Yang menjadi permulaan kepada ribuan lagi bayi-bayi istimewa lain, yang dilahirkan oleh perempuan-perempuan terpilih setiap tahun sejak itu. Termasuklah ibu aku."
Munir memanggungkan kepalanya. Renungannya beralih kepada Adib. Bibirnya yang pucat digigit angin malam, walaupun diketap kuat, tapi jelas meronta untuk bertanya. Tapi Munir tau. Dia tak perlu soal. Kerana masih banyak yang terkulum dalam mulut Adib dan hanya menunggu masa untuk dimuntahkan.
"Ibu aku dikata, merupakan seorang perempuan terpilih yang paling istimewa sepanjang kewujudan organisasi. Ia adalah kerana ibu aku punya kebolehan semulajadi untuk melihat sesuatu yang orang lain tak boleh lihat. Melihat kandungan dimensi lain yang wujud seiring dengan dunia kita. Dan ibu aku adalah jambatan yang menghubungkan dua dimensi itu. Kebolehannya untuk melihat lepas dari batas kemampuan manusia biasa, juga bermaksud kebolehannya untuk menampung kelahiran aku ke dunia ini. Aku yang dilahirkan dengan bakat yang diturunkan dari ibu aku, dan juga dari sumber asing yang membenihkan ibu aku. Menjadikan aku seorang manusia yang tahu segalanya. Sebab itulah walaupun usia aku baru sembilan tahun, tapi pengetahuan aku tiada batasan. Dan ianya masih berkembang dengan usia aku. Sehinggalah akan ke satu tahap dimana, tidak akan ada rahsia lagi di alam semesta ini untuk aku. Sebab itulah sewaktu mengandungkan aku dulu, ibu aku juga mempunyai kebolehan seperti aku. Dimana dia mempunyai pengetahuan tentang kejadian-kejadian yang signifikan dengan organisasi, yang sedang berlaku dan yang akan berlaku di merata-rata tempat. Bila ada seorang remaja lelaki di Johor yang akan berubah menjadi kucing. Ibu aku sudah tau. Dia lihat dalam mimpi lalu dia tuliskan dalam cerita pendeknya. Juga bila ada seorang gadis yang terapung di sebuah flat di Kuala Lumpur, lalu jatuh dan mati. Ibu aku tau juga. Kejadian itu yang menginspirasikannya untuk menulis cerita 'Terapung'. Tentang remaja-remaja di masa depan yang boleh terbang. Bila Asmidar membunuh suami dan empat orang anaknya di Pahang pula. Ibu aku nampak juga dalam mimpinya. Lalu terhasillah cerita 'Ramalan'. Begitulah seterusnya untuk semua cerita lain kecuali cerita yang terakhir. Cerita 'Batik Sentung Biru'... aku yang tulis, sebelum Abang Munir jumpa aku keseorangan di rumah lama aku itu. Sebab aku sudah tau waktu itu bahawa Abang Munir dalam perjalanan pulang ke kampung. Aku juga tau Abang Munir akan sesat dan kebetulan berjumpa dengan aku. Aku dah nampak segalanya. Sebab itulah aku tulis cerita itu. Supaya Abang Munir dapat tau sedikit sebanyak tentang asal-usulku bila Abang Munir membacanya."
"Macam mana dengan cerita-cerita yang ditulis oleh mangsa Pembunuh Batik Biru" Munir akhirnya bersuara.
"Lelaki-lelaki yang dibunuh oleh Pembunuh Batik Biru itu sebenarnya adalah antara pegawai bawahan organisasi. Untuk pengetahuan Abang Munir, organisasi yang aku sebutkan tadi, kini sudah terdiri daripada jutaan anggota di seluruh dunia dari himpunan individu yang berpangkat paling tinggi di dalam masyarakat sehinggalah yang paling rendah. Terdiri dari orang kebanyakan, ahli politik, saintis, guru, peguam, pegawai polis, tentera dan apa saja cabang profesion yang Abang Munir boleh fikirkan. Semuanya kami ada wakil di situ. Mereka ini adalah anggota yang dipilih secara teliti. Dari kalangan orang biasa yang hidup dalam masyarakat umum. Tapi mereka yang menjadi mata, suara, dan juga tangan organisasi. Anggota yang secara berperingkat dan perlahan-lahan telah dilatih untuk berkhidmat kepada pertubuhan kami dalam menjalankan kerja-kerja yang menggerakkan misi dan visi organisasi. Seperti pegawai dalam mana-mana organisasi lain, mereka juga akan membuat laporan-laporan sebagai rekod yang boleh diakses oleh pihak-pihak terlibat. Dan semua laporan, dihasilkan dalam bentuk cerita fiksyen. Seperti cerita-cerita yang dijumpai pada mangsa Pembunuh Batik Biru, itu sebenarnya adalah laporan terkini berkenaan dengan tugasan yang diberikan kepada anggota tersebut."
"Kenapa..."
"Kenapa laporan dibuat dalam bentuk cerita fiksyen Sebab kandungan setiap laporan adalah rahsia yang sangat besar. Buruk akibatnya kalau dijumpai oleh orang yang tidak sepatutnya. Jadi kami telah mencipta satu format. Untuk menghasilkan laporan dalam bentuk cerita yang berunsur fantasi. Seperti cerpen, novel dan sebagainya. Cuma, walaupun gaya penceritaannya seperti cerita rekaan, ianya padat dengan maklumat dan laporan terkini yang ingin disampaikan berkenaan dengan sesuatu misi ataupun tugasan setiap anggota terlibat. Kalau Abang Munir nak tau, kami juga ada ramai anggota dari kalangan novelis di seluruh dunia termasuk di negara kita. Dan penulis-penulis itu adalah orang yang dikenali. Yang menghasilkan novel-novel terlaris di pasaran. Cuma orang umum tidak tahu, bahawa isi kandungan novel-novel tersebut menyembunyikan laporan-laporan semasa tentang perkembangan misi besar organisasi. Bagi orang ramai, novel-novel di pasaran itu hanyalah cerita-cerita rekaan.
bersambung
Bab akan datang:
Dapatkah segala persoalan yang bermain di minda Munir akan terjawab