Tubuhku hitam berkilat, diadun dari fabrik Velcro, satu fabrik sintetik buatan
Switzerland. Jalinan antara kulit dan fabrik ini menjadikan diriku ini antara yang terbaik waktu itu. Jaluran putih sebagai tanda nama keluarga elok terjahit di sisi tubuhku.
Jika dibandingkan dengan keluarga saudara ku yang satu lagi itu, aku ini lebih kacak, segak dan bergaya.
Malah tubuhku yang ringan pasti memberi keselesaan pada tuan punya ku nanti.
Saat gemilang ku tiba pada pertengahan tahun 1970, di sebuah kawasan di Amerika Tengah. Tempat bernama Mexico, di mana manusia berkulit sawo matang bertopi lebar dan besar banyak kelihatan. Katanya ialah pertandingan Piala Dunia.
Tuan punya ku waktu itu sangat disukai ramai. Ke mana sahaja beliau pergi pasti menjadi tumpuan ramai. Orang yang berkulit gelap, rambut sedikit
kerinting tapi dipotong pendek dan rapi. Orangnya merendah diri. Setiap kali beliau dan rakan-rakannya bergasak dalam satu bulatan gergasi yang ada padang di tengahnya, pasti orang ramai akan bersorak. Tidak tahu kenapa mereka begitu terkenal dan diminati ramai.
Sambil itu, saudara keluarga ku yang sering menjadi seteru kami, kelihatan banyak sekali di sana waktu itu. Malah teman-teman tuan ku juga ada menggunakan saudara ku ini.
Di Mexico, lebih sebulan lamanya aku di sana. Ternyata susuk fizikal ku banyak membantu tuan ku beraksi. Beliau berlari, menyepak, menjaringkan gol dengan cemerlang sekali. Ku tumpang bangga kerana diriku ini sedikit sebanyak membantu beliau meningkatkan prestasi.
Hinggalah perlawanan terakhir di kandang bernama Azteca, pasukan tuan ku ini akan bertemu pasukan orang-orang Rom. Serba biru mereka. Satu momen yang kurasakan sangat menakjubkan, bilamana pengadil hendak meniup wisel tanda perlawanan bermula. Tuan ku ini mengangkat tangan kepada pengadil, mohon waktu seketika. Beliau melutut, sambil memperkemaskan ikatan tali pada tubuhku.
Saat itu juga ribuan pancaran bak kilat dari perakam-perakam gambar menerpa ke arah tuan ku, termasuklah diri ku juga. Momen bersejarah itu rupanya ditonton oleh jutaan makhluk manusia di seluruh dunia. Ia menjadi detik kegemilangan diriku. Aku menjadi terkenal, tambahan pula pasukan tuan ku berjaya menjadi juara mengalahkan orang-orang Rom.
Kemasyhuran yang kutempa dalam sekelip mata amat mengujakan. Ku mula berkhidmat untuk pelbagai bintang ternama. Ada yang dari Tanah Belanda, pakar dalam setiap posisi. Ada juga dari Tanah Latin, beliau ini sangat ligat, dia dan diriku ibarat irama dan lagu. Tersangatlah serasi. Si ligat ini juga menempa kejayaan yang sama dengan tuan asalku beberapa tahun selepas itu.
Keluarga saudara ku mula berasa iri dengan kemegahan yang ku kecapi. Tidak semena-mena, adik sepupu yang baharu dilahirkan pada 1979, dan beliau diberi nama Copa Mundial. Si Copa Mundial ini juga agak terkenal dalam eranya. Mula diminati ramai, walhal diriku walaupun sudah agak berusia, tapi masih hebat.
Kini cucu-cucu ku pula yang memberi khidmat. Mereka lebih kacak, lebih cantik, lebih ringan, lebih bergaya dan lebih bagus. Namun jika ditanya siapa di antara keluargaku yang paling hebat, pastilah namaku yang terbit, Puma King.