ada berbatang-batang jalan dikota ini
ada sebatang mengharungi kampungku
ada berbuah-buah kampung dijalan ini
ada sebuah mengandungi rumahku
dengan gusi berdarah
gusinya adalah atapnipah kehausan
bagaikan pelachur maria zaitun
tiba2 sekawan angin ogos
angin lalim dan tidak berperikemanusiaan
turun dengan kasar
diantara dahan2 jambu
dan derita burunghantu
ia berpusar dan berpusar
diantara daun bambu
dan gelora katakpuru.
(ii)
malam ini malam kuala trengganu kubawa berdakap
malam ini malam kubawa kuala trengganu
kerumahku dan berchakap
diteduhi bayang2 bulan ungu
tergantung diatap
tergantung bisu
sambil itu sehelai daun jambu
bergolek ditingkap
bergolek kaku
kemudian menggelinchir diatas rak buku2
lalu terduduk disitu
mendengar perbualan kami:
+ kuala trengganu, kuala trengganu
kuchintaimu bagai kuchintai
manisku, manisku
ditanah lumpur, di kuala lumpur.
- umph, umph, umph.
+ duka dadamu. luka jiwamu
adalah nestapa tak berkesudahan
adalah kenestapaan dari
manusiamu jua, peristiwamu jua.
- ya, ya, ya.
+ dimuka kualamu yang hening
dikualamu yang bermuka bening
segala cherita-lara-cherita-derita
kuhanyutkan ke laut china.
-huh, huh, huh.
+ akan kubenam wajahku kewajahmu
akan kupendam wajahmu kewajahku
akan kusatukan kehidupanmu dan
akan kupadukan dengan kehidupanku
-hmm, hmm, hmm.
(iii)
dikota ini jalan2 simpangsiur
tapi bukan jalan ke rumahku
dikota ini rumah2 champurbaur
tapi bukan rumah dikampungku
kerana rumahku terpenchil
dichelah sunyi, sunyi kerikil
lagi pula kechil
dari kelekatu2 yang kerdil
memanjat tianglampu
disinilah mereka bersimpuh
dari pagi muda ketinggi subuh
sahabat-sahabatku yang tua
sahabat-sahabatku yang setia
sahabat-sahabatku yang mulia
sahabat-sahabatku yang bernama alam.
1970