Siti tergelak besar. Wajah merah padam Danira mengundang rasa lucunya. Apatah lagi apabila dilihatnya Danira seolah-olah kalut dan gugup melayan serkap jarangnya sebentar tadi.
Kalau ya pun apa salahnya Nira. Encik Filman tu bukan laki orang dah, tak salah kalau nak cuba. Usik Siti lagi.
Danira terdiam. Bingung dengan usikan wanita itu yang agak nakal. Tidak tahu bagaimana harus menjawab kata-kata Siti, dia beralah lalu angkat kaki. Berpura-pura melayan kanak-kanak yang sedang asyik bermain di penjuru sudut. Siti hanya mampu tersengih sebelum menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.
******
Danira sibuk mengemas buku-buku cerita di atas rak bertingkat yang sengaja diskru di permukaan dinding. Sambil menyusun buku-buku itu, dia sempat membelek beberapa buah buku cerita bergambar seperti Cinderella, Red Riding Hood, The Gummy Bear dan pelbagai lagi jenis bahan bacaan yang lain.
Beberapa hari yang lalu, dia ada melihat Lynn dan Umaira membacakan cerita-cerita itu pada anak-anak yang berada di taska tersebut. Melihat kanak-kanak itu riang mendengar pelbagai cerita dongeng itu, entah kenapa hatinya turut terhibur. Lenyap seketika masalah yang membelenggu dirinya selama ini.
Apabila Kamila tiba-tiba muncul, wanita itu dilihatnya bercakap-cakap dengan seseorang menggunakan telefon bimbit. Dahi Kamila berkerut-kerut sambil melirik ke arahnya.
Baiklah Fil, nanti kakak hantar dia. Ujar wanita itu. Danira menoleh apabila mendengar Kamila menyebut nama Fil. Dia tahu panggilan itu ditujukan buat Filman. Sebaik wanita itu menghabiskan perbualan, perhatian Kamila segera tertumpu ke arahnya.
Nira, kakak nak minta tolong sikit. Encik Filman tak dapat ambil anaknya petang ni, dan kebetulan pulak ahli kelurganya yang lain ada hal masing-masing. Dia minta kakak hantar Melly ke rumah, tapi kakak ada janji dengan saudara kakak nak ambil dia di LCCT petang nanti. Boleh tak kalau Nira tolong hantarkan Melly pulang Pinta Kamila serba salah. Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan Danira tapi sepupunya yang berasal dari Pantai Timur itu hanya sesekali singgah menjenguknya di Kuala Lumpur.
Danira tergaman mendengar permintaan itu. Hendak menolak, nampak sangat dia tidak mengenang budi Kamila yang telah banyak menabur jasa padanya. Usai berfikir beberapa ketika, dia menggangguk setuju. Wajah Kamila ceria dan beransur lega apabila dia bersetuju mahu menghantar Melia pulang ke rumah. Wanita itu menghilang seketika entah ke mana sebelum keluar beberapa minit kemudian.
Okey, ini alamat rumah dengan pelan rumah kalau-kalau Nira sesat nanti. Ujar Kamila lalu menghulurkan sekeping kertas ke tangannya. Wanita itu juga menghulurkan beberapa keping not merah. Mulanya dia enggan menerimanya tapi Kamila tetap berkeras. Wang untuk tambang teksi ke sana, bilang wanita itu. Mahu tak mahu Danira terpaksa menerima apatah lagi dia sendiri tidak mempunyai wang walaupun sekadar untuk tambang ke sana ke mari.
Petang itu juga, dia menghantar Melia pulang berbekalkan alamat dan pelan kawasan perumahan itu. Ketika teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah rumah dua tingkat yang berpagar setinggi lima kaki, dia tercengang. Perasaan kagumnya singgah sebaik dia melihat rumah besar itu. Tiba-tiba dia teringatkan rumah miliknya yang telah tergadai pada Pak Long dan Mak Longnya. Walaupun rumah lamanya tidaklah sebesar rumah di hadapannya kini, tapi ia tetap syurga di hatinya suatu ketika dahulu.
Melia menarik-narik tangan Danira memaksanya mengikut masuk ke dalam kawasan rumah itu. Danira terpaksa mengikut. Di tepi pintu pagar itu terdapat sebuah pondok pengawal keselamatan. Dia terpandang seorang lelaki tua berpakaian pengawal keselamatan asyik memandangnya dengan pandangan curiga.
Cik nak cari siapa Soal pengawal keselamatan yang mengawal rumah itu, walaupun dia sudah melihat kelibat Melia bersama perempuan tidak dikenali itu turun dari teksi sejak awal-awal lagi. Sudah menjadi tugasnya untuk menyoal sebelum membenarkan sesiapa pun masuk ke kawasan rumah itu.
Maaf pakcik, saya nak hantar Melly balik. Saya kerja dengan Puan Kamila di Sissy Kindergarden. Balas Danira lembut.
Lelaki tua berumur dalam lingkungan 40an itu memandangnya seketika, sebelum mengalihkan perhatian pada Melia yang tidak lepas dari memegang tangannya.
Mak Engku tak ada di rumah sekarang ni. Tengku Filman pun tak ada. Yang ada hanyalah Tengku Najla dengan Encik Aliff. Ujar lelaki itu, menyangkakan yang gadis di hadapannya itu mahu bertemu dengan pemilik rumah. Danira cepat-cepat menggelengkan kepala.
Tak apa pakcik, saya tak berniat mahu bertemu sesiapa. Saya hanya mahu menghantar Melly pulang. Itu saja! Jawab Danira. Dia mengalihkan pandangan ke arah Melia seraya tunduk mengadap anak kecil itu.
bersambung
Bab akan datang :
Mengapakah Filman tidak dapat mengambil anaknya pulang