Ingatlah sentiasa
apakah rasanya genggaman erat tangan kita.
Ingatlah sentiasa
cara aku merenungmu tak lepas tanpa jemu.
Ingatlah sentiasa
pelukan hangat
dan bisikan-bisikan pujuk rayu.
Ingatlah sentiasa
ketika kita saling menangis memerlukan.
Ingatlah sentiasa
gelak sakit ketawa yang kita lalu bersama.
Ingatlah sentiasa
di waktu sakitmu bagaimana kamu mencariku bermanja tanpa malu-malu.
Ingatlah sentiasa
satu pagi aku
menaiki bas terawal ke selatan dari utara terpancul di depan pintu bersama jambangan bunga hanya kerana malam sebelumnya kita bergaduh dan tidur tanpa dimabukkan kata-kata cinta.
Ingatlah sentiasa
waktu matamu dan mataku kembali bertaut setelah enam tahun tujuh hari merindu.
Ingatlah sentiasa
kita kembali cuba-mencuba merawat semula luka lama dengan kembali bermesra.
Ingatlah sentiasa
fragmen-fragmen
petang melankolia indah itu;
ingatlah tentang semua kita takkan berjumpa lagi
selamanya;
Sayangku
ingatlah sentiasa ingatlah selalu
ingatlah padaku
demi segala rasa cinta hidup mekar menguntum
dalam dunia
kita berdua
pernah ada
dan pernah
SENYAWA.