Hasnah agak terkejut sebelum memandang anaknya seraya mengangguk. Apabila ditanya jika boleh dia turut sama berkongsi segala memori yang bersemadi bersama foto-foto yang kusam itu, Hasnah menjawab pendek, Boleh.
Saat ini, paling membuat Hasya teruja kerana sepanjang Hasnah tinggal bersamanya sejak dibebaskan dari penjara, dia pula yang berasa seperti terpenjara terpenjara dengan tingkah ibunya yang melayannya seperti orang asing. Bak kata Akmar Aini, mungkin ini yang dinamakan love-hate relationship: jauh merindu, dekat membeku. Namun untuk mengatakan bahawa ibunya tidak menyayangi dirinya, jauh sekali kebenarannya. Bukankah kerana sayang, ibunya itu sanggup mengorbankan diri dipenjarakan walau bukan atas perbuatannya sendiri
Dan kerana sayang jugalah, Hasya tidak rela dilihatnya mendapat pendidikan di Sekolah Henry Gurney; sekolah yang ditadbir di bawah Jabatan Penjara Malaysia khusus bagi remaja berusia diantara 14-21 tahun yang terlibat dalam kes-kes juvana kerana menyedari akan hakikat bahawa: Sekali terbabit, selama itu terpalit di dalam rekod jenayah yang tidak akan terpadam selamanya! Hasnah rela menderita agar masa depannya anaknya itu terpelihara.
Hasnah, segalanya bagi Hasya... seorang ibu yang juga sahabat karibnya tempat dia melepas segala gundah dan keluh-kesah. Pernah satu hari sewaktu di darjah empat, Hasya menangis teresak-esak sebaik pulang dari sekolah. Dia mengadu pada ibunya tentang rakan sekelasnya, Wahida yang menyebut, Mak kita bagitahu, mak awak beranakkan awak tapi tak kawin pun dengan ayah awak... sebab tu nama ayah awak Abdullah! Hasnah merangkul anaknya itu dengan penuh kasih sayang; insaf akan dosa silamnya yang telah mengakibatkan palitan duka tidak berpenghujung pada zuriatnya sendiri, yang baru mula mengenal erti hidup ini... Dia kemudiannya berbisik sesuatu di telinga Hasya. Anak yang tidak berdosa itu dengan perlahan mengangguk-nganggukkan kepalanya sambil mengesat airmata yang masih bersisa.
Esoknya, Hasya terus berdepan dengan Wahida sambil bercekak pinggang, Ya, memang nama bapa kita Abdullah tapi Nabi Muhammad pun, bapa dia nama Abdullah juga, kan Abdullah tu makna dia hamba
Allah. Wahida jadi terkebil-kebil, sambil Hasya terus melontar kata, habis awak dengan mak awak, bukan hamba Allah juga ke
Sejak itu, Wahida lari tak cukup tanah; takut terserempak justeru terus mengelak! Itu hanyalah satu daripada beribu lagi pesanan ibunya yang menjadi kunci keberanian Hasya selama ini.
Kembali ke realiti. Cuba tengok gambar ni, kata Hasnah sambil menghulur sekeping dua gambarnya bersama seorang laki-laki. Lama Hasya memerhati.