DIAGNOSIS: PRESKRIPSI - 44
Aku ada seorang pesakit. Usianya lebih kurang usia bapa aku. Dia adalah pesakit di klinik aku semenjak 2007. Berpenyakit darah tinggi dan kencing manis dan pernah kena stroke sebelum berjumpa dengan aku. Dia salah seorang pesakit setia aku. Setiap bulan tak pernah missed datang jumpa aku. Staf klinik dah anggap dia sebagai bapa angkat aku. Kerana kalau ada apa-apa berlaku, wife dia akan call klinik. Suruh aku datang melawatnya di rumah.

Disebabkan dia pernah kena stroke, dia berjalan menggunakan tongkat. Dah beberapa kali dia jatuh. Di rumah mahupun di tempat awam. Dan setiap kali ada kejadian tak diingini, akulah yang diberitahu dahulu.

Sepanjang 6 tahun dia bersama aku, tekanan darahnya sentiasa turun naik. Paras gulanya pula naik turun. Dia sangat rajin makan ubat. Tetapi tak berapa rajin menjaga dietnya. Puas aku menasihatinya, tetapi degilnya macam bapak aku juga.

Setiap bulan kalau dia datang klinik, pasti 10-20 minit aku berborak dengannya. Dia suka cerita pasal isterinya yang kuat berleter. Pasal isterinya yang suka berjalan makan angin. Pasal isterinya yang suka beli nombor ekor. Pasal anaknya yang bekerja di Singapura. Pasal anaknya yang bekerja di Australia. Pasal anaknya yang belum mahu berkahwin. Pasal adik-beradik isterinya yang sombong dan sebagainya.

Juga setiap kali dia datang, dia mesti minta diskaun. Dia juga minta resit dan minta ditambah ekstra 10 ringgit. Nak claim kat anak katanya. Dan 10 ringgit ekstra itu untuk dia bersarapan di warung sebelah.

Mulai awal tahun ini, kesihatannya mula merosot. Beratnya semakin menurun. Selera makannya semakin kurang. Ujian darahnya semuanya normal. Aku pernah merujuk dia ke hospital kerajaan. Tetapi CT Brainnya dikatakan normal. Jadi dia balik follow-up kata aku juga.

Apa yang aku perhatikan, dia memang tak ngam dengan isterinya. Isterinya seolah-olah semakin membencinya. Semua yang dibuatnya serba tak kena. Nak makan salah, nak tidur salah, nak berjalan-jalan salah, pendek kata semuanya menjadi bahan leterannya. Anak-anaknya pun ramai menyebelahi ibunya. Kesian dia. Asyik dia sahaja yang salah.

Sebulan yang lalu dia datang seperti biasa. Semuanya seperti biasa. Cuma pergerakannya agak terbatas. Mulutnya pun tak sekecoh dulu. Mungkin faktor usia agaknya. Dan aku tak menyangka itulah kali terakhir dia datang ke klinik aku.

Dua minggu yang lalu isterinya suruh aku datang ke rumahnya. Dia jatuh lagi. Masa aku datang dia kelihatan murung di kerusi. Wajahnya sudah tak ceria. Muka aku pun tak nak dipandangnya. Dia kata pening kepala sahaja. Tiada kesan-kesan luka atau lebam kelihatan. Tekanan darahnya agak tinggi. Paras gulanya pun sama. Tiada tanda-tanda serangan stroke sebab kaki dan tangan masih kuat lagi. Isterinya pula asyik membebel menyalahkan dia. Isterinya kata dah 2 hari dia tak nak makan ubat. Suruh bersarapan pun tak nak. Dia seolah-olah merajuk dengan isterinya. Aku faham perasaannya kerana sepanjang aku berada di rumahnya, isterinya tak habis-habis membebel menyalahkannya. Aku yang takda darah tinggi pun boleh naik darah mendengar bebelannya. Inikan pula suaminya.

Dua hari kemudian, aku dipanggil semula ke rumahnya. Dia sudah terlantar di atas katil. Dia sudah tidak sedarkan diri. Memang sah. Dia kena stroke untuk kali kedua. Aku terus suruh anaknya panggil ambulans.

Semalam anaknya call aku. Ayahnya dirujuk ke Hospital Besar JB. Seminggu di dalam wad tanpa sebarang perubahan. Dan semalam, dia meninggal dunia. Jangkitan kuman di paruparunya.

Aku dah biasa menghadapi situasi ini. Tetapi kali ini aku rasa sangat berlainan. Pesakit ini terasa sangat dekat di hati aku. Aku merasa kehilangan. Aku akan merindui senyumannya. Aku akan merindui jenakanya. Dialah pesakit aku paling setia. Dialah pesakit paling lama bersama aku. Aku perlu banyak berterima kasih kepadanya. Dia banyak membawa pesakit ke klinik aku. Kalaulah dia bukan berbangsa Cina, memang aku dah buat majlis tahlil untuknya. R.I.P Uncle OBW.