yang Abang Daniel bawa ya Kak Suraya muncul sambil menatang dulang yang sarat. Anak-anak kecil ini terus bersorak.

Keadaan sekarang bagiku terlalu kekok. Hinggalah ke jam tiga petang aku temankan mereka sebelum aku kembali meminta diri untuk pulang. Yang paling kugeram, Niel juga meminta diri. Langkahku laju ke Iriz, tetapi tidak mampu melawan langkah Niel.

Liya, jangan lari dari saya macam ni. Niel laju meluahkan. Langkahku terhenti. Kita sama-sama selesaikan masalah ni, sambung Niel.

Kali ini aku pasti Niel sudah tahu apa yang berlaku. Mungkin dia menelefonku semalam disebabkan hal ini. Aku tarik nafas panjang sebelum melangkah ke Iriz semula.

Mana awak tahu saya ada dekat sini Sempat aku menyoal.

Sebab saya cari awak dekat tempat lain tak jumpa. Jawapan Niel cukup spontan.

Saya nak bersendirian. Pendek balasanku.

Tangan sudah mencapai pintu Iriz.

Bersendirian tak akan selesaikan masalah.

Berada dengan awak pun tak akan selesaikan masalah. Tegas suaraku. Tanpa menunggu apa-apa balasan dari Niel, aku terus masuk ke dalam Iriz.

Enjin kuhidupkan dan aku terus tinggalkan Niel tanpa ada sekelumit pun rasa bersalah.

FIKIRANKU jauh melayang entah ke mana. Aku biarkan angin menyapa wajah. Mata kupejam rapat. Walau sedikit silau dengan sinaran mentari petang yang semakin rendah, aku tetap berdiri di sini hinggalah terasa sinaran itu hilang. Mungkin mentari tersorok di sebalik awan.

Aku buka mata dan terus tersentak saat satu tangan sasa di hadapan muka. Spontan aku toleh ke tepi. Mataku terus membulat.

Saya dah cakap saya nak bersendirian. Suaraku tegas. Niel alihkan tangannya dan tanpa perasaan dia beredar. Macam itu sahaja

Namun aku terkejut bila dia tiba-tiba duduk di bangku berhadapan tasik. Bangku yang sama menyimpan beberapa memori kami. Aku ketap bibir dan berjalan laju ke arahnya.

Kenapa awak ikut saya Soalku dengan kasar.

Saya tak ikut Liya dan saya tak kacau Liya. Saya dah biarkan Liya bersendirian tanpa tegur Liya. Saya nak duduk sini. Liya anggap aje saya tak wujud. Kalau betul nak bersendirian kenapa datang tempat yang ramai orang Niel kenakan aku semula.

Aku balas dengan renungan setajam mungkin sebelum beredar jauh sedikit darinya. Aku tidak tahu hendak lari ke mana lagi. Hendak memandu dalam keadaan sekarang, bimbang aku tidak mampu fokus. Jadi biarlah aku di sini sahaja. Abaikan sahaja Niel. Ego aku benar-benar tinggi kali ini.

Hai, sorang aje Teguran dari suara asing itu mengejutkan aku. Dua orang lelaki mula mendekati palang tempat aku berdiri.

Aku sudahlah sedia serabut, datang pula dua orang ini. Geramku memuncak. Aku jeling mereka setajam mungkin sebelum berlalu.

Laaa, kenapa lari Dari suara mereka, aku tahu mereka mengikutku dari belakang. Malas hendak melayan orang putus wayar jadi aku lajukan langkahku. Terhenti apabila Niel tiba-tiba muncul di hadapanku.

Sorry bro. Kami tak ada niat nak ganggu awek bro. Cuma nak berbual aje. Salah seorang dari mereka bersuara. Kemudian kedua-duanya pergi meninggalkan kami.

Aku mendongak tinggi untuk memandang wajah Niel. Dia sebaliknya sedang tunduk untuk memandangku. Jarak kami hanya satu meter. Tanpa kusedari permata jernih mula gugur ke pipi. Artikel itu kembali segar di mindaku. Aku lap pipiku dengan belakang tangan. Niel cepat sahaja hulurkan sapu tangan bercorak petak kelabunya.

Saya minta maaf. Ini semua salah saya. Kita buat laporan polis untuk tutup kes ni. Supaya tak ada sesiapa yang akan ambil kesempatan pada Liya. Kita terangkan macam mana peristiwa ni boleh berlaku. Semuanya salah saya. Liya tak bersalah. Niel luahkan jua akhirnya apa yang dia rasa. Lama aku menghadam setiap patah katanya.

