TORA DATANG LAGI - 44
Sejenis permainan kereta mini yang digerakkan menggunakan asas mekanikal iaitu gear dan roda. Ianya dikuasakan oleh 2 biji bateri saiz AA. Permainan ini mula menaik selepas kartun alih bahasa Jepun bertajuk Dash! Yonkuro ditayangkan di TV3. Kereta Dash Emperor (Yonkuro), Dancing Doll (Rei), Cannon Ball (Tsukui), Burning Sun (Genda) dan Shooting Star (Seki) merupakan antara kereta mini feveret yang menjadi kegilaan ramai.

Oleh kerana permainan ini dijual pada harga yang agak mahal untuk set asli keluaran Tamiya, rata-rata orang memilih set tiruan dari China yang dijual pada harga yang murah banyak iaitu RM9.90 sekotak. Lengkap dengan perkakasan mekanikal yang perlu dipasang, 4 biji tayar getah, buku manual, rangka kereta dan badan kereta yang perlu ditampal sticker yang disediakan.

Dengan berpandukan buku manual, pemain hendaklah memasang sendiri komponen mekanikal kereta seperti motor, gear, roda, syaf dan lain-lain. Dua biji bateri bersaiz AA diperlukan bagi membekalkan kuasa. Setelah itu, badan kereta akan dipasangkan pada bahagian atas menutup terus kesemua komponen mekanikal tadi.

Setelah menekan butang ON pada bahagian bawah kereta, tayar akan berputar laju. Kereta akan dilepaskan di atas trek yang perlu dibeli asing dan kereta akan meluncur laju melalui laluannya. Roda kecil pada depan dan tepi kereta akan mengawal gerakan kereta di dalam trek supaya tidak berlanggar pada dinding trek. Pelbagai trek dijual di pasaran dengan setiap satunya mempunyai jumlah lorong dan rekaan yang berbeza.

Untuk yang tidak mampu membeli trek yang mahal serupa syaitan, permainan kereta mini boleh dimainkan di dalam longkang rumah ataupun dengan membuat bulatan menggunakan getah paip di atas lantai.

Selain dimainkan, kereta mini juga turut dihiaskan dengan aksesori tambahan dan juga hiasan-hiasan rekaan mengikut kepala masing-masing. Kereta mini akan disusun kemas di atas meja tulis atau di rak televisyen dan menjadi simbol kemegahan.