DARI KLCC KE TANJUNG MALIM - 43
Kelmarin aku, Faseeh dan Fateem melayan satu cerita melayu. Entah apa tajuknya tak pula aku ambil tahu.

Salah satu babak dalam cerita itu adalah dua beradik perempuan miskin yang di bawa ke KFC oleh seorang dermawan. Dua beradik yang seumur hidup mereka tak pernah ke KFC berdialog sesama mereka. Kata adik,

Seronoknya kakak dapat makan KFC. Kita tak pernah pergi KFC kan kakak Seronoknya!

Aku pun mengambil iktibar lalu memberi sedikit nasihat kepada Faseeh dan Fateem.

Tengok tu orang susah. Pergi KFC pun tak pernah. Korang ni selalu sangat makan KFC. Kena bersyukur tau!

Terpengaruh dengan babak KFC, petangnya aku pun bawa la Faseeh dan Fateem ke KFC Tanjung Malim. Orang di KFC memang penuh kiri dan kanan. Suasananya riuh. Sedang aku beratur bersama Faseeh dan Fateem, dikelilingi pelanggan-pelanggan lain dari pelbagai peringkat umur dan kerjaya, Faseeh yang umurnya baru 3 tahun bersuara lantang,

Seronoknya kakak dapat makan KFC. Kita tak pernah pergi KFC kan kakak Seronoknya!

Serentak dengan itu, suasana sekeliling menjadi senyap. Semua mata dalam KFC memandang aku atas bawah tak puas hati. Aku cuma mampu pandang muka Faseeh meminta belas kasihan.

Tak patut betul rasanya dipandang serong macam ni!