DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 42
3 hari yang lalu. Jam sembilan malam. Seorang wanita Indonesia datang ke klinik. Tangannya terluka kena gores singki aluminium. Ada luka sepanjang 5 cm di ibu jari tangan kanannya. Aku tengok lukanya agak dalam. Ibu jarinya pun dah tak lurus. Ibu jarinya dah tak boleh ditegakkan. Memang sah dan pasti. Ada urat jarinya dah terputus. Aku cakap aku tak boleh nak buat. Aku cakap tak boleh nak jahit lukanya dan dia perlu ke hospital kerajaan untuk sambung urat yang putus. Baru lukanya boleh dijahit. Kalau tidak ibu jarinya akan cacat selama-lamanya.

Dia mula tak keruan. Dia mula panik. Dia mula menangis. Dia mula bercerita pasal kerja kantinnya. Dia mula bercerita pasal taukenya. Dia mula bercerita pasal situasi kewangannya. Tapi aku hanya sekadar doktor cabuk sahaja. Aku tak cukup peralatan untuk sambung urat yang putus. Aku hanya mampu menulis surat rujukan ke hospital.

Hari ini dia datang kembali. Dia nak beli ubat supaya lukanya cepat sembuh. Lalu aku panggil dia berjumpa dengan aku. Dia kata dia tunggu di hospital sampai pukul 3 pagi. Dia bayar 50 ringgit. Dia dapat 2 suntikan. Dia dapat PCM 8 biji, Cloxacillin 8 biji dan Papase 6 biji. Itu sahaja. Balutan dilukanya masih balutan yang sama 3 hari dulu.

Selidik punya selidik. Siasat punya siasat. Dia diarahkan masuk ke wad untuk rawatan lanjut. Tapi dia tak cukup wang untuk bayar deposit. Kawan-kawan tak datang. Tauke pun langsung tak datang. Jadi dia langsung balik ke rumah. Lukanya tidak berjahit. Urat yang putus tidak disambung. Dia tak mengaku tak cukup wang. Tapi dia kata dia sayangkan kerjanya. Kantinnya tak cukup kakitangan. Kalau masuk wad paling kurang pun 2-3 hari. Dia risaukan pasal kantinnya.

Sebagai doktor, aku merasakan aku dah buat yang terbaik. Aku terangkan keadaan penyakitnya. Aku terangkan apa yang patut dibuat. Aku tuliskan surat rujukan ke hospital. Tapi aku terkilan. Kalau aku di hospital kerajaan masa tu, aku boleh sambungkan urat yang putus di situ juga. Tak payah susah-susah nak masukkan ke wad. Tak payah susah-susah nak rujuk ke hospital besar. Tak payah susah-susah nak cari duit untuk deposit. Lukanya agak besar. Urat yang putus boleh nampak dengan jelas. Kenapalah MO sekarang tak berani nak buat Sibuk sangat ke kerja di Unit Kecemasan Kenapa perlu harapkan Ortho MO yang buat

Di klinik aku cuma ada Catgut, Silk dengan Dafilon je. Itu pun dah hampir tarikh luput dah. Memang tak sesuai untuk sambung urat yang putus. Tapi andai kata aku takda pilihan, dan aku tahu kesudahannya seperti ini, aku jahit sendiri lukanya malam itu. Aku fikir dia akan dapat rawatan lebih baik di hospital, tapi lebih teruk yang dia dapat.

Aku sedikit menyesal. Aku sedikit terkilan. Ibu jari tangan kanan adalah sangat penting. Seboleh-bolehnya kena kembalikan fungsinya 100%. Tapi apakan daya. Tiga hari dah berlalu. Dah terlambat untuk merubah segala-galanya.

Aku ada satu lagi pilihan. Kena jumpa dengan Nabil telinga capang. Nak pinjam mesin masa ciptaannya. Boleh kembali ke masa silam.