Tiada Tajuk - 43
Bab 43

Tapi mereka tak sedar bahawa semua cerita rekaan fantasi itu terkandung fakta, dan laporan sebenar tentang setiap kejadian yang betul-betul wujud dalam dunia semasa. Kejadian yang walaupun wujud, tapi dirahsiakan dari pengetahuan umum. Sehinggalah tiba masanya untuk didedahkan nanti."

"Kejadian apa Misi apa Organisasi apa Apa tujuan kewujudan organisasi ni" soal Munir bertalu.

"Tidak ada nama untuk organisasi ini. Dan penubuhannya adalah untuk satu tujuan. Mengubah dunia."

"Mengubah dunia macam mana"

"Dengan cara melahirkan manusia baru. Versi homo sapien yang lebih sempurna. Yang kebolehannya tidak terbatas seperti manusia yang ada sekarang ni. Kami ada banyak cabang di dalam organisasi yang mengkhusus dalam kajian-kajian tertentu. Terlalu banyak projek juga. Dan tidak kurang eksperimen-eksperimen yang gagal. Tapi kami terus mencuba. Sehingga satu formula yang lengkap dapat dikecapi. Aku yang telah dipertanggungjawabkan untuk mencipta formula tersebut. Namun aku masih belum mencapai tahap kematangan aku. Jadi aku belum mampu. Mungkin dalam sepuluh tahun lagi"

"Formula apa"

"Kalau aku nak terangkan semua aspek, terlalu banyak. Mungkin aku boleh beritahu Abang Munir secara berperingkat dari semasa ke semasa nanti. Tapi untuk sekarang, aku cuba untuk jelaskan asasnya dahulu. Apa yang kami cuba lakukan adalah, mencipta spesis-spesis baru manusia dengan cara menggabungkan genetik pelbagai sumber. Kami mencari perempuan-perempuan terpilih untuk mengandungkan bayi-bayi istimewa dengan gabungan genetik baru. Contohnya seperti Azim. Abang Munir ingat tak pada watak Azim"

"Iya. Dalam cerita Kacuk dari novel yang ditulis Anom dan Kisah 1 yang ditulis oleh mangsa pertama Pembunuh Batik Biru."

"Betul. Azim adalah subjek di bawah pengawasan seorang pegawai kami yang bernama Borhan ataupun kod namanya Han-3. Dia adalah salah seorang dari lima orang pegawai yang ditugaskan bersama untuk memantau beberapa projek penting yang kami sedang usahakan di Malaysia. Azim sebenarnya adalah produk hasil dari eksperimen kami untuk melahirkan manusia dengan kualiti-kualiti istimewa yang ada pada spesis lain. Matlamat kami adalah melahirkan seseorang dengan kepandaian dan naluri manusia, tapi punya kebolehan hidupan lain seperti kemampuan untuk bernafas dalam air, berlari laju, menghasilkan racun semulajadi dan sebagainya. Ibu Azim adalah antara subjek pertama yang kami suntik dengan genetik haiwan semasa dia mengandung. Justeru melahirkan Azim yang apabila mencapai tahap matang, mula memanifestasikan kebolehannya. Namun hasilnya belum sempurna. Transformasinya tidak stabil. Kami akan cuba perbaiki lagi agar dia boleh berfungsi secara normal. Menjadi manusia sepenuhnya dan haiwan sepenuhnya bila diperlukan. Bukan terperangkap di antara keduanya seperti sekarang ini."

"Macam mana dengan penyiasat persendirian tu Tsai..."

"Oh Tsai.... Dia terbabit dalam salah satu eksperimen kami yang paling hampir dengan kejayaan. Untuk melahirkan manusia yang boleh terbang. Malah kami sudah berjaya mencipta sejenis ramuan yang boleh disuntikkan pada sesiapa saja. Selepas disuntik, manusia tersebut akan mendapat kebolehan untuk mengapungkan diri ke udara. Mudah bukan Malah sangat berguna. Selepas ini pesawat tidak akan diperlukan lagi."

"Macam mana pulak dengan Kemboja dan Haida dari Kisah 3"

"Ah... Kemboja. Aku begitu kagum dengan gadis itu. Dia adalah antara produk kami yang sangat mengujakan bagi aku. Kemboja ada persamaan dengan aku. Dia juga dilahirkan, hasil dari gabungan genetik manusia dan satu sumber yang bukan dari alam ini. Dan Kemboja mempunyai satu kebolehan yang sangat istimewa dimana dia mampu untuk menjangka kematian seseorang sebelum ianya berlaku. Dia boleh mengesan jika seseorang itu akan mati seawal empat puluh hari sebelum kematiannya. Apa yang kami cuba capai melalui Kemboja adalah untuk menghalang kematian seseorang itu dari berlaku. Tapi kami mengalami masalah sedikit kerana Kemboja mempunyai konflik dengan prinsip dalamannya. Dia beranggapan bahawa melawan kematian seseorang itu adalah melawan fitrah. Seperti menentang ajal. Dia masih muda. Mentah. Dia akan faham nanti. Dan bila kami berjaya memujuknya, kita akan dapat mencapai sebuah dunia dimana manusia boleh mengelak mati. Menarik kan Abang Munir" soal Adib sambil senyum. Dia begitu teruja bercakap tentang Kemboja.

"Dan Haida..." Munir terus bertanya.

"Haida adalah nama samaran yang digunakan di dalam laporan, nama sebenarnya adalah Asmidar. Dia adalah sub-projek di bawah jabatan yang sama yang menguruskan Kemboja. Bezanya, kalau Kemboja boleh meramal kematian seseorang, Asmidar pula boleh meramal apa yang akan berlaku pada dirinya sendiri. Kami ada banyak juga subjek di bawah cabang eksperimen ini. Banyak bayi yang berjaya dilahirkan dengan kemampuan untuk meramal masa depan sejak lima puluh tahun yang dahulu. Kebanyakannya membesar dan hidup macam biasa di kalangan orang ramai. Tapi ada juga yang menggunakan bakat mereka dan berkerja sebagai tukang ramal."

bersambung

Bab akan datang:

Bagaimana pula dengan watak-watak lain di dalam kisah-kisah tersebut Adakah mereka kesemuanya berasal dari hasil eksperimen