DARI TANJUNG MALIM KE KLCC - 44
Hari Jumaat kelmarin aku cuti. Aku rancang nak hantar Fateem pergi tadika. Pukul lapan setengah aku bawa dia naik motor menghala ke Tadika Kurnia Bestari. Muka dan rambut aku basuh bagi nampak macam mandi padahal gosok gigi pun aku tak sempat. Mujur ada ibu aku tolong siapkan Fateem. Cikgu Kuala Kubu pagi-pagi lagi dah hilang pergi sekolah. Dia cuma sempat tinggal sms Happy Daddy-day-care!

Sampai depan pagar, budak-budak tadika sedang melakukan senaman. Aku tengok susunan barisan berterabur. Ada yang depa tangan, ada pula yang angkat kaki. Ada juga yang terbongkokbongkok tengah buat senaman apa aku pun tak tahu. Melihatkan kedatangan aku, cikgu tadika yang handle senaman pakai baju kurung datang buka pagar. Lepas Fateem masuk, aku pecut balik rumah sambung beradu.

Kira-kira pukul dua belas aku pergi semula ke tadika. Fateem dengan beg galas merah jambu sudah sedia depan pagar bersama cikgu tadi.

Dalam beg dia ada surat. Pesan cikgu tersebut pada aku sambil menguntum senyum.

Dalam hati aku jadi berdebar-debar, Cilakak! Surat apa pulak ni

Aku hantar Fateem ke tadika suruh cikgu ajar dia. Bukannya suruh cikgu mengorat bapa dia. Sampai di rumah cepat-cepat aku buka beg ambil surat.

Ceh! Surat panggil mesyuarat PIBG rupanya. Bua penat aku berdebar-debar. Kalau ikut pekeliling surat tu ibu bapa dijemput hadir ke tadika pada 16/01 pukul sembilan pagi. Ada mesyuarat pembentangan bajet, prosedur pengurusan dan penjelasan tentang silibus bagi kalender 2010.

Dengan tak semena-mena aku jadi bersemangat pula. Aku fikir kalau pergi mesyuarat mesti aku lebih paham kaedah pendidikan di tadika ni macam mana. Secara tak langsung, seruan mesyuarat PIBG ni menyedarkan aku tentang hal tanggungjawab keibubapaan. Bukan setakat bagi makan pakai, tapi perkembangan pembelajaran pun aku kena beri perhatian. Macam ni rupanya jadi parent. Buku parenting skill haram aku tak pernah baca. Sekarang baru terkucar kacir. Itu belum masuk ilmu psikologi kanak-kanak yang aku langsung bengap!

Aku berazam untuk lebih fokus. Lebih memberi masa. Lebih memahami sikap kanak-kanak yang dalam proses membesar. Aku nak jadi lebih serius dan sedikit berprinsip dalam hal menunjuk ajar. Keyakinan dalam diri aku membuak-buak! Terima kasih cikgu tadika kerana menjemput aku datang mesyuarat.

Aku semangat!

Disamping itu, boleh juga aku bagi sedikit sebanyak idea untuk membangunkan lagi reputasi Tadika Kurnia Bestari di mata penduduk Tanjong Malim. Mula-mula aku akan tanya pasal yuran dan kualiti buku-buku rujukan yang diguna pakai.

Mesyuarat

Kemudian aku akan tanya pula berkenaan makanan dan pendidikan agama. Aku juga nak sentuh hal senaman yang tak berapa teratur. Turut tidak lupa, aku nak bagi cadangan supaya Tadika Kurnia Bestari buat kelas tarannum. Aktiviti rekreasi pun aku nak cadangkan juga. Buat lawatan ke Kedai Pau Yik Mun pun orait. Kalau hujung bulan, boleh bawa budak-budak tadika pergi berkelah kecil-kecilan.

Cuma

Ada satu hal yang buat aku bingung.

Apa hal panggil mesyuarat pukul sembilan pagi hari Sabtu

Kan aku dah tak boleh pergi!

Jadi kesimpulannya, terpaksalah aku tidur di rumah macam pagi Sabtu yang lepas-lepas.

Bukan salah aku ok. Walaupun tidur, aku tetap bersemangat!