TRAGEDI TSUNAMI DAN GEMPA BUMI - 44
Di dalam Al-Quran dan hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam telah diterangkan beberapa jumlah hikmah yang terkandung di dalam kejadian bencana dan bala yang berlaku kepada manusia, antaranya ialah:

1) Adakalanya bencana atau malapetaka itu berlaku sebagai balasan Allah Taala kepada orang yang tidak beriman kepadaNya dan mengkufuri nikmatNya, seperti perisitiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh Alaihissalam, angin ribut kencang yang menimpa kaum Nabi Hud Alaihissalam, pekikan kuat yang menghancurkan kaum Nabi Saleh sehingga menjadi seperti ranting-ranting dan daun-daun yang pecah hancur, peristiwa kaum Nabi Lut yang ditimpakan angin ribut dengan dihujani batu, peristiwa Firaun dan pengikutnya tenggelam di dalam laut, peristiwa Qarun yang ditelan bumi dan sebagainya. Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran:

Maka masing-masing Kami binasakan disebabkan dosanya, iaitu di antaranya ada yang kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang kami timbuskan dia ditelan bumi; dan ada pula yang kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah!) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.

(Surah Al-Ankabut, ayat 40)

2) Adakalanya malapetaka yang berlaku itu untuk menjadi alat pengukur atau batu ujian bagi membezakan di antara orang-orang yang benar-benar beriman dengan yang sebaliknya. Firman Allah Taala:

Tafsirnya: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

(Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)

3) Adakalanya bencana yang berlaku itu diundang oleh kerosakan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri. Firman Allah Taala:

Tafsirnya: Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan dilaut dengan sebab apa yang telah dilakukan tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

(Surah Ar-Rum, ayat 41)

4) Adakalanya pula bencana itu terjadi untuk menjadi salah satu cara bagi membersihkan diri orang-orang yang beriman dan sabar daripada segala kesalahan dan dosa serta untuk melipatgandakan pahala mereka. Firman Allah Taala:

Dan demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar; (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat pertunjuk hidayahNya.

(Surah Al-Baqarah, ayat 155-157)

Di dalam hadis shahih disebutkan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Seorang muslim itu tidak ditimpa dengan keletihan, penyakit ,kegelisahan, kesedihan, kesengsaraan dan kesusahan, bahkan sehingga duri yang menyakitinya melainkan semua itu Allah berkenan untuk menghapuskan dosa-dosanya.

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Atau terjadi bencana itu meliputi semua sebab-sebab yang disebutkan di atas.Mungkin ada orang bertanya, adakah relevan jika dikatakan bahawa bencana gelombang Tsunami itu berlaku adalah sebagai bala daripada Allah Subahanahu wa Ta'ala disebabkan oleh dosa dan maksiat yang dilakukan oleh manusia, sedangkan yang turut menjadi mangsa adalah negara Islam, orang-orang Islam, ribuan kanak-kanak yang tidak berdosa

Sebagai respons kepada pertanyaan itu, pertama sekali perlu dijelaskan bahawa rahsia dan hikmah yang sebenarnya di sebalik apa yang berlaku hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui dan Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya.

Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.

(Surah Aali Imran, ayat 182)

Jika diandaikan bala yang diturunkan itu disebabkan dosa maksiat yang berlaku, ianya tidak semestinya tertimpa kepada golongan yang tidak beriman atau orang-orang dewasa yang berbuat dosa sahaja, tetapi boleh saja turut tertimpa kepada golongan yang beriman, sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak yang tidak berdosa. Cuma bezanya dari segi kesudahan masing-masing, sama ada tergolong ke dalam kalangan orang yang beruntung di sisi Allah dengan mendapat keampunan dan keredhaanNya ataupun tergolong ke dalam kalangan orang yang rugi.

Perkara ini disandarkan kepada beberapa buah hadis, antaranya yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah Radhiallahu anha, beliau mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Apabila berlaku maksiat di kalangan umatku Allah Azza wa Jalla akan menimpakan azab daripadaNya dengan meliputi sekalian mereka. Aku (Ummu Salamah) berkata: Wahai Rasulullah, sungguhpun di kalangan mereka pada hari itu terdapat orang-orang yang saleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: Ya. Ummu Salamah berkata: Lalu bagaimana hal keadaan mereka itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Mereka ditimpa oleh apa yang menimpa umat manusia, kemudian akhirnya mereka mendapat keampunan daripada Allah dan keredhaanNya.

(Hadis riwayat Ahmad)

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam di dalam riwayat yang lain:

Sesungguhnya manusia apabila mereka melihat kemungkaran lalu tidak berusaha untuk mencegahnya maka telah hampir Allah menimpakan seksaanNya dengan meliputi sekalian mereka.

