Ternyata di Thailand, negara yang mengeluarkan hasil kebun nombor satu di dunia, sebahagian pekerjanya adalah monyet. Ya, monyet yang dididik di akademi monyet milik Khuru Samporn atau yang lebih terkenal sebagai Samporn Monkey Training College yang didirikan pada 1957 di Disterict Kanchanadit, Provinsi Surat Thani.
Ternyata tempat ini tidak hanya sebagai akademi pelatihan monyet, melainkan telah berkembang menjadi pusat pelancongan yang banyak dikunjungi oleh pelancong asing pelbagai negara. Tidak kurang dari mereka adalah para pendidik yang berkunjung khusus untuk melihat secara langsung dan mempelajari kaedah pendidikan di sana.
Sungguh besar jiwa para pelancong asing yang mahu belajar dari sekolah ini. Ya, belajar dari sekolah monyet kerana banyak dari mereka yang datang ternyata bekerja sebagai pendidik di negaranya.
Apakah gerangan yang menarik dari sekolah ini sehingga mampu mengundang para pendidik dari sekolah manusia untuk belajar di sini
Mari kita semak apa sahaja keunikan yang dimiliki sekolah ini.
1. Sekolah itu dibuat sehabis baik untuk monyet. Khuru Samporn menjelaskan bahawa monyet-monyet ini akan dapat menyerap ilmu pelajaran dengan baik jika mereka benar-benar berasa selesa dan menganggap bahawa sekolah adalah tempat kegemarannya. Oleh kerana itu, bentuk sekolahnya dibuat mirip dengan habitat semula jadi para monyet berada sebelum ini.
2. Dalam proses penerimaan pelajar, Khuru Samporn tidak pernah membeza-bezakan siapa calon pelajarnya, baik yang jinak, liar, separuh liar, mahu pun sangat liar. Semua calon pelajar diterima dengan tangan terbuka tanpa perlu ada ujian saringan, asalkan usianya sudah mencukupi. Kerana jika belum genap berusia 2 tahun, semestinya monyet tersebut masih perlu hidup dengan ibunya untuk mendapatkan kasih sayang sebagai anak-anak dan belum layak untuk dipaksa menjadi pekerja ladang. Bukan main, betapa arif dan bijaksananya Khuru Samporn.
3. Mendidik dengan penuh kasih sayang. Khuru Samporn selalu mengingatkan tidak boleh menggunakan kekerasan, pukulan, dan hukuman kepada monyet, melainkan melalui pendekatan penuh kasih sayang, sebagaimana selayaknya ibu bapa kepada anaknya. Khuru Samporn melakukan pendekatan berkenaan walaupun monyet tersebut bersikap sangat liar sehinggalah nanti dia lulus dengan perangai yang jinak dan bekerjasama, dengan kaedah yang penuh kelembutan. Bermula dengan dari memberi makan, mengajak main, membelai, dan sebagainya.
4. Setiap monyet yang ingin bersekolah boleh masuk bila-bila sahaja sepanjang tahun asalkan usianya sudah mencukupi. Di sana mereka tidak dikenali dan tidak ada yang namanya Tahun Ajaran Monyet.
5. Mendidik monyet berdasarkan kemampuan dan kecepatan belajar masing-masing kerana ternyata setiap monyet memiliki kemampuan dan kecepatan belajar yang berbeza-beza.
6. Setiap monyet dididik untuk berjaya menguasai kemahiran asas, menengah, dan tinggi tanpa ada satu pelajar pun yang gagal. Jadi ketika mereka lulus, setiap monyet memiliki kemahiran yang lebih kurang sama antara satu sama lain. Tidak boleh ada yang tidak lulus kerana kegagalan monyet adalah cerminan dari kegagalan sang guru.
7. Khuru Samporn juga bertanggungjawab untuk memperbaiki perilaku monyet, termasuklah jika ada monyet yang ketagihan rokok akibat kebiasaan orang membuang puntung rokok lalu dipungut oleh monyet tersebut. Dengan sabar, Khuru Samporn melakukan terapi penyembuhan bagi sang monyet hingga dia benar-benar berhenti merokok. Khuru Samporn belum pernah mengeluarkan pelajarnya kerana bermasalah atau pun dengan alasan ketidakmampuan belajar. Khuru Samporn berasa bertanggungjawab terhadap setiap muridnya, walaupun dengan segala keterbatasan yang mereka miliki.
Masih banyak lagi nilai-nilai luhur pendidikan yang diterapkan di akademi ini dalam proses belajar-mengajar, seperti belajar dengan melakukan hal berdasarkan pengalaman (learning by experience), belajar dari yang mudah dahulu kemudian kepada yang semakin sukar, guru adalah sahabat bagi pelajar, proses belajar harus menyenangkan, hinggalah cara memperlakukan pelajar sesuai keperluan dan kemampuannya masing-masing.
Hal yang paling mengagumkan adalah akademi ini tidak melakukan ujian akhir bagi kelulusan para pelajarnya, juga tidak mengeluarkan ijazah atau gelaran bagi para lulusannya. Sekolah ini hanya menjamin setiap pelajar lulusannya akan dapat pekerjaan yang sesuai dengan tingkatan pendidikan dan kemahiran yang dipelajarinya. Jika ternyata ada yang dianggap tidak memuaskan, pelajar tersebut berhak untuk mendapatkan pendidikan ulangan tanpa dipungut yuran tambahan.
Hingga saat ini para pemilik monyet yang menyekolahkan monyetnya di Samporn Monkey Training College berasa sangat puas hati dan belum ada kritikan terhadap hasil kerja para monyet lulusan akademi ini. Sungguh sekolah yang luar biasa bukan
Semakin hari, sekolah ini semakin terkenal dan dipenuhi oleh para pelajar dari berbagai pelosok daerah di Thailand kerana kejayaannya mencetak lulusan-lulusan unggul yang berkualiti bagi para pemilik kebun. Sekolah ini juga telah dikunjungi oleh para pengamal pendidikan dan organisasi-organisasi pendidikan dunia, seperti UNESCO, UNICEF, ONEC, dan sebagainya untuk dijadikan sumber pembelajaran moral dan wacana membuka wawasan untuk membangunkan konsep pendidikan yang lebih baik bagi anak-anak manusia.
Para ibu bapa dan guru yang berbahagia, jika anda penasaran dan kebetulan berkunjung ke Thailand, mungkin boleh singgah sebentar ke Samporn Monkey Training College untuk melihat secara langsung, agar nantinya dapat berkongsi cerita kepada para guru di tempat anak-anak kita bersekolah atau siapa pun yang peduli akan nasib pendidikan bangsa ini.
Jika di Thailand monyet dididik dengan cara sebaik ini, lalu bagaimana dengan anak-anak kita di sekolah manusia