Awak tak fikir ke apa aje tindakan yang kita buat, semuanya tak berguna. Maruah saya sedang diperjudikan. Paling parah melibatkan keluarga saya. Dengan suara yang cukup dalam aku meluahkan. Niel pejamkan matanya dan tarik nafas panjang. Aku tahu dia rasa cukup bersalah.

Saya janji saya akan cuba selesaikan masalah ni. Saya tak akan biarkan Liya dan keluarga terluka. Ada kesungguhan dalam kata-kata Niel.

Macam mana kita nak selesaikan masalah ni sedangkan kita tak tahu siapa yang buat semua ni. Motifnya pun saya tak tahu. Aku menggeleng lesu.

Niel diam namun wajahnya seakan sedang sarat dengan kerisauan.

Saya balik dulu. Takut ada lagi yang khianat ambil gambar kita dan fitnah saya tanpa usul periksa, tuturku walau tahu ianya pasti membelah jantung Niel. Dia memandangku penuh kekesalan.

Aku tarik nafas panjang sebelum beredar. Kucuba sedaya upaya menahan air mata dari gugur. Namun, masuk sahaja ke dalam Iriz tangisanku terus terhambur. Jantung hatiku bagai nak gila di dalam.

Bukan hanya maruahku yang menjadi gadaian saat ini. Malah keluargaku. Tidak sanggup aku perjudikan maruah mama, abah dan Shauqi. Ya Allah, aku tidak rela jika maruah keluargaku tercalar.

Benar aku tersepit antara maruah insan yang kusayang. Namun, pastinya yang paling utama sekarang ialah keluargaku. Tidak pernah aku menyangka badai begini akan melanda. Permata jernih makin lebat merembes ke pipi. Esakan mula kedengaran. Ya Allah, berikan hamba-Mu ini sedikit kekuatan.

SUDAH seminggu perkara itu berlaku. Aku teruskan kehidupan seharianku seperti biasa dari segi luaran. Dalamannya hanya Allah yang tahu. Orang itu senyap sahaja dan langsung tidak menghantar SMS lagi selepas malam itu. Niel pula diam menyepi. Mungkin memberi ruang untuk aku bertenang atau juga sudah buntu untuk menolongku.

Hinggalah suatu petang aku mendapat SMS yang paling tak terjangka.

Nelly:

I nak jumpa you esok.

Mindaku ligat memikirkan motif Nelly ingin bertemu denganku. Fikiran negatif mula bersarang. Adakah Nelly dalang di sebalik penyebaran artikel itu Tapi, dia tiada di tempat parti. Atau mungkin kawannya yang curi-curi ambil gambar dan hantar padanya.

Cuma mengapa selepas lebih setahun baru dia buat semua ini Mengapa tidak di awal perpisahannya dengan Niel Mengapa perlu diperap segala dendam itu Atau ada permainan di sebalik semua ini. Oh, sungguh aku buntu untuk mencari jawapan pada persoalan-persoalan ini. Jika andaianku salah bagaimana Tapi, bagiku hanya Nelly yang mempunyai motif yang kukuh.

Jadi untuk merungkaikan misteri penyebaran artikel itu, aku setuju untuk bertemu dengan Nelly.

YOU mesti pelik kenapa I ajak jumpa, kan Nelly terus ke isu utama usai memesan minuman.

Aku tarik nafas panjang sebelum mengangguk. Tangan di atas riba kugenggam kemas. Ikutkan rasa, mahu saja aku terjah Nelly dengan semua persoalan yang bersarang. Tetapi aku harus bersabar.

Mesti hidup you rasa tak tenteram lepas artikel tu tersebar. Kata-kata Nelly benar-benar menyentak jantungku.

Aku lempar pandangan tidak percaya tepat ke anak matanya. Tidak berkelip aku memandangnya.

Dia ketawa sinis. Jantungku makin tak duduk diam. Seakan benar sahaja jangkaanku. Nafasku tertahan. Pilu merentap jiwa. Ternyata Nelly masih sayang dan mahukan Niel. Tidak pernah terlintas di fikiranku untuk menjadi perampas kekasih orang tetapi nasi sudah menjadi bubur.

Aku reda dengan apa yang bakal berlaku.