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Sebenarnya, jika sesuatu bala atau cubaan datang menimpa seseorang atau sekumpulan manusia atau sesebuah negeri, jika demikian itu dianggap sebagai azab yang diturunkan Allah sebagai balasan terhadap kemungkaran dan kederhakaan yang telah dilakukan, maka dengan anggapan sedemikian akan dapat melunturkan segala keangkuhan manusia, sama ada mereka yang ditimpa musibah atau sesiapa sahaja yang mahu mengambil iktibar daripada musibah itu, mengejutkan mereka daripada kelekaan bersuka ria, menyedarkan mereka daripada hanyut kerana terlalu iski sehingga lupa daratan yang mengundang kemurkaan Allah. Seterusnya mendorong mereka untuk bertaubat, beristighfar dan kembali kepada Allah.

Kesimpulannya, segala kejadian bencana alam yang berlaku mudah-mudahan akan sentiasa menggoncangkan hati kita kerana gerun, gementar dan takut kepada Allah dan memantapkan lagi keimanan. Sebab, beginilah ciri-ciri peribadi orang-orang yang beriman. Orang-orang yang benar-benar beriman itu hanya dengan dibacakan ayat Allah sudah cukup untuk menggoncangkan hati mereka dan memantapkan iman mereka. Firman Allah Taala:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

(Surah Al-Anfal, ayat 2)

Pastinya bencana Tsunami mengingatkan kita kepada peristiwa taufan dan banjir besar di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam. Dengan jumlah kematian yang begitu besar (mencecah lebih 150,000 orang), mungkin ia menyamai jumlah mereka yang ditenggelamkan oleh banjir di zaman Nuh Alayhi as-Salam. Ia adalah banjir yang meliputi keseluruhan muka bumi dan pengetahuan tentang pernahnya berlaku banjir besar itu, diiktiraf oleh semua tamadun manusia.

Sewajarnyalah kisah di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam itu dijadikan iktibar. Ini adalah kerana, Allah SWT mengekalkan ingatan umat manusia kepada peristiwa di zaman Nabi Nuh itu supaya ia terus menjadi peringatan, amaran dan pengajaran bagi sekalian umat manusia, mukmin dan kafir. Firman Allah SWT di dalam surah al-Haaqqah ayat 11-12:

"Sesungguhnya ketika air banjir itu melampau-lampau limpahannya, Kami telah damparkan kamu dengan selamat di dalam bahtera (Nabi Nuh) itu. Agar dengan itu Kami jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan bagi kamu. Dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga orang-orang yang mahu menerima pengajaran"

Apabila saya meneliti beberapa potongan ayat al-Quran tentang bencana di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam, saya mendapat kefahaman bahawa ia tidak jauh berbeza dengan bencana Tsunami 26 Disember lepas. Cuma mungkin berbeza dari segi skala kerana Tsunami yang Allah SWT datangkan kepada kita hanya menelan manusia yang menghuni daratan perairan Lautan Hindi, tidak segenap pelusuk bumi.

Renungilah ayat-ayat di dalam surah Hud ayat 40 - 41 berikut:

"Dan apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (faara at-tannur), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja.

Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. "

Kemunculan banjir besar di zaman Nuh itu bermula dengan limpahan air dari apa yang diistilahkan oleh al-Quran sebagai at-Tannur. At-Tannur ini pada makna asalnya adalah ketuhar atau oven yang digunakan untuk membakar roti. Ia dinamakan sedemikian rupa kerana di dalam ketuhar tersebut api marak membakar menyala-nyala di dalamnya.

Alangkah ganjilnya apabila kita cuba berfikir, bagaimana air keluar melimpah dari ketuhar yang di dalamnya api menyala-nyala!

Sheikh Solah Abdul Fattah al-Khalidi di dalam kitabnya Al-Qasas Al-Qurani: 'Ard Waqaa'ie' wa Tahlil Ahdaath [Darul Qalam 1419H / 1998M] menyatakan bahawa hikmah Allah SWT di dalam hal ini amatlah besar. Sesuatu yang diketahui umum, air berfungsi memadamkan api. Akan tetapi jika api itu menyala-nyala di tengah air, bagaimanakah ia boleh dipadamkan Bagaimanakah api dan air boleh 'mesra' di dalam ketuhar yang membakar itu

Sesungguhnya fenomena seperti ini menggambarkan betapa miskinnya qudrat manusia untuk memadamkan api yang menyala-nyala itu sebagaimana mereka juga tidak mampu mengekang air yang melimpah-limpah dari punca api tersebut. [mukasurat 191]

Saya melihat fenomena banjir dan ombak besar di zaman Nabi Nuh Alayhi as-Salaam dan hubungkaitnya dengan 'ketuhar' itu dari satu sudut lain yang mungkin boleh difikirkan bersama. Kita sama-sama mengetahui bahawa ombak Tsunami ini dicetuskan oleh gempa bumi yang berlaku di dasar Lautan Hindi berhampiran Sumatera. Gempa bumi ini berkait rapat dengan Lingkaran Api Pasifik. Batu batan dan api yang membara di perut bumi ini menjadikan kawasan terbabit tidak stabil sehingga mencetuskan gelinciran benua dan jenis-jenis gempa bumi yang lain. Dalam erti kata yang lain, seolah-oleh ombak besar Tsunami ini datang dari ketuhar Lingkaran Api Pasifik yang saya sebutkan sebentar tadi.

