Mencari Kiblat Cinta - 45
Saya ada telefon ke rumah tadi. Tapi tak ada seorang pun yang angkat telefon. Betul ke Danira dah hantar Melly pulang Soal Filman bagaikan tidak percaya. Hati Danira seperti hendak meledak mendengar pertanyaan Filman itu.

Lelaki itu segera mengeluarkan telefon bimbitnya. Wajah itu nampak cemas menekan nombor-nombor pada keypad telefon bimbitnya. Gagang telefon bimbitnya segera dilekap ke telinga. Beberapa saat kemudian, mata Filman kembali mencari wajah Danira.

Tak ada orang angkat telefon. Tak apalah, saya balik dulu. Mungkin Melly tertidur di rumah agaknya. Lelaki itu tersenyum hambar seraya tergesa-gesa meninggalkan Danira yang seakan bingung. Namun belum sempat Filman mahu memasuki kereta, telefon bimbitnya berdering minta diangkat. Dia terburu-buru menjawab panggilan.

Hello.

Abang, Naj ni. Lupa nak beritahu abang, Naj dengan Aliff bawa Melly keluar pergi jalan-jalan kat MidValley. Sebelum maghrib nanti kami balik. Suara Najla kedengaran di corong telefon. Filman tersentak.

Abang dengar tak ni Najla mengeraskan suara. Filman menarik nafas panjang. Hilang rasa gusarnya berganti lega yang menggebu-gebu di jiwa.

Naj dah buat abang panik tadi tahu tak. Abang ingat Melly dah hilang. Keluh Filman. Serentak tubuhnya berpaling ke arah rumah yang masih belum jauh ditinggalkan. Kelibat Danira masih kelihatan di muka pintu.

******

Najla ketawa kecil. Maaflah bang, tiba-tiba kami rasa nak makan Kenny Rogers. Tapi takkan nak tinggalkan Melly sorang-sorang kat rumah, jadi kami bawalah dia sekali. Ujar Najla.

Namun Filman hanya membisu. Telinganya sudah tidak mendengar kata-kata Najla seterusnya. Sebaliknya matanya terpaku ke suatu arah. Sepasang matanya bagaikan terpempan melihat wajah Danira yang kelihatan sedih. Sesekali gadis itu dilihat mengesat pipinya. Dia menangiskah Filman tertanya-tanya di dalam hati.

Apakah gadis itu bersedih kerana menyangkakan Melly sudah hilang Salahnya juga kerana terlalu terburu-buru bergegas ke taska itu. Filman benar-benar menyesal kerana tidak usul periksa berkejar ke situ tanpa berfikir panjang.

Abang, abang dengar tak Naj cakap apa ni Suara Najla kembali. Filman tersentak. Dia baru menyedari Najla masih belum meletakkan gagang telefon.

Tak apalah Naj, nanti Naj bawa Melly pulang awal sikit ya. Abang pun dah nak balik dah ni. Ujar Filman lalu memutuskan panggilan. Sekali lagi matanya mencari kelibat Danira di muka pintu. Namun alangkah hampa hatinya apabila menyedari, gadis itu sudah tidak ada di situ. Pintu taska itu juga kini tertutup rapat.

Sudah lama dia berada di situ. Tubuhnya sengaja disandarkan pada kerusi rehat di beranda biliknya. Minuman sejuk yang diambilnya dari peti sejuk tadi, langsung tidak diteguk. Fikirannya melayang jauh. Dia tidak tahu kenapa dengan tiba-tiba sahaja dia terkenangkan Danira. Lebih-lebih lagi bila dia menatap wajah sedih gadis itu siang tadi.

Filman benar-benar dihantui rasa bersalah. Perasaannya jadi tidak enak. Tentu Danira risau mengenangkan kata-katanya siang tadi. Ah tapi aku kan tidak sengaja! Lagipun semua ayah di dunia ini pasti akan kelam kabut jika anak kesayangannya tiba-tiba hilang tak dapat dikesan.

Tiba-tiba Filman tersenyum sendiri. Wajah Danira yang malu-malu, serta tidak yakin dengan diri sendiri, entah kenapa sering bertamu di fikirannya sejak akhir-akhir ini. Ada sesuatu pada gadis itu yang membuatkan hati lelakinya bergetar. Kemanisan wajah Danira yang bertudung litup, membuatkan perasaannya terbuai-buai.

Bunyi riuh rendah di tingkat bawah mematikan khayalan singkat Filman. Wajah Danira menghilang sebentar. Dia memasang telinga. Suara Melia kedengaran melaung-laung namanya dari tingkat bawah. Filman tersenyum lantas segera bangkit dari kerusi yang didudukinya.

Sebaik dia turun ke tingkat bawah, Melia sudah berlari-lari anak ke arahnya. Tubuhnya dirangkul kemas membuatkan dia hampir jatuh terduduk. Gelagat anak kecil itu menggamit tawanya.

Hmm..dah balik pun anak papa ni. Pergi ke mana hari ni dengan Pak Su Aliff dan Mak Su Naj Soal Filman seraya mengendong tubuh kecil Melia ke ribanya. Anak gadisnya dipeluk penuh kasih sayang lalu dikecup bertalu-talu.

Seronok papa, Pak Su belanja Melly makan aiskrim. Mak Su Naj pulak belikan mainan dan baju baru untuk Melly. Tengok, cantik tak papa baju ni Melia memperagakan tubuhnya yang sudah siap bersarung pakaian baru berupa gaun kembang berwarna biru serta bereben di belakang. Filman tersenyum lebar.

Cantik. Anak papa ni pakai apa pun tetap cantik. Puji Filman. Matanya sempat ditala ke arah Aliff dan Najla yang hanya tersengih. Kedua-duanya memang suka benar memanjakan Melia.

Sorry bang, Aliff tak sempat nak beritahu abang tadi. Ujar Aliff ketika duduk di samping lelaki itu.

Tak apalah Aliff, abang syukur sebab Melly selamat. Tapi tadi abang gugup juga bila tak ada orang angkat telefon di rumah. Mak Mah pun tak jawab telefon, entah mana dia pergi tadi. Ujar Filman.

bersambung

Bab akan datang:

Apa yang membuatkan Filman berasa bimbang sebenarnya akan Melly