Bahkan ombak besar yang melanda bencana di zaman Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam itu juga lebih hebat dari Tsunami tempoh hari. Ia digambarkan seperti gunung oleh Surah Hud ayat 42 - 43:

"Dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir.

Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. "

Pertamanya, terimalah hakikat bahawa bencana ini bukan 'kejadian alam tanpa sebab'. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang maha menakutkan. Tsunami menelan Acheh yang menyaksikan penindasan pemerintah yang membunuh jutaan penduduk yang mahukan Acheh berdiri bebas merdeka. Bukit bukau di Acheh menjadi gunung kubur manusia yang dibunuh kejam. Tsunami menelan Selatan Thailand yang baru sahaja bermandi darah Muslim Tak Bai, Masjid Kerisik dan sebagainya. Thailand itu juga menyajikan industri seks sebagai tarikan pelancong ke Phuket dan lain-lain. Tsunami membaham warga Pulau Pinang yang saban malam berpesta mungkar di Sungai Nibong. Tsunami juga memamah Pulau Pinang yang menjadi sarang pengedaran dadah, sarang pelacuran, sarang segala jenis kemungkaran dan sarang sampah!

Tsunami juga menelan Sri Langka dan India yang menjadi pentas tradisi menyembelih umat Islam. Tsunami juga menelan Maldives yang menjadi destinasi pelancongan pengunjung warga Barat sehinggakan nilai Islamnya langsung tenggelam tidak kelihatan. Sesungguhnya Tsunami menelan tanah air dan anak watan yang begitu peri lakunya. Amat pedih untuk menyebut hakikat ini, namun kita perlu akur.

Janganlah terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"

Seterusnya, ingatlah kembali kepada apa yang telah saya sebutkan di awal tadi, bahawa Allah SWT mengekalkan kisah ini di dalam ingatan sekalian manusia, agar kita semua mengambil peringatan.

Qatadah telah menyebut sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari [Sahih al-Bukhari nombor 4869], "Allah SWT telah mengekalkan kapal Nuh supaya ia sampai kepada pengetahuan generasi awal umat ini".

Renungilah wasiat Nabi Nuh Alayhi as-Salaam kepada anak-anaknya yang beriman sebelum Baginda wafat pulang kepada Allah. Imam Ahmad dan al-Bayhaqi telah meriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'Aas Radhiyallahu 'anhuma, beliau berkata:

Suatu ketika kami sedang bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Kemudian datang seorang lelaki dari pedalaman yang memakai jubah besar berwarna hijau (Seehan) dan dihiasi dengan sutera. Lalu Rasulullah SAW berkata:

Sesungguhnya sahabat kamu ini telah meninggalkan setiap pahlawan berkuda anak pahlawan berkuda serta mengangkat setiap pengembala anak pengembala! (Pakaian yang melambangkan keangkuhan pemakainya)" Lalu Baginda SAW memegang jubah lelaki tersebut dan berkata kepadanya "Aku melihat engkau memakai pakaian orang yang tidak berakal!" Kemudian Rasulullah SAW berkata lagi "Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:

"Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara. Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki. Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)"

Sesungguhnya Tauhid dan Kalimah Tauhid adalah sebesar-besar perkara di dalam hidup ini. Menjadikan ia sebagai fokus diri, dan seterusnya disempurnakan pula dengan Takbir membesarkan Allah dan Tasbih mensucikanNya pada lisan dan perbuatan. Syirik yang muncul dengan pelbagai versi di dalam kehidupan kita hari ini bersama perbuatan angkuh, bongkak, takabbur atau Kibr itu pula hendaklah dijauhi. Sesungguhnya Syirik dan takabbur itu telah menjadi syiar dan cara hidup ramai manusia pada hari ini.

Apakah kita mahu menunggu sehingga bumi Malaysia tersenak hidung dengan gelimpangan mayat seperti di Acheh, baru mahu tersentak dari kelekaan semua dan selama ini Setiap kali menonton siaran berita di televisyen, saya tidak dapat menahan sebak di dada. Tetapi apabila mengenangkan kebiadapan manusia hari ini, mungkin Tsunami sahaja yang mampu memecahkan tempurung kepala kita hari untuk untuk faham dan menginsafi kuasa Allah SWT.

Ceramah tak jalan, motivasi tak makan, nasihat tak dihiraukan, teguran dipinggirkan, yang menang akhirnya tetap hiburan dan keseronokan. Tidakkah kita sebenarnya sudah terlalu jauh pergi meninggalkan sifat diri sebagai hamba Tuhan Tepuk dada tanyalah iman...

" Apakah penduduk negeri itu merasakan aman dari bala Allah pada waktu malam ketika mereka sedang tidur. Apakah penduduk negeri itu merasa aman dari bala Allah pada waktu pagi sedang mereka bermain atau bekerja. Apakah mereka merasa aman dari azab Allah (jadi mereka boleh hidup berseronok hingga melanggar hukum Allah). Tidaklah yang merasa aman dari azab Allah melainkan orang yang rugi." (Al-A'raaf 98-99)